Tuesday, December 29, 2009

Keadaan Umat Masa Kini

Menyoroti keadaan umat Islam masa kini, membuat kita terfikir adakah umat ini akan kembali bangkit? Benar kata Nabi saw, bahawa umat Islam suatu hari nanti ibarat hidangan yang tersedia untuk dibaham oleh orang-orang kafir. Bilangan kita waktu itu tidak sedikit, bahkan ramai jumlahnya. Namun kita seperti buih di lautan banyak, jelas kelihatan saat ombak membadai pasir tapi hanya seketika dan tidak memberi apa-apa erti dan makna. Semuanya kerana kita waktu itu dihinggapi penyakit wahn; hubbundunya wa karahiyatul maut (cintakan dunia dan takut mati). Nampaknya kita waktu ini ialah seperti apa yang Rasulullah saw Al-Amin gambarkan.

Terjebak di dimensi ini menimbulkan persoalan masihkah ada nyalaan lampu di tengah-tengah kealpaan dan kegelapan ini.... nyalaan buat membimbing pengikut-pengikutnya yang masih insaf dan ikhlas menuju sirothol mustaqim. Lihat sahaja disekeliling kita. Tiada obor yang menyalai umat untuk mengepalai peyokong-penyokong dibelakangnya, melainkan yang kelihatan hanyalah sinaran-sinaran mancis yang hidup segan mati tak mahu.Yang mendominasi hanyalah obor kegelapan sang durhaka yang ingkar serta pengikut-pengikutnya.



Permasalahan umat Islam kelihatan jelas dari pelbagai aspek. Bermula dari asas Islam itu sendiri iaitu aqidah  kemudian menular ke akhlaq sehinggalah ke aspek yang lebih luas seperti kesatuan dan kenegaraan. Di tambah lagi dengan kelalaian umat Islam, dan mungkin wujudnya peribahasa-peribahasa seperti jangan menjaga tepi kain orang atau biar mati anak jangan mati adat menjadikan dakwah itu satu perkara yang asing dan terasing. Walhal Allah swt jelas menggambarkan ciri-ciri umat dan individu terbaik di dalam surat 3:111 dan 41:33, masing-masing.

Hukum pertama dari Newtons Law menyatakan "An object in motion will stay in motion and an object at rest will stay at rest unless acted upon by an external force" or "A body persists in a state of uniform motion or of rest unless acted upon by an external force". Jika dikronologikan dari aspek dakwah maka jahiliyyah akan tetap berjalan selama mana tiada external force (dakwah) menghalangnya atau maaruf tidak akan berjalan selama mana mana external force (dakwah) tidak menggerakkannya. Jahiliyyah yang sekelian lama bertapak telah meninggalkan beban besar kepada bumi dan isinya. Jelas hanya dengan daya yang sebesarnya, atau lebih besar diperlukan untuk menghilangkan peninggalan jahiliyyah tersebut. Dan hanya ada satu daya sahaja yang mampu menjadi external factor tersebut iaitu daya yang dimiliki oleh para ANSARULLAH.

Mungkin sebahagian kita mengatakan masih adakah Ansarullah sehebat itu di zaman ini? Dimanakah Abu Bakar, dimanakah Umar, dimanakah Ali, dimanakah Utsman, dimanakah Salahuddin.... Tiada siapa yang berani menyahut. Bahkan ramai yang mengalah dan membiarkan masa menelannya sehingga timbul bibit-bibit putus asa seolah-olah kita tidak mempunyai apa-apa harapan.... Namun bagi mereka yang masih optimis, ini lah sebenarnya masa untuk bangkit. Kealpaan dan kegelapan sekarang tidak dijadikan alasan untuk diri merasa rendah bahkan inilah ruang dan peluang untuk umat sedar dan bangkit dari tidurnya yang nyenyak. Inilah masa yang sesuai untuk umat menarik selimut kehitaman yang menyelubungi mereka dan merasai nikmat berada di bawah lembayung sinar Ilahi. Atas kesedaran ini bangkit ansarullah menyalai kembali harapan umat. Timbul di sana sini pelbagai gerakan Islam menyeru umatnya agar kembali menaruh kepercayaan kepada DeenNya. Mereka mengajak agar umat meyakini bahawa tiada jalan keluar dari kemelut ini melainkan dengan mencelup diri sepenuhnya dengan sibghatAllah (celupan Allah). Ada yang menyahutnya, ada yang meminggirkannya dan ada juga yang tunggu dan lihat...



Persoalan yang timbul, di golongan manakah kita tatkala timbul gerakan pengislahan ini? Adakah kita turut serta, menolak atau tunggu dan lihat? Allah swt memberi jaminan bahawa gerakan ini tidak akan luput bahkan akan terus bergerak umpama keretapi di landasannya. Terbukti dalam sejarah bahawa keretapi pembaharuan ini akan tetap bergerak meninggalkan mereka yang menolak serta mereka yang hanya tunggu dan lihat. Membawa bersama di laluannya unsur-unsur perubahan di setiap stesen ia terhenti. Krewnya, penumpang-penumpang mengajak orang ramai di setiap stesen agar turut bersama-sama dalam arus perjalanannya. Namun seperti di stesen-stesen sebelumnya pasti ada yang tertinggal. Hakikatnya mereka terus leka dalam mimpi mereka. Nah.... keretapi telah sampai... krew dan penumpang-penumpangnya mula memanggil.... apa jawapan anda; ikut serta, tolak atau tunggu dan lihat ???

Buat sahabat-sahabat sekalian mungkin ceramah ini dapat membantu anda membuat keputusan...



Abu Mujahid

Thursday, December 24, 2009

Nikmatnya Mandi!

Siapa tak suka mandi? Kita semua sudah terlalu biasa dengan mandi, hingga kita terlupa dalam mandi itu ada nikmatnya. Pemberian Allah buat hambaNya. Kalau di Malaysia, lumrah kita mandi 2 kali sehari, kadang 3 kali sehari dek panas dan berpeluh-peluh. Di German, terutama waktu winter jadual mandi memang berubah. Hingga kalau anak-anak ini, acara mandi secara rasmi adalah pada hari Sabtu atau dikenali Hari Bersih-Bersih. Memang liat mereka kalau disuruh mandi, bayangkanlah tengahari buta tapi suhunya minus 14! Jadi memang Ummi tidak mendesak anak-anak untuk mandi setiap hari di musim winter. Ummi memang suka Hari Bersih-Bersih ni, sebab semuanya akan gotong royong kemas rumah, cuci tandas dan lainnya.  Dapatlah Ummi goyang kaki sikit. ^_^

Tapi, suatu yang menyentuh hati Ummi, adalah pengalaman hari-hari pertama anak selepas dilahirkan. Abi-lah yang akan memandikan anak-anak sehingga tali pusat tercabut kerana Ummi yang penakut. Mujahid, Mukhlis dan Khaulah. Semuanya dimandikan Abi. Begitu teliti dan penuh hati-hati. Semua telah bersih dan wangi, baru masuk giliran Ummi. Mungkin sebab itu, anak-anak paling suka kalau dimandikan Abi berbanding Ummi. 

Catatan Ummi kali ini adalah untuk berkongsi pedoman dengan anak-anak Ummi terutama Khaulah. Rahsia seorang ibu! Inilah pesanan Mama Ummi buat Ummi, katanya  mandi adalah suatu masa luxury seorang ibu. Pada mandi itu, ada rahmat Allah di dalamnya. Mulanya Ummi kurang memahami apa yang dimaksudkan mama. Namun setelah tahun demi tahun berlalu, dan anak-anak Ummi sekarang 3 orang, Ummi membenarkan kata-kata mama itu. Mandi itu bukan lagi rutin biasa tetapi dirasakan sebagai ibadah. Sebagai get-away seorang ibu. Dalam meniti kehidupan seorang surirumah sepenuh masa, Allah telah memberikan pengalaman berharga... Bahawa dalam mandi itu ada kasih sayangNya! Dalam mandi itu ada rahmatNya! Menjadi seorang ibu sangat memenatkan, bahkan tidak terucap dengan kata-kata. Tiada masa masuk, tiada masa keluar. Tiada cuti rehat, tiada cuti sakit. Tambah lagi, kalau anak masih menyusu badan memang tidak boleh berenggang sama sekali. Bila melihat ke dalam cermin, yang dilihat adalah anak dan bukan lagi diri sendiri. Namun, Allah yang Maha Penyayang telah memberikan hadiah buat ibu dimana jua.. Nikmatnya sebuah Mandi.

Masa mandi seorang ibu itu adalah suatu yang amat bernilai. Ketika itulah dia dapat seketika bersendirian, melakukan sesuatu untuk dirinya, sebuah masa yang luxury. Hatinya berdoa dan merintih, fikirannya terasa lapang dan damai... setiap butir air yang jatuh membasahi bagaikan rahmat Ilahi. Penat dan lelah meluncur pergi bersama air. Sambil hati berlagu memohon dan mengharap pada Sang Pencipta, mudahan diberikan kekuatan dan dibuangkan kelesuan untuk terus berbakti. Berbakti pada suaminya, berbakti pada anak-anaknya, berbakti pada keluarganya, berbakti pada tetangganya, berbakti pada masyarakatnya, dan dalam pada itu tidak dikurang sedikitpun amanahnya sebagai hamba pada Yang Esa. Kajian saintifik di tahun-tahun terakhir ini jelas membuktikan bahawa mandi itu bukan sahaja bertujuan untuk membersihkan diri dari kotoran, malah mampu menjauhkan stress dan meningkatkan sistem kekebalan tubuh. SubhanaAllah! Hebatnya agama kita kerana dari kecil kita diajarkan untuk menjaga kebersihan. Bahkan, cuma Islam yang ada mandi yang diwajibkan! Selain itu ada mandi yang disunatkan, seperti mandi sunat AidilFitri, mandi sunat Aidil Adha, mandi sunat hari Jumaat... SubhanaAllah.

Mungkin atas pelbagai faedah dan manfaat dari mandi itu, pelbagai tawaran perkhidmatan dan produk mandi ada di pasaran. Ada mandi bunga, mandi garam laut, mandi sauna herba, mandi susu, mandi coklat, mandi  baked-beans pun ada! Pendek kata segala macam jenis mandi. Namun biarpun mandi seperti biasanya, Ummi sangat percaya bahawa tatkala hati merasakan dekat dan memohon pada Ilahi, ketika itulah rahmat Allah datang bersama. Hmmm, bagus juga kalau hadiah hari ibu kita belanja ibu kita pakej mandi yang ditawarkan. Mesti dia suka!


Mac 2008 di rumah pertama, IranischeStr

 Disember 2008 di rumah kedua, WilldenowStr

Disember 2009 di rumah kedua, WilldenowStr

Ok semua, mari kita menjaga segenap aspek kebersihan sesuai dengan yang dituntut dalam Islam. Kebersihan adalah keperluan dalam mengendalikan sebuah kehidupan kerana menjaga kebersihan itu mempunyai hubungan rapat dengan iman. Tanam perasaan mencintai kebersihan dalam diri anak sejak kecil. Mudahan dia terbiasa dan menjadi amalan sepanjang hayatnya. Walau sekecil mana sampah itu, walau dimana kita berada, jangan sekali dibenarkan anak membuang sampah itu bukan pada tempatnya. Dari Sa'id bin al-Musayyab bahawa Rasulullah  s.a.w bersabda, "Sesungguhnya Allah itu baik dan menyukai yang baik. Dia juga bersih dan menyukai yang bersih. Dia juga mulia dan menyukai yang mulia. Dan juga dermawan dan menyukai yang dermawan. Oleh itu, bersihkanlah halaman dan perkarangan rumahmu daripada kotoran dan sampah-sarap. Janganlah kamu menyerupai rumah orang Yahudi, melonggokkan sampah di hadapan rumahnya".  (HR At-Tirmidzi)

Wassalam, 24 Disember 2009.
Ummu Khaulah

Friday, December 11, 2009

Miniatur Wunderland

Perjalanan kami ke Hannover dan Hamburg pada Oktober lalu diakhiri dengan lawatan ke Miniatur Wunderland sebagai hadiah kepada anak-anak kerana sabar mengikuti perjalanan Abi dan Ummi menziarahi teman. Kelihatannya waktu itu yang paling seronok adalah Mukhlis. Sesiapapun pasti tersenyum melihat telatahnya yang menjerit keriangan. "Tweem, tweem, Ummi tweem". Setiap kali train lalu, pasti Mukhlis menunjuk-nunjukkan tangannya ke arah train seolahnya hanya dia yang nampak. Hmmm bayangkan kalau bukan setakat satu dua train di sini, tetapi lebih kurang 830 buah keretapi yang bergerak! Masakan tidak, Miniatur Wunderland ini adalah model landasan keretapi terbesar di dunia.Tempat ini mula dibangunkan pada tahun 2000 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2015. Secara ringkasnya, fakta menarik tentang Wunderland ini boleh dilihat dalam jadual di bawah:


General Wunderland Facts








After final construction phase 2015 Current Spring 2009
Leased Floorspace 10,000 6,400
Model Area over 2,300 1,150
Construction Areas 12 7
Track Length approx. 20,000 Meters 12,000 Meters
Trains approx. 1,300 approx. 830
Wagons 15,000 over 11,000
Longest Train 14.51 Meters 14.51 Meters
Computers 64 40
Lights over 500,000 approx. 300,000
Buildings and Bridges 6,000 3,500
Figurines 300,000 200,000
Cars 10,000 5,500
Trees 330,000 215,000
Construction Cost approx. 15,000,000 € 10,000,000 €
Buat kenangan anak-anak, ini beberapa gambar yang diambil..


Pemandangan di hadapan Bangunan Miniatur Wunderland

'Tweem' Ummi!


Kawasan pergunungan
Bandar Koboi di Amerika

Amusement Park di Hamburg
Stadium bola di Hamburg
Polizei berjaya menangkap penjahat
Ramainya manusia tengok konsert ni! Sampai berkhemah
Kenderaan bergerak perlahan melalui terowong
Siap tempat helikopter mendarat di tengah pulau
Gambar-gambar kami yang lain boleh dilihat disini. KLIK

Sehingga hari ini, Miniatur Wunderland menawarkan 5 bahagian untuk diterokai meliputi Gemany dan beberapa negara lain. Lapangan terbang masih dalam pembinaan, sementara Italy dan France masih menunggu giliran. Semua ini dibina dalam skala 1:87! Antara episod miniatur yang paling Ummi ingat adalah sedang perompak menggali tubang untuk merompak bank, tetapi pasukan polis telah bersiap sedia menunggu di sebelah lain. Memang comel! Bila waktu dah malam, ada tempat yang UFO keluar beterbangan. Memang lucu! Semua ini dikawal oleh pusat operasi seperti dalam gambar di bawah.


Subhanallah! Bayangkan baru sekecil ini manusia perlukan pelbagai alat untuk mengawal dan memantau perjalanan siang dan malam di sini, pergerakan itu dan ini. Betapa hebatnya kuasa Allah, yang mengatur bukan sahaja dunia, bahkan seluruh alam semesta. Kalau siang dan malam di Miniatur Wunderland berjalan serentak bagi setiap tempat, tetapi kalau kita di dunia, setiap tempat dengan zon masa yang berbeza! Sesungguhnya pengetahuan Allah itu meliputi segala sesuatu, baik setiap dedaun yang telah gugur, sedang gugur, mahupun akan gugur. AllahuAkbar.

 "Katakanlah (Muhammad), "Milik siapakan bumi, dan semua yang ada didalamnya, jika kamu mengetahui? Mereka menjawab, "Milik Allah". Katakanlah, "Mengapa kamu tidak ingat?". Katakanlah, "Siapakah Tuhan yang memiliki langit yang tujuh dan memiliki "Arsy yang agung?". Mereka menjawab, "Milik Allah". Katakanlah, "Mengapa kamu tidak bertaqwa?" (QS 23: 84-87)


Wassalam, 11 Dis 2009




Tuesday, November 17, 2009

Kisah Gigi

Kisah 1

Mujahid dengan botol susunya bagai isi dengan kuku. Ke mana pergi mesti nak dibawa. Kalau dia sedih, nak tidur, atau takut, maka botol susunyalah sebagai 'comfort'. Anak sulung Ummi ini sampai masuk kindergarden, masih mencari botol susunya setiap kali pulang. Akibatnya gigi Aid, terutama bahagian depan rosak dan kerana selalu 'kemam' botol susu. Kadang orang tanya, 'Mujahid makan batu ke gigi sampai haus macam tu?'. Hehehe.. bukan makan batu, tapi kemam botol susu! Hendak dijadikan cerita, akhirnya 2 bulan selepas hari lahirnya yang ke-4, giginya semakin sakit sehingga sukar untuk makan dan lidahnya dijangkiti kulat susu. Alhamdulillah, kesan dari itu Mujahid berjaya 'putus' dari botol susunya dalam tempoh beberapa hari. Sesiapapun akan kasihan melihat Mujahid termenung sana, termenung sini seperti orang putus cinta!

Setelah pemeriksaan dengan dentist dibuat, dia memberikan tarikh khas untuk minor surgeri membuang 4 batang gigi Mujahid secara serentak. 3 gigi dihadapan atas dan satu geraham bawah. Operasi ini memerlukan bukan sahaja doktor gigi tetapi juga doktor anestetik khas untuk kanak-kanak. Bayaran perkhidmatan ini dilindungi oleh pihak insurans tetapi hanya bayaran 'ubat tidur' sahaja yang kami harus bayar sendiri, iaitu sebanyak 70€. Sejam selepas operasi kami harus menunggu di klinik kerana Mujahid masih dalam pengawasan doktor. Kata doktor, kesan dari ubat tidur yang diberi dan Mujahid yang masih kecil, maka dia akan mengalami dua keadaan iaitu tidur berpanjangan dan halunisasi semacam meracau. Memang menakutkan juga melihat keadaan Mujahid yang antara sedar dan tidak, menangis dan meracau. Puas kami membacakan ayat-ayat Al-Quran dan sebagainya. Selepas tempoh sejam dan meracaunya semakin berkurang, kami dibenarkan pulang. Tengahari itu hingga ke malam Mujahid tidur longlai di sofa. Alhamdulillah, Mujahid kembali normal dan pemeriksaan doktor keesokkan harinya juga baik. Tiada pendarahan, tiada lagi halunisasi, tiada pembengkakkan. So, dari Julai 2008 hingga hari ni senyuman Mujahid tanpa gigi dihadapan!

Ok, jangan lupa gosok gigi Mujahid.

Kisah 2
Khaulah, anak ke 3 Ummi ni baru usia 10 bulan 2 minggu. Giginya? Itulah,  cubalah tengok. Sekarang Khaulah mempunyai 3 batang gigi di atas dan 4 batang gigi dibawah. Memang kadar pertumbuhan gigi setiap anak itu berbeza tapi kalau cepat sangat tak perlu bawa jumpa doktor ke? Risau makin cepat gigi susu keluar, makin cepat pulak hilangnya! Senyuman Khaulah memang menawan, tapi kalau hilang menawan lagi tak?
Jenis gigi
Masa petumbuhan
Masa tanggal
Atas :
Kacip Pertama
Kacip Kedua
Taring
Geraham Pertama
Geraham Kedua

7 bulan
9 bulan
18 bulan
14 bulan
24 bulan

6 tahun
7 - 8 tahun
12 - 14 tahun
11 - 12 tahun
12 - 14 tahun
Bawah :
Kacip Pertama
Kacip Kedua
Taring
Geraham Pertama
Geraham Kedua

6 bulan
7 bulan
16 bulan
12 bulan
20 bulan

6 tahun
7 tahun
9 - 10 tahun
10 - 12 tahun
11 - 12 tahun
Nota : Masa pertumbuhan lebih atau kurang 6 bulan dari masa yang dinyatakan di atas, dikira normal. (Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia)

Ok, jangan lupa gosok gigi Khaulah.

Kisah 3
Beberapa minggu lalu, Abi membawa pulang Toffee Apple. Wah, dan paling gembira Ummilah sebab suka betul makan Toffee Apple ni. Tahun lepas sekali, tahun ni sekali. Abi kata tak boleh selalu, nanti gigi rosak. Yelah, yelah, tapi kalau beli untuk Ummi sahaja tak boleh ke, Ummi makan sorok-sorok la. Ada setengah tempat, dipanggil Candy Apple, tapi Ummi lebih suka panggil Toffee Apple sebab masa kecil-kecil dahulu ada lagu anak-anak tentang Toffee Apple ni. Liriknya dah lupa kecuali rangkap terakhir iaitu '..and dont forget to brush your teeth!'.

Toffee Apple adalah sebiji penuh epal yang disalut dengan gula keras dan dicucuk lidi untuk mudah dipegang. Biasanya gula ini diberikan pewarna merah. Di beberapa tempat ada juga dijual dengan variasi lain seperti disalut caramel, taffy atau chocolate. Ianya biasa didapati sebagai sajian istimewa di musim luruh walaupun budaya di German lebih mengaitkannya dengan sambutan Krismas. Kalau di Malaysia biasa dijual di karnival atau fun-fair. Tahukah kita bahawa pencipta Toffee Apple ini ialah William W. Kolb pada tahun 1908! Tetapi masyarakat China lebih kreatif lagi. Mereka juga mempunya budaya seperti ini tetapi menggunakan limau mandarin, strawberry, blueberry, nanas. buah kiwi, pisang atau anggur yang dicucuk pada lidi seperti sate. Oh ya, dan semua buah itu disalut gula dan dikenali sebagai Tanghulu. Hmmm, dapat tak mengalahkan rasa Toffee Apple kesukaan Ummi ni?

Ok, jangan lupa gosok gigi semua, terutama Ummi!

- Ummi, 17 Nov 2009-

Wednesday, November 4, 2009

Esok Hari Jadi Ayah

ESOK HARI JADI AYAH


Esok hari jadi ayah
dan aku tiada disisi untuk mengucapkan
dan aku tiada disebelah untuk memberikan hadiah
hmmm, pernah ke aku bagi hadiah?
dulu...lama sangat, waktu masih sekolah rendah
lama-lama hadiahpun tiada, cuma kad ucapan
lama-lama kadpun tiada, cuma e-kad
lama-lama e-kadpun tiada, cuma doa
lama-lama..... hari ini aku harus mulakan kembali
sebagaimana suatu waktu dahulu...

Esok hari jadi ayah
dan aku tiada disisi untuk menemani
hmmm, pernah ke aku menemani?
dulu...lama sangat, waktu kecil diriba ayah sedang usrah
ayah yang menemani untuk temuduga
ayah yang menemani untuk pendaftaran
ayah yang menemani untuk perkenalan
ayah yang menemani untuk itu, ini..dan banyak lagi
wah, segalanya ayah yang menemani
dan aku belum pernah menemani ayah...

Esok hari jadi ayah
dan aku tiada disisi untuk masak kegemarannya
hmmm, pernah ke aku masak untuk ayah?

sedang masakan kegemaranpun aku tidak pasti
ayah yang masak sup kentang itu
ayah yang masak nasi goreng itu
ayah yang masak kari ayam itu
ayah yang masak itu, ini..dan banyak lagi
wah, semuanya ayah yang masakkan
dan aku belum pernah masak buat ayah...

Esok hari jadi ayah
dan aku tiada disisi untuk memicit lenguh
hmmm, pernah ke aku memicit lenguh ayah?

sedang diwaktu ayah sakitpun aku tiada
ayah yang risau kerana darah kepalaku
ayah yang risau kerana demamku
ayah yang risau kerana lututku
wah, setiap kali ku sakit pasti ayah ada
dan aku belum pernah ada waktu ayah sakit...

Maafkan aku ayah,
kerana sering tiada disisi
kerana selalu tidak menemani
tapi ayah sentiasa bersamaku
dalam apa jua masalah
dalam apa jua keadaan
dalam kegembiraanku
dalam kesedihanku
ayah pasti datang....

Maafkan aku ayah,
kerana berbanding mereka,
akademikku tidak menyerlah
pekerjaanku tidak hebat
pendapatanku tidak lumayan
keberadaanku tidak selalu

Maafkan aku ayah,
kerana aku tidak selembut dua,
kerana aku tidak setabah tiga,
kerana aku tidak sepintar empat,
kerana aku tidak serapat lima...

Tapi ayah,
disebalik diamnya ayah itu
disebalik lirik mata ayah itu
disebalik risau tidak tidur malam ayah itu
disebalik hadiah, ucapan, tulisan, kata-kata
disebalik semuanya itu
aku tahu dan aku percaya
ayah mengingatiku
ayah mencintaiku
ayah mendoakanku disemua sujud-sujudmu
untuk aku, untuk adik-adikku,
kerana kami permata hatimu...

Esok hari jadi ayah,
aku tiada lagi hadiah
aku tiada lagi teman
aku tiada lagi masak
aku tiada lagi picit...

Ya Allah,
Kurniakan ayah kebahagiaan
Anugerahkan ayah keampunan
Ganjari ayah dengan syurga
Jauhi ayah dari neraka
Terimalah semua amalannya
Masukkan ayah dikalangan orang yang Engkau cintai
Ya Allah, sepanjang 30 tahun ini
Ikatlah aku menjadi sebahagian mata rantai ayah
Golongkan aku dari anak soleh ayah
....dan izinkanlah aku untuk pulang dan berbakti pada ayah....
Ameen ya Rabbal Alamin


Selamat Hari Lahir yang ke 53, Ayah
Mar,
Berlin, 101009 1030mlm...

Monday, October 19, 2009

Jejak Silam di Köln

Bergambar di hadapan contoh arca tertinggi di menara Cathedral
Kira-kira seminggu sebelum Ramadhan yang lalu, kami sekeluarga berkesempatan berjalan ke Bonn dan Koeln, Germany. Melangkah kaki, semangat dipadu perjalanan keluarga bermula dengan tujuan utama menziarahi 'a family friend' di Bonn dan cuti bersama keluarga selepas Abi pulang dari Cincinnati. Pengembaraan dengan 3 anak kecil menaiki hampir segala public transport yang ada memang suatu pengalaman yang menguji dan tidak dapat dilupakan! Berlari, berkejar, muntah, nangis, mabuk dan pelbagai lagi kenangan yang boleh dijadikan satu kisah drama kehidupan di perantauan. Mungkin dilain kali Ummi akan menuliskannya buat tatapan. Apapun, catatan kali ini adalah tentang pengalaman menjejakkan kaki ke Cologne Cathedral, iaitu sebuah gereja Roman Katholik bukan sahaja terbesar di Germany malah di negara-negara bahagian Timur Eropah. Gereja ini terletak di Koeln, salah satu bandar tertua di Germany dengan jarak kira-kira 600km dari rumah kami di Berlin.

"Banyak-banyak tempat gereja korang pergi! ish, ish, ish"

Lihat dengan mata hati, bukakan minda dan carilah ilmu dimana jua nescaya kau akan temui... Mari mengembara bersama kami.
***
Pemandangan hadapan, kiri Cathedral
Pemandangan hadapan, kanan Cathedral
Pemandangan belakang Cathedral
'Ummi, Mujahid takut', bisik Mujahid sambil mengenggam erat tanganku.
'Akuttt, aakuttt', sahut Mukhlis yang sedang kudokong kerana menangis mahu air kotak yang sudah habis sebelumnya.
'Kita nak masuk juga ke abang?' tanyaku yang mulai ragu-ragu pabila melihat wajah takut anak.
'Iya, kita masuk!' tegasnya, 'Kita masuk untuk belajar!', sambung Abi lagi. Sambil membaca doa dan ayat kursi, kami melangkah masuk ke suatu dunia lain yang belum pernah kami lihat...

Gelap. Suram. Kelam. Berasap.
***
Pembinaan Cathedral ini bermula sejak 1248 lagi dan selesai pada 1880 dengan beberapa kali terhenti akibat banjir besar, peperangan dan sebagainya. Suatu tempoh yang sangat panjang... Ianya dibangunkan ketika zaman empayar Rome dan berfungsi sebagai tempat persemadian Emperor Rome. Gereja ini juga pernah memegang rekod struktur binaan tertinggi di dunia pada 1880 hingga 1884. Pada tahun 1996, gereja ini telah disenaraikan dalam UNESCO World Heritage Site. Oleh kerana kedudukannya strategik, ditambah dengan sungai yang mengalir indah disebelah, Cathedral ini lebih dikenali sebagai tempat pelancongan. Memang ramai sangat orang luar yang dapat kami lihat di sini.
2 menara tertinggi Cathedral
Tika keluar saja dari bangunan stesen keretapi yang serba moden, sesiapapun pasti tidak terlepas melihat cathedral ini. Memang besar sekali! Saiznya : 144.5 m panjang, 86.5 m lebar, dan ketinggian 157 m! Tetapi apa yang lebih menarik ialah apa yang ku rasakan saat melihat bangunan tua ini. Sebelah kananku adalah stesen serba moden dan dihadapanku gereja yang sangat besar berusia 600 tahun! Bagaikan masuk ke dunia silam, aku dapat membayangkan apa yang pernah berlaku disini. Satu persatu kisah sejarah yang pernah dipelajari bagai ditayangkan dihadapan mata. Zaman kegelapan eropah, paderi dengan omongannya, wanita bukan manusia, perebutan kuasa dan harta, perang salib, dan banyak lagi... namun akhinya mereka bangkit dari zaman kegelapan ke suatu peradaban lain. Ironinya, ketika disuatu dunia sedang menapak bangun dengan kemajuan ilmu dan teknologi, dunia Islam pula kian pudar warnanya.

Zaman Keemasan Islam dicatatkan sejarah bagi tempoh 750 - 1250M.
Gereja ini pula mula dibangunkan pada 1248M... adakah ianya suatu kebetulan?

Dunia pernah menyaksikan di zaman Kerajaan Abbasiyah, Islam berada dipuncak alam. Pencapaian-pencapaian ilmu, sains dan intelektual berkembang mekar hingga menjadi rujukan semua tamadun lain. Apa yang dapat kita lihat ialah gereja ini dipelihara rapi dan dibanggakan oleh orang Eropah sebagai warisan mereka. Malah, ada laman web interaktif untuk Cadatheral ini bagi mereka yang ingin melawat secara virtual. Begitu sekali mereka berinisiatif supaya warisan mereka ini dapat dilihat dan dirasakan "kepunyaan" oleh orang Kristian diseluruh dunia. Ya Allah, mudah-mudahan generasiku dan selepasku tidak menganggap Zaman Keemasan Islam itu suatu mitos dongeng-dongengan.
***
Kami berjalan perlahan di dalam gereja itu. Semuanya serba kelam dan menyesakkan. Tiada istilah damai dan tenang. Alangkah indahnya masjid yang dibina dengan kawasan luas, terang dan lapang hingga anak-anak kecil biasanya begitu gembira dan bermain. Berbeza sekali pemandangan didalam ini. Gereja ini walaupun menjadi tempat pelancong, namun fungsinya tetap ada. Kami dapat menyaksikan ada ruangan membaca doa beramai, ada tempat mengakui kesilapan, ada paderi di hujung sana dan sini untuk minta 'blessing', ada sudut memasang lilin dan sebagainya. Baru berjalan separuh dari mengelilingi kawasan di dalam itu, aku sudah tidak sanggup lagi. Akhirnya, kami berpatah balik.
"Tidakkah engkau memperhatikan orang-orang yang telah diberi Kitab (Taurat)? Mereka diajak berpegang kepada Kitab Allah untuk memutuskan perkara di antara mereka. Kemudian sebahagian dari mereka berpaling seraya menolak kebenaran. Hal itu adalah kerana mereka berkata, 'Api neraka tidak akan menyentuh kami kecuali beberapa hari sahaja.' Mereka terpedaya dalam agama mereka oleh apa yang mereka ada-adakan" (Q 3: 23-24)
Dataran lapang diluar gereja itu, ada banyak lagi catatan dan pengajaran menarik yang boleh dikongsikan. Mungkin dicatatan Ummi akan datang...
***
Pernah suatu masa lalu, Mujahid ada sesi lawatan ke gereja bersama guru-gurunya. Namun, setelah berbincang bersama suami, kami bersependapat untuk tidak membenarkan Mujahid menghadiri sekolah pada hari tersebut. Dia terlalu kecil untuk berfikir dan membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Mana yang betul, mana yang salah. Mudah-mudahan lawatan singkat kami hari ini, bisa menjelaskan kepada Mujahid mengapa Ummi dan Abi tidak mengizinkan dia pergi bersama kawan-kawannya. Hmm, mengapa di Malaysia belum ku dengar sesi lawatan sambil belajar anak-anak ke masjid? Mungkinkah sebab kebanyakkan masjid negeri yang tersergam indah itu meletakkan notis : Anak-anak di bawah lima tahun dilarang masuk ke kawasan masjid? Aduhai....
Anakku, masjid adalah milik kita. Ikatlah hatimu dengan masjid. Mudah-mudahan kau dikelilingi teman-teman dari orang soleh dan musleh.
-Ummi, 19/10/2009-

Monday, October 12, 2009

Perbandingan Cinta....

Jika ada orang bertanya, 'Aku mencintaimu seperti.... cintaku seperti apa....' dan diberi masa untuk menuliskannya apa yang akan anda tulis?

Edisiku begini....

'Aku mencintaimu seperti.... cintaku seperti apa.... Hmmm... puas ku memikirkan apakah perumpamaan cinta. Pernah ku dengar orang umpamakan cinta seperti durian. Duri diluar, payah dibuka namun akhirnya nanti mambuahkan halwa di mulut. Ada juga yang membuat perumpamaan seperti tomato. Tomato yang diblendar bersama cili dan belacan pasti enak.... Ada benarnya juga perumpamaan-perumpamaan seperti itu.

Terfikir juga dalam fikiranku untuk menggambarkan cinta seperti paku dan kayu. Cocok kedua-duanya. 'Made for each other' orang kata. Tapi bila difikirkan lagi, paku itu keras dan kayu juga keras. Menerusi pengamatanku dan pengalaman peribadi, persamaan begini jarang ada pada pasangan suami isteri. Ramai yang ku lihat suaminya kasar isterinya lembut, atau sebaliknya isterinya garang suaminya lembut, suaminya penyerabut isterinya pengemas, suaminya the beast isterinya the beauty. Begitulah seterusnya, umpama ying dan yang.

Lantas cinta itu umpama apa??? Cinta itu buta, cinta pandang pertama, cinta sekilas pandang, cinta monyet... atau apa???

Akhirnya aku menyerah. Tiada perumpaan untuk menggambarkan cinta. Keindahan perasaan cinta hanya boleh digambarkan oleh pencinta itu sendiri. Tiada kata-kata atau bait-bait puitis sebuah puisi yang mampu menggambarkan perasaan cinta seseorang. Namun begitu, cinta yang paling agung dan indah ialah CINTA SEORANG HAMBA KEPADA TUHANNYA.... itulah cinta hakiki dan abadi.... jadi adakah cinta itu seperti durian, seperti tomato bersama cili dan belacan, seperti paku dan kayu.... hanya orang yang bercinta bisa menjawabnya.....

Abu Mujahid



Tuesday, October 6, 2009

Persidangan Pertama di USA oleh Abu Mujahid (Part 2)

Semasa

Seperti yang diceritakan sebelum ini, pemergiaanku ke persidangan kali ini diperhatikan. Dalam erti kata yang lain, aku kena menampakkan kehadiran terutama dalam sesi-sesi pembentangan. Nampak gayanya tak bolehlah nak berjalan di tengah-tengah program.

Walau apapun, dengan keadaan di mana ada 'sesuatu' yang memperhatikan membuatkanku ingat kembali tujuan datang ke persidangan ini. Bila terasa wang yang dilaburkan oleh rakyat dan juga oleh institut di Berlin, kehadiranku ke persidangan ini seharusnya positif. Ada hasil yang harus dibawa pulang untuk manfaat bersama. Sebenarnya bila difikirkan, tak perlu Prof Huang menjadi 'sesuatu' itu sedangkan 'sesuatu' itu boleh jadi juga IMAN di dalam hati yang menjadi 'pemerhati' setiap tindak-tanduk kita sehari-hari. Namun lumrah agaknya, bila sesuatu yang ghaib biasanya manusia buat acuh tak acuh berbanding perkara yang jelas kelihatan di depan mata menjadikan diri sentiasa PEKA.

Alakullihal, pembentanganku berjalan lancar. Masa yang diberi selama 25 minit cukup untuk menerangkan semuanya. Sayang sekali tiada soalan kerana masa yang suntuk. Dalam persidangan kali ini, pembentang yang hadir hampir 95% merupakan panel dari industri dan pakar-pakar (Prof. dan Dr.) dari Universiti. Hanya terdapat dalam 5% pembentang yang masih di peringkat pelajar. Sebahagian besar dari pembentangan lebih berkisar kepada usaha-usaha yang telah dilakukan berbanding penyelidikan terkini dalam bidang 'sustainability'.

Selama berada di Cincinnati, sempat juga aku berjalan di beberapa tempat menarik seperti kawasan downtown, kompleks membeli-belah dan muzium. Sepanjang aku berada di sini, kawasannya sangat bersih. Sejuk mata memandang. Tak kelihatan sampah sarap. Hanya dedaunan kering bertaburan di lantai bumi.



Hotel tempat persidangan

Pemandangan hotel dari jauh

Downtown (1)

Downtown (2)

Downtown (3)

Muzium


Sepanjang aku di sini teringat cerita-cerita barat berkaitan suasana sosial di US. Ragut, tembak-menembak, pukul-memukul dan lain-lain. Biasanya mereka menggambarkan kejadian begini dengan orang kulit hitam. Oleh itu timbul pelbagai persepsi terhadap mereka. Takut juga jalan-jalan terutama di kawasan majoriti kulit hitam, badan ketul-ketul takut pulak kena ketuk...

Prof Huang ada bagi tips kalau berjalan di US yang bagi aku sangat bermanfaat. Bagi mereka yang nak ke US tips ini aku rasa sangat informatif. Dia kata jika ada orang minta duit, kalau boleh bagi je. Cuma dia pesan jangan keluarkan duit dari dompet nanti nampaklah dolar-dolar yang lain tu. Jika boleh simpan 1 atau 2 keping duit 1 dollar di dalam poket. Jika ada sesiapa minta duit keluar sahaja dari poket tanpa perlu mengeluarkan dompet. Aku rasa tips ni boleh digunakan terutama di tempat-tempat yang ramai orang minta-minta duit.

Prof. Jiri Klemes, University of Pannonia, Hungary (kiri) , Dr. Subhas Sikdar, US EPA (tengah) dan aku hehehe

Selepas

Selepas persidangan.... satu persoalan yang sukar dijawab. Masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan seperti menyediakan manuscript, idea-idea untuk kerja-kerja mendatang, simulasi, modelling, calculation dll. Tapi at least kali ini aku sudah berjaya memberikan first impression yang baik untuk Phd ku. Laa haulawala quwwatailla billah. Ya Allah!!! tiadalah kekuatan pada diriku melainkan dari Mu jua...

Part 1 : Persidangan Pertama di USA oleh Abu Mujahid (Sebelum)

Tuesday, September 15, 2009

Salam Aidilfitri dari Berlin



Dikesempatan ini, kami seisi keluarga Baitul SMR mengucapkan Salam Aidilfitri buat ayah, mama, adik-beradik, saudara-mara, jiran tetangga, sahabat dekat dan jauh yang sangat kami cintai. Maaf zahir dan batin atas segala salah silap terkasar bahasa perilaku yang tak indah dimata.. Andai benar ini Ramadhan terakhir buat kami, maafkan dan ikhlaskan semua kesilapan kami. Banyak nikmat kurniaanNya untuk kita syukuri... Namun, kemuncak kegembiraan hari ini adalah khabar pembebasan suami Cikgu Norlaila dari menjadi mangsa tahanan tanpa bicara! AllahuAkbar! Entri lepas boleh dibaca disini : ISA.

Kami dendangkan lagu ini buat semua...






Selamat Berpuasa 6 di bulan Syawal semua..
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” (Hadis Riwayat Muslim)

Muhassabah Ramadhan : Kepompong Ramadhan
"Fasting is like a pupa that transforms a disgusting worm into a beautiful butterfly.
On this Eidulfitr, I wish you are the butterfly. Eid Mubarak to all..."

...lets sprint to the finishing line!

Salam dari Berlin,
Mohamad Rizza,
Mardhiyah,
Ahmad Mujahid,
Ahmad Mukhlis,
Khaulah Sofiyah

-26 Ramadhan 1430H-

Saturday, September 12, 2009

Online Library : Koleksi Anak-anak



Kami tiada TV di rumah.

Boleh percaya tak? Betul kami tiada TV di rumah sekarang ini! Bahkan, kalau sebut pasal pilihan di Berlin ini ada lebih 35 siaran tidak termasuk siaran tambahan lain yang dilanggan.
"Korang tak nak beli TV ke?"
"Kami nak balik ni, ambil jelah TV kami"
"Anak-anak nanti cepat pandai deutsch"

Ntahlah, Ummipun tak tahu kenapa hati begitu berat sekali untuk 'mengadakan' TV di sini. Bukan tiada siaran kanak-kanak, bukan membangkang cepatnya anak 'tangkap' bahasa asing, bukan menidakkan minat Abi pada siaran sukan, tapi ntahlah... mungkin bagi Ummi, belum menjadi keperluan keluarga di sini. Mungkin suatu hari nanti tapi bukan sekarang. Alhamdulillah, dengan kelajuan internet di German ini, pelbagai laman web dapat dibuka dan ditonton dengan cepat. Jadi kami menonton berita, you tube, dan lainnya dengan mudah. Tambah lagi, sejak Mukhlis sudah pandai klik mouse sendiri dan kadang-kala mahu menonton 'rancangan' di youtube yang berbeza dengan Mujahid, maka di skrin akan ada dua window dibuka. Jangan Khaulah nanti minat berbeza, kene ada 3 window pulak. Atau Abi nak belikan sorang satu pc?

Internet juga memberikan kuasa pada Ummi dan Abi untuk disconnect jika mereka tak mahu berhenti. Sementara mereka masih kecil dan mudah dikontrol, apa salahnyakan? Bayangkan kalau di zaman kita sekarang pun, internet sudah menjadi kebiasaan dan keperluan.. inikan pula di zaman mereka nanti. Sepandai-pandai mereka, kenelah Ummi dan Abi one step ahead lebih pandai. Lepas ni kenelah block pada browser pulak. Tapi, sejauh manapun Ummi dan Abi berusaha sekat elemen yang tidak baik, jatidiri dan daya kawalan dalam diri anak-anak itu perlu disemai dari sekarang. Itulah fungsi iman. Mudah-mudahan mereka terbiasa dengan perkara baik dan mampu menolak perkara buruk yang datang. Amien...

Sekadar perkongsian di akhir-akhir Ramadhan ini, berikut adalah beberapa laman web yang biasa anak-anak buka. Juga carian di youtube yang biasa mereka tonton. Memang Ummi tidak senaraikan semua, kerana lazimnya characters/ tv shows / permainan kanak-kanak semuanya ada web-page masing-masing kan seperti Pocoyo, Sesamestreet, Upin Ipin, Lego, Playmobil, dan lain-lain.

1) Hilal's World - Helping poor people to a better life.

2) Islamic Playground - Islamic games, quizzes, puzzles, Arabic alphabet games, Islamic stories and much more.

3) One 4 Kids, Zaky's World - Entertaining and educatianal media for children.

4) Panwapa Island - Where kids shape the world.

5) Pinky Dinky Doo - Learn English with Pinky.

6) Starfall - Learn to read at Starfall.

7) Ready Set Learn - Learn and Discover

Carian di youtube :

1) Cintai Allah Cintai Islam dan koleksinya.

2) Muslim Kid School dan koleksinya.

3) Cerita Dan Lagu Anak Islam dan koleksinya.

4) Cerita Anak Muslim dan koleksinya.

5) Islamic Kid Story "Duta & Diti" dan koleksinya.

6) Doa Bangun Tidur dari At-Tilmiz dan koleksinya.

7) Nasyid Buah-buahan dari Siri Pendidikan Mawaddah dan koleksinya.

....rupanya banyak juga yang boleh kita dapati disini. Cuma Ummi dan Abi perlu membimbing kerana akal anak-anak belum matang dan belum mampu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Mudah-mudahan Allah membantu kami untuk menjaga amanah yang diberi dengan sebaiknya.

Teman-teman ada laman menarik untuk dikongsikan dengan keluarga kami? Terima kasih sebelum dan sesudahnya. ^_^

-Ummi, 13/9/09-

Sunday, September 6, 2009

Persidangan Pertama di USA oleh Abu Mujahid (Part 1)

Salam semua,

Lama rasanya tak menulis di blog ni. Sibuk menulis dan mencari idea baru untuk selesaikan PhD. Sebenarnya dah hampir sebulan konferens tersebut berlalu dan baru sekarang sempat nak menulis serba sedikit mengenainya untuk tatapan keluarga tersayang di kampung halaman, rakan-rakan seperjuangan dan juga anak-anak murid yang mungkin terbaca tulisan ini.

Konferens yang saya maksudkan ialah 1st International Congress on Sustainability Science & Engineering 2009 (ICOSSE 09) yang diadakan pada 9-12 Ogos di Cincinnati, Ohio, USA. Dalam penulisan ini, saya bahagikan kepada 3 bahagian iaitu sebelum, semasa dan selepas konferens.

Sebelum

Semestinya dalam setiap level pengajian; sarjana muda, sarjana dan PhD, pasti memerlukan suatu bentuk penerbitan ilmiah lebih-lebih lagi bagi Sarjana dan PhD. Semasa saya buat Sarjana dulu, saya diminta untuk membuat penerbitan tentang penyelidikan saya. Cuma saya tak ingat minimum berapa. Waktu tu saya berjaya hasilkan 2 penulisan dalam bentuk proceedings dan 1 penulisan jurnal.

Bagi PhD pula, saya tak pasti juga berapa yang perlu buat. Tapi awal-awal dulu saya ada menandatangani satu dokumen perjanjian di mana saya tidak boleh terbitkan sebarang artikel penyelidikan tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran institut dan pihak industri. Jadi faktor jumlah penerbitan mungkin tergantung kepada peruntukan dokumen tersebut. Tapi saya jangkakan mungkin 2 kertas kerja di konferens dan 2 penulisan jurnal antarabangsa. Sekarang ni alhamdulillah 1 pembentangan dah selesai yakni yang saya nak cerita ni, dan 1 jurnal atau book chapter masih dalam proses.

Pemilihan konferens ni mempunyai beberapa cabaran. Pertama ialah ianya diadakan di USA. Persoalan utama yang timbul ialah mana nak cari duit. Jumlah keseluruhan hampir mencecah 2000 euro = RM 10 000 !!! Jadi saya bincang dengan Prof, jika terpilih dia akan sponsor separuh dari perbelanjaan dan selebihnya saya akan cari dari UMP, of course mana lagi nak cari kan... Lagipun kalau ikut peruntukan KPT bagi pelajar di Eropah, mereka hanya bantu untuk persidangan di sekitar Eropah sahaja. Selain itu kena cari sendiri.

Kedua ialah bahan untuk dibentangkan. Kat sini saya lihat perbezaan pembentangan di Malaysia dan juga di German ni. Di sini saya menjalani lebih kurang 6 saringan sebelum boleh dibentangkan di konferens tersebut. Paling susah dan paling detail yang pernah saya alami. Setiap satunya mengambil masa tidak kurang dari 45 minit. Di bahas dari setiap sudut seperti kaedah penyelidikan, keputusan, slide layout, typesetting style, colour layout, selection of words dll. Di Malaysia (sebatas pengalaman saya) pembentangannya agak mudah. Paling kurang 1 atau 2 kali pembentangan depan SV dan tak se detail itu. Mungkin ini yang patut diamalkan oleh penyelidikan dan juga SV. Satu saringan semacam QA (Quality Assurance) kerana pembentangan bukan sahaja untuk berkongsi tentang apa yang kita buat tapi juga ianya secara tak langsung 'menjual' reputasi diri, penulis, organisasi dan universiti. Kalau diambil enteng, orang yang melihatnya juga akan pandang enteng pada kita.

Alhamdulillah bila bahan sudah lengkap dan lamaran saya ke konferens itu juga diterima, maka Prof saya dan juga UMP setuju untuk menaja perbelanjaan saya ke sana.... Yahooo, Cincinnati here I come !!! Nach Cincinnati gehen !!!

Cuma satu kerisauan saya.... Sebelum ke sana, Prof saya pesan yang Prof Huang akan mendengar presentation saya dan dia akan menerima maklum balas darinya. Jika laporannya negatif.... we will look and see after that what will happen... Guuullllp. Ada yang jadi 'jin qarin' pulak...huhuhu

Bersambung....

Friday, September 4, 2009

Chocolate Cake EmyFidaMar

Chocolate cake untuk dinner di rumah Kak Ami

Chocolate cake untuk birthday Mukhlis

Bulan Mac lalu, kawan Ummi yang dikenali oleh Mujahid sebagai Ibu, iaitu Fida a.k.a Supermum pulang ke Malaysia. Fidalah antara orang yang memutikkan semangat Ummi untuk belajar membuat kek dek melihat dan merasai kek Fida yang pelbagai versi. Sekarang beberapa hari lagi, seorang lagi kawan Ummi iaitu Emy akan balik Malaysia juga. Alhamdulillah, masing-masing pulang dengan bangga dan syukur atas kejayaan suami masing-masing. Disebalik segulung ijazah yang diterima oleh sang suami, kami surirumah yang setia menemani ini juga tidak kurang hebatnya belajar itu ini. Tanpa menafikan susah senang di perantauan, jauh dari keluarga dan sahabat terdekat, jauh dari kebiasaan dan kesenangan, telah banyak mengajar kami ilmu dan pengalaman, cinta dan persahabatan, juga survival untuk hidup. Buat Ibu Jannah dan Ummi Irschad, terima kasih atas persahabatan ini. Moga ianya kekal terjalin dalam rahmat Allah dan manis bak chocolate cake yang pernah sama-sama kita buat. ^_^

Resepi ini diberikan oleh Emy yang dapat dari kawannya. Dikongsikan pula resepi Kek Coklat yang mudah dibuat ini, tambah lagi oleh orang-orang 'baru' seperti kami :

BAHAN A
1 3/4 cawan tepung gandum
2 cawan gula kastor (tak de, pakai gula pasir pun lepas)
3/4 cawan sebuk koko

1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh baking powder

BAHAN B
1 cawan minyak masak

1 cawan air
1 cawan susu segar
2 biji telur

Cara-caranya :

1) campurkan bahan A dan kacau
2) masukkan bahan B satu per satu dan kacau lagi
3) kacau je semua tu dengan sudu menggunakan tangan, tak perlu guna mixerpun!
4) kacau lagi sampai rata dan tiada yang berketul..

5) sambil-sambil tu, jangan lupa preheat oven
6) masukkan adunan kek, masak pada suhu 180 degree, lebih kurang 45 minit

7) dah dekat-dekat 45 minit, test cucuk tengok dah masak belum

BAHAN UNTUK TOPPING
butter

serbuk koko
susu pekat manis

Cara-caranya :
1) cairkan sedikit butter dalam periuk dan selepas cair, tutup api
2) masukkan serbuk koko dan susu
3) kacau hingga likat, jika tidak likat lagi tambah susu pekat, jika manis sangat, tambah serbuk koko, jika pekat sangat, tambah butter..
4) kacau, kacau sampai pekat
5) letak atas kek dan taburkan chocolate rice ke, grated chocolate bar ke, havelnuts ke..


Siap untuk dimakan! hmmm, lecker...

* notes :
- sebab ini resepi survival, tiada sukatan2 digunakan. Tetapi untuk cawan, kalau dah guna satu cawan, gunakan cawan yang sama untuk sukatan semua bahan. Jangan tukar tukar cawan berlainan saiz pulak!
- kalau tidak mahu buat topping pun tak mengapa, tetapi dari pengalaman Ummi topping ni yang membantu melajukan orang makan. yumm, yumm

Untuk mengakhiri catatan kali ini, mari kita nyanyikan nursery ryhme dari deutschland ini. Ala-ala "pat a cake, pat a cake, bake me a cake as fast as you can". Kalau tidak tahu, boleh belajar dari Mujahid & Mukhlis. ^_^

"Backe, backe Kuchen. Der Bäcker hat gerufen.
Wer will guten Kuchen backen,
der muss haben sieben Sachen.
Eier und Salz, Butter und Schmalz, Milch und Mehl,
Safran macht den Kuchen gehl.
Schieb in den Ofen rein"

-Ummi, 4 Sept 2009-
Related Posts with Thumbnails