Thursday, December 11, 2008

Benarkah aku dalam kerugian?



Ibarat mengukir pada batu, perlu kesabaran, ketekunan dan ketelitian… Biarpun sukar, namun ukirannya kekal lama. Begitulah ibaratnya membesar dan mendidik anak. Bermula dengan memberikannya nama yang baik, melengkapi keperluan tumbesaran rohani dan jasmani. Alhamdulillah, hingga kini kami dikurnia 2 orang cahaya mata dan insyaAllah, bakal menerima kehadiran ahli baru dalam keluarga. (sekarang minggu ke 32 pregnancy)
Baru-baru ini kami diberitakan kematian anak kepada kawan Rizza yang baru berusia 2 bulan. Apabila dibayangkan perasaan mereka tentu tidak tergambar. Lantas terfikir, sejauh mana telah kusyukuri atas anugerah anak. Perumpamaan biasa, anak itu penawar dan bisa, madu dan racun… Dengan kedatangan ahli baru, tidak dinafi perasaan ragu-ragu datang bertandang, adakah aku mampu menjadi ibu yang baik, mengapa prestasiku sebagai ibu belum cemerlang lalu Allah menambah, dan pelbagai lagi… kadang kala, bermain dengan fikiran seperti ini jika tidak ada pembatas, boleh menjadikan kita sentiasa bersedih. Walhal, tentunya Allah mempunyai sebab yang banyak untuk kita terokai.
Kata seorang kenalan baru-baru ini benar-benar buat aku tersentak. “Kesiannya Mar, dahla terlepas naik pangkat, nak buat masters mengandung pulak. Rugi-rugi..”. Ya, memang benar aku ketinggalan tatkala teman-teman lantikan sebatch yang lulus PTK telah dinaikkan pangkat bulan 3 lalu… Ya, memang benar ada sejumlah kawan-kawan yang bukan sahaja naik pangkat, bahkan berpeluang melanjutkan pelajaran di pelbagai negara dengan bergaji penuh… Ya, memang benar aku terlepas itu semua… Selama ini memang perasaan itu masih bermain di fikiran. Namun setelah terbit dari mulut orang lain, benar-benar buat aku terbangun.
Mengapa aku perlu dikasihani? Mengapa aku dikatakan sebagai rugi? Apakah neraca timbangan yang harus digunakan untuk menilai aku dalam kerugian dan perlu dikasihani? Adakah menjadi seorang surirumah sepenuh masa adalah suatu kerugian yang perlu dikasihani? Bukanlah kedudukan, harta dan pangkat sahaja yang menjadikan nilai kepada seseorang. Berapa ramai yang berkedudukan tetapi tidak mempunyai jati diri mengambil rasuah atau menggunakan sesuatu yang bukan kepunyaan untuk kepentingan peribadi… Berapa ramai yang berharta tetapi diri dan hartanya tidak bermanfaat buat orang lain… Berapa ramai yang berpendidikan tinggi, tetapi masih memiliki mentaliti rendah seperti membuang sampah merata-rata?
Tidak rugi sama sekali aku tidak naik pangkat awal tahun lalu, dan tidak perlu disedihkan juga tidak berpeluang sambung belajar buat masa ini! Berbahagialah kerana diberi masa dan kesempatan untuk berada disamping suami dan anak-anak tatkala mereka memerlukan. Rupa-rupanya telah lama Baginda Rasulullah s.a.w berpesan agar dalam hal dunia, lihat kepada mereka yang berada di bawah. Dalam hal akhirat, lihat kepada mereka yang lebih tinggi… Syukurlah kerana Tuhanku yang Maha Agung juga menilai seseorang melalui taqwanya dan bukan dari segi pangkat, harta dan kedudukan. Jika tidak sudah pasti aku ketinggalan berbanding teman lain.. Tetapi dalam hal taqwa, kita masih ditimbang dengan nilaian yang sama… Mengingat hal ini, hati menjadi lebih tenang. Seandainya aku banyak mengeluh, tidak bersyukur dan berasa putus dari rahmat Allah, tatkala itu benarlah aku dalam kerugiaan!
- Ummi, 241108 4.30am –

2 comments:

  1. Rupa-rupanya telah lama Baginda Rasulullah s.a.w berpesan agar dalam hal dunia, lihat kepada mereka yang berada di bawah. Dalam hal akhirat, lihat kepada mereka yang lebih tinggi… Syukurlah kerana Tuhanku yang Maha Agung juga menilai seseorang melalui taqwanya dan bukan dari segi pangkat, harta dan kedudukan. Jika tidak sudah pasti aku ketinggalan berbanding teman lain.. Tetapi dalam hal taqwa, kita masih ditimbang dengan nilaian yang sama… Mengingat hal ini, hati menjadi lebih tenang. Seandainya aku banyak mengeluh, tidak bersyukur dan berasa putus dari rahmat Allah, tatkala itu benarlah aku dalam kerugiaan!

    >>>1 perkongsian yang sangat menarik.

    ReplyDelete
  2. nurul-ofismate leenSeptember 9, 2009 at 2:07 AM

    Slm...

    Betul kata awk..setiap yg Allah beri pasti ada hikmah disebaliknya.
    Yang lain naik pangkat tapi tinggi lagi pangkat seorang IBU & ISTERI...
    Yang lain smbg study tapi mengandungkan & membesarkan anak lebih banyak ganjaran & pahalanya.
    Allah sentiasa merancang yg terbaik buat umatnya,cuma kadang kita lambat nak memahaminya.
    Take gud care of urself & d babies!!!

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails