Friday, July 24, 2009

Boleh Kita Jumpa Rabu Ini?




MasyaAllah, hari ini sungguh panas, pasti Mukhlis akan merengek minta dibelikan aiskrim. Jika sebelum ini Mukhlis biasanya akan minta air, tapi sejak suhu di Berlin melebihi 20 degree, Mukhlis sudah mula minta aiskrim setiap kali pulang dari kindergarten. Apatah lagi, petang ini suhunya 26 degree... panas, memang panas apabila kita telah terbiasa dengan suhu di bawah 15 degree!

"Hallo, selamat petang puan. Petang Rabu ini adakah suami puan berkelapangan untuk jumpa saya"

Hari Rabu biasanya ibu bapa boleh membuat temujanji dengan guru-guru tadika untuk mengetahui perkembangan anak masing-masing. Tetapi kami sampai hari ini belum pernah menghadiri sesi itu sehinggalah petang itu Regina pula yang meminta izin untuk bertemu kami.

"Soalnya, suami puan lebih memahami deutsch dari puan." Aduh, nampak sangat riak muka Ummi yang lebih banyak tak faham dari faham apabila mereka bercakap dalam deutsch. Yelah, dengan bergantung pada beberapa perkataan yang difahami, Ummi cuma mengagak apa yang orang kata. Cikgu-cikgu lebih senang bercakap dengan Mujahid daripada Ummi.

Berdebar juga nak menantikan tibanya petang Rabu itu. Pelbagai soalan bermain di fikiran. Lumrah ibu dari Malaysia agaknya, the first thing that pop-up to my mind was...Mujahid buat salah ke di sekolah? Kesian Mujahid, berkali-kali Ummi tanya. "Mujahid ada buat orang tak?""Mujahid gaduh dengan Wadim ke?""Ha, Mujahid pukul Paul ye?"
"Tak Ummi... tak ummi.."
"Betul ke? Allah tak sayang orang cakap bohong."
"Abang main je, abang tak buat orang..."

Ohh, tiba-tiba Ummi rasa sayu mendengarkan jawapan Aid. Iya, mengapa aku harus bersangka buruk padanya...Bagaimana aku hendak sentiasa bersangka baik dengan orang lain kalau dengan anak sendiri sudah bersangka-sangka. Semasa memenuhi undangan makan di rumah teman malam Isnin itu ku menceritakan pada teman-teman bahawa cikgu Aid hendak jumpa kami. "Mujahid ada buat orang kot Mar!" Arghhh, mentaliti kita sama rupanya. Ingatkan jawapan mereka dapat menghilangkan resah dihati. Tidak, tidak! Ku harus hadir dengan hati yang bersih dari sangka-sangka supaya laporan dari guru Mujahid dapat diterima dengan berlapang dada...

***
Petang Rabu itu rupanya Abi datang lebih awal dari yang dijanjikan. Tatkala Ummi sampai, sesi ibu bapa bersama guru itu sudahpun bermula. Ummi terus mengambil tempat dan duduk di sisi Abi mendengarkan laporan dari Regina. Matanya yang biru, senyumannya yang tak lepas, semangatnya bercerita dengan penuh keibuan menghilangkan semua kegusaran fikiran, menjawab semua persoalan... Bermula dengan laporan Mujahid dan diikuti oleh laporan Mukhlis, Regina menyampaikan berdasarkan laporan yang telah disiapkan oleh guru penjaga masing-masing. (Nota : Setiap anak diletakkan dibawah pengawasan seorang guru khas untuk menjaga). Walaupun laporan disampaikan dalam bahasa German, Ummi dapat memahami serba sedikit laporan yang disampaikan. Tidak sangka pertemuan itu penuh dengan gelak tawa. Mereka sangat sistematik, rapi dan begitu menekankan hal perkembangan anak! SubhanaAllah, banyak pengajaran yang Ummi dapat hasil pertemuan petang itu. Antara perkara yang dilaporkan kepada ibubapa termasuklah :
1) hubungan anak dengan rakan sebaya, rakan lebih muda, rakan lebih tua, dan dengan orang dewasa;
2) mainan dan bentuk aktiviti yang digemari dan dikuasai (special skill) oleh anak;
3) pola makan anak dan jenis makanan yang digemari dan yang tidak digemari;
4) waktu tidur dan keadaan anak selepas bangun tidur;
5) tahap kompetensi anak... haaa, jangan ingat pegawai kerajaan sahaja ada laporan kompetensi!

Rumusan laporan adalah seperti berikut :
AHMAD MUJAHID (masuk tadika sejak Jun 2008)
- pandai bergaul dengan semua termasuk anak yang lebih kecil, tetapi lebih 'ngam' dan rapat dengan kawan sebaya,
- berkebolehan menyelesaikan puzzle dan menggemarinya,
- sangat bersemangat dan seronok setiap kali sesi lawatan sambil belajar,
(mereka telah melawat zoo, menara, tasik, naik bot, teater, parks, sport center, lapangan terbang, dll just to name a few),
- penguasaan Mujahid dalam bahasa deutsch telah meningkat banyak terutama selepas berpisah dengan Muaz (kawan baiknya yang telah pulang ke Malaysia),
- dapat memahami dan bertutur dalam deutsch dengan baik untuk anak seusianya yang dari luar, tetapi perlu ditingkatkan sebelum masuk sekolah (bermula anak 6 tahun),
- pencapaiannya secara keseluruhan menepati kompetensi yang harus dicapai oleh anak berusia 5 tahun.

AHMAD MUKHLIS (masuk tadika sejak November 2008)
-agak pasif dan pendiam berbanding Mujahid, tetapi dapat bermain baik dengan rakan sebaya,
-pada mulanya hanya akan ke mana-mana dengan abang, tetapi kini semakin bagus dan boleh sendirian tanpa abang,
-menggemari aktiviti di sport center,
-tidur diwaktu rehat anak-anak kecil, tetapi biasanya walaupun orang lain telah bangun, Muhklis masih mahu tidur,
- memilih makanan, jika makanan tidak menepati selera, Mukhlis tidak akan makan,
(yelah, tekak orang Malaysia kalau makan pasta dengan kuah bayam dan krim, aduhai terlalu berkhasiat!)
- suka aktiviti dengan play-doh dan melukis dengan krayon, tetapi sangat berhati-hati jika menggunakan warna air dengan tangan, (siapa tak kenal Mukhlis, tak suka kotor dan semua kene perfect!)

***
Alhamdulillah anak-anak dapat menyesuaikan diri di sekolah dengan baik. Walau macammanapun, ini bukanlah tiket untuk Ummi dan Abi lepas tangan dari proses pendidikan anak. Tidak dinafikan kemahiran mereka menguasai bahasa asing adalah membanggakan, selain kreativiti dan pelbagai skill yang berjaya diterapkan oleh guru. Namun untuk memperkenalkan pada Penciptanya yang Maha Agung, pada aqidahnya yang bersih, pada tuntutan ketaatan seorang Muslim, pada cita-cita yang tertinggi, pada sikap cinta dan kasih, itulah amanah kami.
Maafkanlah Abi dan Ummi andai dalam perjalanan kita ini, kami melukai hatimu anak. Sesungguhnya kami juga masih belajar...dan terus belajar.

- Ummi, 24 Julai 2009-

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails