Friday, July 31, 2009

"La Tahzan! Jangan Bersedih..."

Hari ini perasaan itu bertandang lagi,
untuk menjadi seorang hamba Allah yang cemerlang bukan mudah,
ditambah dengan peranan sebagai seorang ibu, isteri, sahabat, anak, dll
tatkala perasaan gagal itu datang, tatkala perasaan sedih itu menyinggah,
lihatlah sekelilingmu, perhatikan alammu, dan bersyukurlah!
kata Abi pada Ummi, carilah kelebihan itu dan dan unleashed the power.

Ya Allah, bantulah aku dalam perjalanan ini...
Bagaimana mereka melakukannya? Mereka berjaya menjadi ibu yang berwawasan, bercita-cita tinggi, siap berkorban untuk orang lain, menjadi orang yang bermanfaat buat masyarakatnya...

Alhamdulillah, seorang sahabat telah membuat renungan indah yang diambil dari buku "La Tahzan" (Jangan Bersedih) karya terhebat Dr. Aidh al-Qarni...









...sematkan dalam hatimu, bahawa hari ini adalah milikmu!


-Ummi, Jumaat 31 Julai 09-

Wednesday, July 29, 2009

Siapa Ihsan? Siapa Irschad?



Alhamdulillah, tiada kata untuk menggambarkan kegembiraan apabila melihat kedua-dua pasangan muda ini beroleh cahaya mata. Doa dimalam hari yang tiada putus, airmata yang gugur berserah pada Yang Kuasa, sujud penuh pengharapan moga impian dimakbulkan Tuhan... AllahuAkbar, kami bertakbir riang tatkala mendapat berita penantian mereka berakhir untuk menimang si kecil, sang cahaya hati...

Lalu doa kami sertakan buat anakanda dari Bay dan Irda, bernama Muhammad Ihsan.
Lalu doa kami titipkan buat anakanda dari Naz dan Emy, bernama Muhammad Irschad.

Kenapa Ihsan? Kenapa Irschad? Ummi berfikir panjang... pasti ada rahsia disebalik nama yang dipilih. Mungkin Ummi tidak dapat memahami sepenuhnya perasaan pasangan suami isteri yang menanti kehadiran si kecil kerana telah diberikan amanah oleh Allah seawal 3 bulan selepas bergelar isteri. Melihat keresahan yang sempat bertandang itu, pengharapan yang tiada putus itu, lalu Allah perkenan diiberikan pinjaman menguji kesyukuran. Maka, pasti ada keistimewaan disebalik nama yang dipilih untuk diabadikan itu...

Rahsia Ihsan... Rahsia Irschad... dan cubaku singkapi.

***
IHSAN; EHSAN; (Alif Ha Sin Alif Nun) -kebaikan

“Beribadahlah kamu seakan-akan kamu melihat Allah. Jika kamu tidak sampai kepada upaya itu, maka sekurang-kurangnya rasakanlah yang Allah melihat kamu” (HR Bukhari dan Muslim)

Begitulah gambaran Ihsan yang disebutkan dalam hadis ini. Besarnya peranan Ihsan dalam kehidupan, baik ibadah mahupun pekerjaan agar segalanya dilakukan dengan sepenuh upaya kerana menyedari hidup ini sentiasa di bawah perhatian dan penilaian Tuhan. Dan Tuhan itu tidak tidur, dan tidak mengantuk walau sesaatpun... masyaAllah. Lalu Ummi baca lagi..

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan untuk berbuat ihsan terhadap segala sesuatu. Maka jika kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang ihsan, dan hendaklah menajamkan pisau dan menyenangkan (menenangkan & menenteramkan) haiwan sembelihan itu” (HR Muslim)

Subhanallah, Ihsan itu merupakan tuntutan kepada seseorang Muslim untuk sentiasa berbuat baik seupaya mungkin! Baik sesama manusia, atau dengan makhluk Allah yang lain. Ihsan adalah perbuatan baik dan berkualiti yang berfungsi sebagai pelindung kepada bangunan keislaman seseorang. Jika rukun iman adalah tapak asas, rukun islam adalah bangunan, maka Ihsan adalah atap yang melindunginya. Jika seseorang berbuat Ihsan, maka amal-amal Islamnya yang lain akan terpelihara dan bertahan lama kerana dilindungi oleh Ihsan. Dan Ummi singkapi lagi...

Disebutkan dalam Al-Quran, keuntungan seseorang yang beramal dengan amal yang Ihsan, iaitu dicintai Allah (QS 2 : 195), mendapat pahala (QS 33 : 29) dan beroleh pertolongan Allah (QS 16 : 128).
Alangkah bahagianya dicintai oleh Allah, pemilik segala yang dilangit dan dibumi!
Alangkah nikmatnya diganjari oleh Allah, penguasa seluruh kerajaan!
Alangkah beruntungnya diberi bantuan oleh Allah, pendengar Yang Maha Mengetahui segala sesuatu!

IRSCHAD; IRSYAD; IRSHAD; (Alif Ro Shin Alif Dal). - nasihat, panduan, petunjuk

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, nescaya diberi petunjuk oleh Tuhan kerana keimanannya. Mereka di dalam syurga yang penuh kenikmatan, mengalir di bawahnya sungai-sungai" (QS 208 : 9)

Begitulah gambaran orang-orang yang beroleh petunjuk dalam ayat ini, disebabkan keimanannya. Keimanan kepada Allah s.wt. merupakan hubungan yang mulia antara seseorang hamba dengan Penciptanya. Maka, beroleh petunjuk dari Allah dengan diberikannya nikmat Iman dan Islam adalah kenikmatan terbesar seseorang dari Tuhannya. Keimanan itu bukanlah semata-mata ucapan yang keluar dari bibir, keimanan itu bukan sekadar kepercayaan dalam hati, tetapi keimanan itu adalah suatu aqidah bersih yang memenuhi seluruh ruang hati nurani yang menerbitkan pengaruh dan kesan sebagaimana cahaya sang suria menyinari seluruh alam! SubhanAllah, Ummi terduduk...

“..dan sungguh, Allah itu pasti memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.” (QS 332 : 54)

Orang-orang yang diberikan petunjuk mempunyai nilai-nilai yang teguh dalam agamanya, kental dalam jati dirinya sebagai seorang muslim, dan berkualiti untuk mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Disitu letaknya pegangan yang berteraskan jiwa tauhid dan akhlak nubuwwah. Digambarkan orang-orang yang beroleh petunjuk ini mempunyai jiwa yang suci dari sifat mazmumah, memancarkan cahaya keikhlasan, kasih sayang dan keyakinan yang tiada tergugat kepada Allah dan hari Akhirat. Sifat-sifat inilah yang memimpinnya kepada nilai-nilai hidup yang positif dalam segala pekerjaan yang dilakukan.. AllahuAkbar! Maka, tatkala hati sudah memperoleh petunjuk, maka kebaikan apa lagi yang akan ditinggalkan? Pastinya semua amal kebaikan, sifat bersedia berkorban untuk orang lain dan amanah sebagai khalifah Allah akan dilaksanakan dengan seupaya mungkin!

***
Iya, kita semua tahu nama itu merupakan sebuah doa buat anak-anak. Namun, menjadi seorang Muslim yang baik bukan pada namanya semata-mata. Muslim yang baik, biarpun namanya mungkin Dolah atau Minah, tetapi jika akhlaknya, perilakunya, ketaatannya selaras dengan ketetapan Ilahi maka dia adalah muslim yang baik! Memberikan nama yang baik adalah sebuah permulaan dalam perjalanan membina keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah.
Terima kasih wahai si kecil atas ingatannya...
Terima kasih wahai si comel atas nasihatnya...

Adakah kita termasuk orang yang membuat kebaikan dan beroleh petunjuk?

-Ummi, 29 Julai 2009-

Friday, July 24, 2009

Boleh Kita Jumpa Rabu Ini?




MasyaAllah, hari ini sungguh panas, pasti Mukhlis akan merengek minta dibelikan aiskrim. Jika sebelum ini Mukhlis biasanya akan minta air, tapi sejak suhu di Berlin melebihi 20 degree, Mukhlis sudah mula minta aiskrim setiap kali pulang dari kindergarten. Apatah lagi, petang ini suhunya 26 degree... panas, memang panas apabila kita telah terbiasa dengan suhu di bawah 15 degree!

"Hallo, selamat petang puan. Petang Rabu ini adakah suami puan berkelapangan untuk jumpa saya"

Hari Rabu biasanya ibu bapa boleh membuat temujanji dengan guru-guru tadika untuk mengetahui perkembangan anak masing-masing. Tetapi kami sampai hari ini belum pernah menghadiri sesi itu sehinggalah petang itu Regina pula yang meminta izin untuk bertemu kami.

"Soalnya, suami puan lebih memahami deutsch dari puan." Aduh, nampak sangat riak muka Ummi yang lebih banyak tak faham dari faham apabila mereka bercakap dalam deutsch. Yelah, dengan bergantung pada beberapa perkataan yang difahami, Ummi cuma mengagak apa yang orang kata. Cikgu-cikgu lebih senang bercakap dengan Mujahid daripada Ummi.

Berdebar juga nak menantikan tibanya petang Rabu itu. Pelbagai soalan bermain di fikiran. Lumrah ibu dari Malaysia agaknya, the first thing that pop-up to my mind was...Mujahid buat salah ke di sekolah? Kesian Mujahid, berkali-kali Ummi tanya. "Mujahid ada buat orang tak?""Mujahid gaduh dengan Wadim ke?""Ha, Mujahid pukul Paul ye?"
"Tak Ummi... tak ummi.."
"Betul ke? Allah tak sayang orang cakap bohong."
"Abang main je, abang tak buat orang..."

Ohh, tiba-tiba Ummi rasa sayu mendengarkan jawapan Aid. Iya, mengapa aku harus bersangka buruk padanya...Bagaimana aku hendak sentiasa bersangka baik dengan orang lain kalau dengan anak sendiri sudah bersangka-sangka. Semasa memenuhi undangan makan di rumah teman malam Isnin itu ku menceritakan pada teman-teman bahawa cikgu Aid hendak jumpa kami. "Mujahid ada buat orang kot Mar!" Arghhh, mentaliti kita sama rupanya. Ingatkan jawapan mereka dapat menghilangkan resah dihati. Tidak, tidak! Ku harus hadir dengan hati yang bersih dari sangka-sangka supaya laporan dari guru Mujahid dapat diterima dengan berlapang dada...

***
Petang Rabu itu rupanya Abi datang lebih awal dari yang dijanjikan. Tatkala Ummi sampai, sesi ibu bapa bersama guru itu sudahpun bermula. Ummi terus mengambil tempat dan duduk di sisi Abi mendengarkan laporan dari Regina. Matanya yang biru, senyumannya yang tak lepas, semangatnya bercerita dengan penuh keibuan menghilangkan semua kegusaran fikiran, menjawab semua persoalan... Bermula dengan laporan Mujahid dan diikuti oleh laporan Mukhlis, Regina menyampaikan berdasarkan laporan yang telah disiapkan oleh guru penjaga masing-masing. (Nota : Setiap anak diletakkan dibawah pengawasan seorang guru khas untuk menjaga). Walaupun laporan disampaikan dalam bahasa German, Ummi dapat memahami serba sedikit laporan yang disampaikan. Tidak sangka pertemuan itu penuh dengan gelak tawa. Mereka sangat sistematik, rapi dan begitu menekankan hal perkembangan anak! SubhanaAllah, banyak pengajaran yang Ummi dapat hasil pertemuan petang itu. Antara perkara yang dilaporkan kepada ibubapa termasuklah :
1) hubungan anak dengan rakan sebaya, rakan lebih muda, rakan lebih tua, dan dengan orang dewasa;
2) mainan dan bentuk aktiviti yang digemari dan dikuasai (special skill) oleh anak;
3) pola makan anak dan jenis makanan yang digemari dan yang tidak digemari;
4) waktu tidur dan keadaan anak selepas bangun tidur;
5) tahap kompetensi anak... haaa, jangan ingat pegawai kerajaan sahaja ada laporan kompetensi!

Rumusan laporan adalah seperti berikut :
AHMAD MUJAHID (masuk tadika sejak Jun 2008)
- pandai bergaul dengan semua termasuk anak yang lebih kecil, tetapi lebih 'ngam' dan rapat dengan kawan sebaya,
- berkebolehan menyelesaikan puzzle dan menggemarinya,
- sangat bersemangat dan seronok setiap kali sesi lawatan sambil belajar,
(mereka telah melawat zoo, menara, tasik, naik bot, teater, parks, sport center, lapangan terbang, dll just to name a few),
- penguasaan Mujahid dalam bahasa deutsch telah meningkat banyak terutama selepas berpisah dengan Muaz (kawan baiknya yang telah pulang ke Malaysia),
- dapat memahami dan bertutur dalam deutsch dengan baik untuk anak seusianya yang dari luar, tetapi perlu ditingkatkan sebelum masuk sekolah (bermula anak 6 tahun),
- pencapaiannya secara keseluruhan menepati kompetensi yang harus dicapai oleh anak berusia 5 tahun.

AHMAD MUKHLIS (masuk tadika sejak November 2008)
-agak pasif dan pendiam berbanding Mujahid, tetapi dapat bermain baik dengan rakan sebaya,
-pada mulanya hanya akan ke mana-mana dengan abang, tetapi kini semakin bagus dan boleh sendirian tanpa abang,
-menggemari aktiviti di sport center,
-tidur diwaktu rehat anak-anak kecil, tetapi biasanya walaupun orang lain telah bangun, Muhklis masih mahu tidur,
- memilih makanan, jika makanan tidak menepati selera, Mukhlis tidak akan makan,
(yelah, tekak orang Malaysia kalau makan pasta dengan kuah bayam dan krim, aduhai terlalu berkhasiat!)
- suka aktiviti dengan play-doh dan melukis dengan krayon, tetapi sangat berhati-hati jika menggunakan warna air dengan tangan, (siapa tak kenal Mukhlis, tak suka kotor dan semua kene perfect!)

***
Alhamdulillah anak-anak dapat menyesuaikan diri di sekolah dengan baik. Walau macammanapun, ini bukanlah tiket untuk Ummi dan Abi lepas tangan dari proses pendidikan anak. Tidak dinafikan kemahiran mereka menguasai bahasa asing adalah membanggakan, selain kreativiti dan pelbagai skill yang berjaya diterapkan oleh guru. Namun untuk memperkenalkan pada Penciptanya yang Maha Agung, pada aqidahnya yang bersih, pada tuntutan ketaatan seorang Muslim, pada cita-cita yang tertinggi, pada sikap cinta dan kasih, itulah amanah kami.
Maafkanlah Abi dan Ummi andai dalam perjalanan kita ini, kami melukai hatimu anak. Sesungguhnya kami juga masih belajar...dan terus belajar.

- Ummi, 24 Julai 2009-

Wednesday, July 22, 2009

Perginya Seorang Marwa...



Catatan ringkas ini ditulis buat teman-teman ditanah air yang banyak menanyakan berita ini...

Kisah ini berlaku di Dresden, sebuah kota yang terletak di bahagian Timur Germany. Kota Dresden ini didirikan oleh bangsa Slavia pada tahun 1206 yang bersempadan dengan Chech dan Poland. Jarak dari Berlin, tempat kami tinggal dengan Dresden cuma 200 km sahaja. Walaupun begitu peratus penduduk warga asing dicatatkan masing-masing sebagai Berlin 14% dan Dresden 4%. Dresden dinobatkan sebagai salah satu bandar terhijau di Eropah, dengan 63% diliputi oleh hutan dan kawasan hijau. Sayangnya, kota yang segar ini telah bermandikan darah dari seorang wanita yang tidak berdaya...

***
Kisahnya bermula pada Ogos 2008 di sebuah taman permainan di daerah Johannstadt, Dresden. Ketika itu, Marwa membawa anaknya Mustafa keluar bermain seperti kebiasaannya. Setelah lama bermain, akhirnya si anak meminta ibunya untuk bermain buaian yang waktu itu sedang dinaiki oleh seorang budak dan sebuah lagi oleh Alexander W, seorang penganggur warga German berketurunan Rusia. Lantas Marwa menyapa meminta izin untuk anaknya bermain buaian. Tetapi permohonan santun itu dibalas dengan penuh cacian dan kemarahan. Bukan sahaja Marwa dimaki sebagai pelacur, teroris, bahkan lelaki berbadan gempal itu berusaha menanggalkan tudung yang dipakai rapi oleh Marwa. Cacian dan makian lelaki ini tidak berakhir di situ tetapi berlanjut untuk hari-hari kemudiannya.

Marwa dan suaminya akhirnya menuntut keadilan, lalu membawa kes ini ke muka pengadilan German. Alex telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak €780 atas kesalahan menghina dengan kata-kata kasar dan hasutan perkauman. Ternyata hukuman ciptaan manusia itu tidak dapat mencegah dari berulang perbuatan yang sama atau memadamkan perasaan benci lelaki itu tadi. Alex menyimpan dendam penuh kebencian dari hari ke hari. Akhirnya, pada 1 July 2009 seisi langit dan bumi menjadi saksi akan syahidnya seorang wanita berjiwa mulia lagi berani demi mempertahankan haknya memakai jilbab... Marwa yang tika itu sedang hamil 3 bulan, gugur hanya kerana selembar kain yang dipakai di atas kepala...

Di pagi 1 Julai itu, ruang sidang yang kecil itu hanya dihadiri oleh beberapa orang bahkan tiada polis yang bertugas di sekitar ruangan kerana kes ini bukan kes besar, hanya sebuah sebutan semula kes pengaduan Marwa terhadap penghinaan yang diterimanya. Polis yang membawa masuk Alex ke ruang sidang terus keluar selepas itu. Tatkala giliran Marwa memberikan kesaksian terhadap penghinaan dan gangguan Alex kepadanya, tiba-tiba lelaki itu bangun berlari ke arah Marwa lantas membenamkan pisau ke tubuhnya sambil berteriak 'Kamu tidak layak untuk hidup'. Bukan sekali, bukan dua kali, bukan tiga kali, tetapi 18 kali! 18 tikaman selama 8 minit tanpa interupsi di sebuah mahkamah, tempat mendapat keadilan menurut undang-undang manusia bertamadun di sebuah negara maju! Ya Allah...

Tika semua disitu terkejut dan dalam suasana riuh itu, tiada siapa yang datang membantu. Suaminya, Elwi Ali Okaz berluru kehadapan untuk mempertahankan isterinya. Bahkan beliau turut cedera dengan beberapa tikaman. Jeritan dan teriakan orang disitu akhirnya didengar oleh polis yang segera datang. Tambah kusut, yang ditembak adalah Ali dan bukan Alex! Ya Rabbi, apakah kerana mereka 'tersilap' atau kerana menyangkakan Ali itulah penjenayah si teroris yang berwajah Arab!! Dan semua itu, teman-temanku disaksikan oleh Mustapa, anak comel yang baru berusia 3 tahun... Gugurlah seorang wanita syahid mempertahankan maruahnya. Suaminya yang cedera parah pula dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal dan koma 3 hari.

Berita ini mengambil masa 2 hari sebelum ianya dipaparkan di dada akhbar tempatan. Itupun tajuknya yang tidak menggambarkan perkara pokok yang menjadi isu, 'pergaduhan bermain buaian' atau 'mahkamah perlu dipertingkatkan keselamatan'. Kerajaan German pula mengambil masa 10 hari untuk mengeluarkan penyataan maaf kepada keluarga mangsa. Masih teringat sejarah silam, dimana seorang khalifah menghantar bala tenteranya ke sebuah tempat kerana mereka mengganggu maruah seorang wanita Islam. Berbahagialah Marwa yang beroleh anugerah besar, syahid di jalanNya. Berbahagialah Marwa yang disembahyangkan oleh ribuan orang di seluruh dunia. Berbahagialah Marwa yang jenazahnya menjadi rebutan untuk diusung..

***
Kita sedih, kita kesal, kita marah, kita kasihan...
tetapi jangan biarkan kesedihan kita setakat ini sahaja. Sampaikan pada anakmu, sampaikan pada keluargamu, sampaikan pada temanmu...
bahawa tudung yang dipakai ini, bukan kerana adat ikut-ikutan...
bahawa tudung yang dipakai ini, jangan sampai hari demi hari makin 'berkurang' kerana arus fesyen...
bahawa tudung yang dipakai ini, jangan sekali dilucutkan hanya untuk menyemat sekuntum melur disanggul pada hari persandinganmu...

Moga kita beroleh naungan dihari tiada naungan selain naunganNya.

Salam hormat buatmu Marwa,
dari seorang Mardhiyah.

- Ummi, 15 Julai 2009 -

Monday, July 20, 2009

Kembara Dzikir dan Fikir ke Pulau Rügen




Alhamdulillah setelah setahun tiga bulan berada di Germany, kami sekeluarga telah berkesempatan bercuti ke Pulau Rügen pada April lepas lantaran kesibukan jadual Abi yang padat. Sebuah percutian yang kami namakan Kembara Dzikir dan Fikir, dimana setiap ahli keluarga dalam pengambaraannya harus memerhati dengan mata hati mencari ibroh dari keindahan ciptaan Allah dan sekelilingnya. Menaiki RE dari Gesundbrunnen seawal 7 pagi dan melalui kawasan perkampungan dengan tanah lapang yang sungguh indah menjadikan perjalanan dirasakan singkat. Sambil anak-anak mengintai mencari-cari haiwan yang terlihat dari dalam keretapi.

Rügen atau juga dikenali sebagai Rugia adalah pulau terbesar di German dengan keluasan 726km persegi. Pulau yang terkenal sebagai tempat pelancongan ini terletak di Lautan Baltic yang luas. Pulau ini dikenal mengikut suasana musimnya yang berbeza dari bulan ke bulan :

Januari - perfect days of winter wellbeing.
Februari - a winter wonderland.
Mac – spring is in the Air at the Baltic Sea!
April – get that springtime feeling!
Mei – an island in full bloom...
Jun – it’s summertime!
Julai – the height of summer.
Ogos – sunny days and midsummer night dreams...
September - gentle, mild and full of possibility.
October – autumn in all her finery!
November – time to get cosy.
Disember – the highlight of the year.

Perjalanan dari 'tanah besar' ke pulau hanya sekitar 1-2 km sahaja, dengan laluan keretapi yang sangat hampir dengan laut. Dari tingkap, seolah-olah keretapi berjalan di gigi air. Tatkala perasaan bimbang mengusik, teringat kisah Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya yang setia menyeberangi Laut Merah. Apakah perasaan mereka tatkala melalui laluan ditengah lautan dalam? Kaki-kaki mereka teguh berlari dengan penuh yakin bahawa Allah pasti menyelamatkan mereka.

Setiba di Binz, kami disambut dengan udara yang begitu segar. Pasti dipenuhi ion-ion positif yang baik untuk otak. Maha Suci Allah yang menciptakan udara, walaupun tidak terlihat dengan mata kasar namun 'keindahannya' benar-benar terasa. Perjalanan kaki ke tempat menginap terasa damai dengan kecantikan rumah-rumah kecil dengan taman yang dijaga rapi. Setiap rumah dengan corak dan identitinya tersendiri menggambarkan citarasa peribadi pemiliknya.

Tempoh 2 hari 1 malam terasa begitu singkat. Banyak tempat dan aktiviti yang tidak sempat kami lakukan, maklumlah dengan 3 anak kecil tentunya 'melambatkan' sedikit pergerakan kami. Walaupun begitu, satu pengalaman unik adalah memberi makan burung sea-gull. Bukan memberi makan di tanah seperti burung merpati, tetapi di udara. Ya... di udara, ketika burung masih terbang! Tiada kata yang boleh menggambarkan melihat 'keajaiban' burung-burung itu makan di udara. Mereka seolah-olah terapung-apung, tiada tali yang mengikat, tiada tiang yang menyokong. "Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya di udara selain Yang Maha Pengasih. Sungguh, Dia Maha Melihat segala sesuatu" (Q67 : 19)


Moga perjalanan singkat itu menambahkan keimanan kami padaMu...
Sungguh kami tunduk, dan kami patuh..

- Ummi, 5 Mei 2009 -

Saturday, July 18, 2009

My first PhD paper.... a 'sweet' one

Salam Liebe Bruder und Schwester,

Orang kata PhD ini ialah 'permanent head damage'. Kalau difikirkan betul juga. Tapi saya harap saya tak macam tu walaupun ada juga kenalan-kenalan saya yang mendapat 'PhD'nya. Mungkin tu agaknya pengorbanan yang harus di bayar untuk mendapat gelaran Dr.

Di kesempatan ini saya nak kongsi sedikit seciput pengalaman paper PhD pertama saya. Sebenarnya ini bukanlah pertama kali saya membuat paper. Dah banyak kali jugalah buat tapi yang ni rasa yang paling 'sweet' buat saya. Ada beberapa sebab saya katakan ianya 'sweet'. Pertama ialah kerana ia merupakan tajuk kedua saya setelah tajuk pertama yang saya usahakan selama 6 bulan ditolak atas alasan Prof kata, kawan dia kata tajuk tersebut tak ada prospek. Jadi tajuk yang terbaru ini yang saya propose adalah dari 'NULL' ke tahap ada kertas kerja dan ditambah dengan Prof yang kurang expert dalam bab tajuk tersebut. Jadi semuanya bergantung pada diri sendiri dan yang paling penting ialah ilham dari Empunya Segala Ilmu, Allah swt.

Sebab kedua ialah kerana paper yang saya buat akhirnya dinilai baik oleh seorang Prof dari US yang expert dalam bidang yang saya kaji. Prof yang saya maksudkan ialah Prof Yinlun Huang dari Wayne State Uni, MI, US (http://chem1.eng.wayne.edu/~yhuang/). Sebagai Prof tamu di institut saya iaitu Fachgebeit Dynamik Betrieb technische Anlagen (DBtA), Berlin Institute of Technology (http://www.dbta.tu-berlin.de/menue/mitarbeiter/), saya manfaatkan sepenuhnya kehadiran beliau untuk mendapatkan khidmat nasihatnya. Memandangkan bidang yang saya kaji cocok benar dengan bidang kepakarannya jadi saya tak boleh lepaskan peluang tersebut kerana mungkin paper yang saya hendak hasil adalah turning point untuk PhD saya. Pertemuan demi pertemuan diatur dengan Prof Huang. Contengan demi contengan saya dapat dan pembetulan demi pembetulan saya buat. Akhirnya dia puas hati. Dia kata kerja saya bagus. Bagi saya alhamdulillah semua kebaikan milik Allah swt, saya hanya mampu berusaha dan berdoa. Keputusannya di tangan Allah yang Maha Kuasa. Dia juga offer saya buat post-doc di US.... hmmm.... nak pergi US buat post-doc.... byk benda tu nak fikir... but first of all PhD kena ada dulu... kemudian baru fikir nak terima tawaran tu atau tidak. Alhamdulillah, Prof saya juga kata yang Prof Huang akan jadi external examiner masa viva nnt. Its too early isn't it? Tapi apapun semuanya anugerah dari Allah, so kena manfaatkan dan fikirkan next project to tackle my external examiner...

So itulah yang 'sweetnya' kertas kerja PhD pertama saya. Satu berita gembira buat saya dan ummu khaulah terutamanya kerana seolah-olah ada sautu 'sinar' petunjuk yang saya akan habis. Berita gembira juga buat keluarga di tanahair at least ada khabar gembira yang boleh diberitahu khasnya kepada PM Dr. Mat Hussin Yunan, ayah mertua saya.... huhuhu...

Salam,
Rizza
'hidup adalah suatu ibrah yang perlu diselami...'

Pengenalan dari Abu Mujahid


1,0 PENGENALAN

"Segala puji bagi Allah yang memiliki segala sifat-sifat sebagai pencipta dan pemerintah di alam semesta ini. Tuhan yang segala hukumnya terlaksana di
langit dan di bumi. Semuanya terlaksana melalui kebijaksanaan dan qudratNya yang merangkumi sekalian yang ada, dengan rahmat dan ilmuNya. Dialah Allah yang Maha Pencipta, Maha Esa dan Maha Tinggi yang mencipta manusia dan mengurniakan mereka segala kelebihan ilmu dan akal. Dialah yang menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Dialah yang mengutus para utusan dari sisiNya bagi membimbing dan memimpin manusia ke arah jalan yang baik dan terpimpin. Dialah yang menurunkan kitab-kitab yang mengandungi hidayah, cahaya dan bimbingan untuk manusia yang bertakwa.

Selawat dan salam dihadiahkan kepada hamba-hamba Allah yang soleh dan terpilih yang diutus sebagai pembawa berita gembira dan bencana. Mereka diutus sebagai penunjuk jalan bagi manusia, menerangi jalan yang lurus dan menunjukkan jalan yang sejahtera dan adil bagi bangsa manusia. Mereka mengajar manusia tujuan mereka dicipta oleh Allah. Mereka mengajar manusia cara hidup yang baik dan betul di dunia ini. Segala cahaya hidayah dan akhlak baik yang anda lihat pada hari ini di muka bumi ini sebenarnya adalah hasil usaha mereka. Jika tidak kerana kurnia dan rahmat Allah yang telah mengutus para utusanNya kepada kita, jika tidak kerana usaha mereka yang berterusan dan berharga dalam mengembangkan dakwah dan hidayah ini, sudah tentu pada hari ini tidak wujud cahaya hidayah dan kerdipan bintang yang bersinar dan bergemerlapan di dada langit. Oleh itu, seluruh manusia terhutang budi dengan pengorbanan, kurniaan dan jasa mereka yang tidak terbayar walau betapa banyak balasan yang diberikan selama-lamanya. "
[1]

Kata-kata Al-Maududi ini benar-benar membangkitkan semangat kita semua. Kata-kata spontan beliau semasa berpidato di khalayak ramai menggambarkan keperibadian, keilmuan serta kefahamannya terhadap tabiat agama ini. Alangkah indahnya sekiranya kita menjadi antara mereka yang dikenang kerna mengambangkan dakwah dan hidayah ini sehingga "
seluruh manusia terhutang budi dengan pengorbanan, kurniaan dan jasa mereka yang tidak terbayar walau betapa banyak balasan yang diberikan selama-lamanya". Itulah sebaik-baik ganjaran bila menghadap Allah Azzawajalla kelak. Ganjaran yang tidak memberikan mudharat kepada masyarakat, tidak diingini oleh mereka yang kuffar dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Hanya bekal iman dan takwa menjadi penentu kepada ganjaran ini yang hanya dimiliki oleh mereka yang bekerja keras utk Islam lalu mendapat rahmat dan ihsan Allah untuk mendapakannya. Selayaknya bagi golongan ini ialah Syurga Allah Azzawajalla. Firman Allah SWT yang bermaksud :-

"Dan ditanya kepada orang yang bertakwa: Apakah yang diturunkan oleh Tuhanmu? Mereka menjawab: Kebaikan. Bagi orang yang berbuat baik di dunia ini balasan yang baik, dan balasan akhirat itu lebih baik lagi; dan negeri akhirat itu sebaik-baik negeri bagi orang yang bertakwa. Iaitu Syurga Adn, yang mereka akan memasukinya, yang mengalir dibawahnya sungai-sungai; mereka beroleh di dalamnya apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah memberi balasan kepada orang yang bertakwa. Mereka yang diwafatkan oleh malaikat dalam keadaan baik, sambil malaikat itu berkata kepada mereka: Selamat sejahteralah kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan." [16:30-32]

2,0 LATARBELAKANG ISLAM DI GERMAN [2]

Muslim buat pertama kalinya bertapak di German pada kurun ke-18 bagi memenuhi tujuan ketenteraan, diplomatik dan hubungan ekonomi dengan Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pada awal kurun ke-18, 20 tentera muslim berkhidmat di bawah Frederick William I Prussia. Pada tahun 1745, Frederick II Prussia telah menubuhkan sebuah unit tentera dikenali sebagai "Muslim Riders" yang kebanyakannya dianggotai oleh muslim di Bosnia, Albania dan Tatar.

Tahun 1914 sehingga 1918 iaitu semasa perang dunia pertama menyaksikan seramai 15000 muslim telah ditawan dan dipenjarakan di Berlin. Pada tahun 1915 sebuah masjid telah didirikan untuk tahanan tersebut. Namun masjid tersebut telah dipindahkan pada 1930. Selepas perang, terdapat sejumlah kecil muslim yang masih tinggal di Berlin yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar dan golongan terpelajar.

Masjid pertama untuk masyarakat Islam di Berlin dibina pada tahun 1924 oleh seorang Ulama India bernama Sadr-ud-Din. Masjid ini diberi nama Ahmadiyya Mosque Berlin. Utk melihat masjid tersebut sila ke http://berlin. ahmadiyya. org/index. htm. Kami sekeluarga tidak lagi berkesempatan untuk ke Masjid tersebut. Insyallah jika berkesempatan kami akan ke sana.

Dalam usaha untuk membangunkan semula German selepas perang dunia pertama, pihak kerajaan Berlin telah mengambil tenaga-tenaga buruh dari Turki bagi membangunkan infrastruktur disini. Setelah itu Islam semakin berkembang dan ketara terutama di German Barat. Pada tahun 2006 di German terdapat 3,3 juta muslim (4% dari jumlah penduduk German), 1 juta daripadanya adalah warganegara German sendiri.

Majoriti muslim di German adalah dari Turki namun terdapat sebilangan daripada Pakistan, bekas Yugoslavia, negara-negara Arab, Iran dan Afghanistan. Kebanyakan masyarakat Islam di sini ialah Sunni namun terdapat juga Syiah di sini.
Daripada maklumat yang diperolehi terdapat lebih kurang 34 masjid Turki di Berlin dan itu tidak termasuk masjid Arab. Terdapat juga masjid dari negara-negara majoriti Islam seperti masjid Indonesia di Berlin dan masjid Malaysia di Wolfsburg/Hannover.

RUJUKAN

[1] Al-Maududi. Shahadatul Haq.
[2] http://en.wikipedia .org/wiki/ Islam_in_ Germany

Tuesday, July 14, 2009

Permulaan pertama...

Alhamdulillah, setelah hampir setahun lebih diusulkan oleh Abi, akhirnya blog keluarga ini berjaya dimulakan. Itupun, malam tadi tapaknya dimulakan oleh Abi sendiri. :) InsyaAllah, mudah-mudahan catatan pena kami, bingkisan hati kami, perjalanan kembara kami dapat diabadikan dalam bentuk yang lebih tersusun agar mudah dibaca, direnungkan, diambil iktibar oleh kami mahupun generasi selepas kami.

...buat permulaan, apa yang dimasukkan adalah catatan setahun
yang lepas (boleh lihat entry tahun 2008). InsyaAllah, kedepan, kami akan masukkan bersesuaian dengan tarikh semasa. :)

Inilah hadiah kami buat anak-anak, cahaya hati kami..
mudah-mudahan kalian mendapat banyak manfaat dari perkongsian perjalanan hidup Abi dan Ummi dalam mengharungi hidup sehari-hari demi meraih sebuah cintaNya.. Amin.


'Rabbana hablana min azwajina wa zuriyyatina qurrataa'yun, waj'alna lil muttaqina imama'
'Ya Tuhan kami, kurniakan kami jodoh dan keturunan yang menyenangkan mata dan hati kami dan jadikanlah kami contoh orang-orang bertaqwa' (Q25 : 74)

Khaulah Sofiyah, The Winter Baby




5 Januari 2008 kami sekeluarga selamat tiba di Berlin. 5 Januari 2009 kami sekeluarga telah menerima ahli baru. Kehadirannya tidak dirancang, malah pada mulanya menggusarkan. Bagaikan tidak mahu percaya tika itu bahawa aku telah mengandung 2 bulan! Alhamdulillah akhirnya ketenangan mula berputik tatkala bertemu dengan teman-teman di masjid lalu mereka memelukku dan membisikkan doa padaku. Hatiku menangis... Oh Tuhan, mengapa aku begitu mementingkan diri sendiri dengan memikirkan kesusahan mengandung dan menjaga anak, walhal anak ini diletakkan oleh Allah dalam rahimku sebagai amanah. Rupanya kandunganku bukanlah kepunyaanku, tetapi milik setiap orang Islam. Moga kehadirannya menambah barokah dan seri kami di sini. Maka bermulalah episod hidup Khaulah Sofiyah...
Nama
D.O.B
Lahir pada minggu ke
Masa
Berat
Panjang
Tempat Lahir
Mujahid
30.05.04
39/40
2.11 pm
3.4 kg
51cm
Johor Bahru
Mukhlis
06.02.07
39/40
4.33 am
3.25 kg
51 cm
Kuantan
Khaulah
05.01.09
38/40
9.59 pm
3.32 kg
50 cm
Berlin
Walaupun anak ke 3, kesakitan melahirkan Khaulah jauh lebih berat dan lama berbanding saat melahirkan abang-abangnya. Sungguhpun dalam bilik bersalin yang direka dengan rapi dan menawan, doktor dan bidan yang terlalu baik, teman doktor yang menemani biarpun telah habis syif tugasnya dan suami disamping yang tidak henti mengusap... semuanya tidak dapat menghentikan kesakitan yang dirasai malam itu. Dalam kesakitan itu, sempat kubayangkan bagaimana saudaraku di Gaza yang juga saat itu sedang melahirkan. Mereka tidak punya apa melainkan Tuhannya Yang Maha Besar dan semangat yang menjulang tinggi! Akhirnya, setelah berjam-jam menyabung nyawa, Allah memberiku kekuatan dan ketenangan. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? (Q 55: 13). Seminit sebelum detik 10 malam, Khaulah Sofiyah lahir dan dipotong tali pusatnya oleh Abi. Lahirnya tika Gaza diserang tanpa henti oleh Israel laknatullah dari segenap arah... Lahirnya bersama 3500 orang bayi lain di Gaza... Khaulah, dengarlah pesanan Ummi bahawa Palestin adalah hati kita!
Nama Khaulah ini telah diminati sebelum bertemu dengan Rizza lagi. Dalam catatan agung sejarah riwayat Baginda Rasulullah s.a.w, terdapat beberapa orang tokoh wanita bernama Khaulah. Antaranya ialah Khaulah binti Azur, seorang srikandi pahlawan perang yang hebat (http://www.geocities.com/pmkias_online/artikel008.htm) , Khaulah binti Tha'labah, wanita yang aduannya didengar Allah dari langit ke tujuh (http://dakwah.info/main/index.php/biografi-sahabat/143-khaulah-bt-tsalabah) dan Khaulah ibu saudara Rasulullah s.a.w yang meminangkan Saidatina Aisyah untuk disunting sebagai isteri Baginda. Sofiyah pula menjadi pilihan Rizza sempena Sofiyah binti Huyay, iaitu salah seorang isteri Rasulullah s.a.w yang juga meriwayatkan hadis daripada Baginda. Sofiyah adalah anak ketua kabilah Yahudi Bani Quraizah yang memilih Islam sebagai pegangannya. Mudah-mudahan Khaulah dan Sofiyah ini dikenal sepanjang zaman biarpun kisah mereka telah lama tersimpan dalam lipatan sejarah dan tidak lagi dikenali ramai. Paling tidak moga-moga Ummu Khaulah sentiasa berusaha untuk mempunyai semangat tinggi dan berhati waja dalam hidupnya mencari redha Allah...

- Ummi, 240109 2.20am –
Related Posts with Thumbnails