Wednesday, July 29, 2009

Siapa Ihsan? Siapa Irschad?



Alhamdulillah, tiada kata untuk menggambarkan kegembiraan apabila melihat kedua-dua pasangan muda ini beroleh cahaya mata. Doa dimalam hari yang tiada putus, airmata yang gugur berserah pada Yang Kuasa, sujud penuh pengharapan moga impian dimakbulkan Tuhan... AllahuAkbar, kami bertakbir riang tatkala mendapat berita penantian mereka berakhir untuk menimang si kecil, sang cahaya hati...

Lalu doa kami sertakan buat anakanda dari Bay dan Irda, bernama Muhammad Ihsan.
Lalu doa kami titipkan buat anakanda dari Naz dan Emy, bernama Muhammad Irschad.

Kenapa Ihsan? Kenapa Irschad? Ummi berfikir panjang... pasti ada rahsia disebalik nama yang dipilih. Mungkin Ummi tidak dapat memahami sepenuhnya perasaan pasangan suami isteri yang menanti kehadiran si kecil kerana telah diberikan amanah oleh Allah seawal 3 bulan selepas bergelar isteri. Melihat keresahan yang sempat bertandang itu, pengharapan yang tiada putus itu, lalu Allah perkenan diiberikan pinjaman menguji kesyukuran. Maka, pasti ada keistimewaan disebalik nama yang dipilih untuk diabadikan itu...

Rahsia Ihsan... Rahsia Irschad... dan cubaku singkapi.

***
IHSAN; EHSAN; (Alif Ha Sin Alif Nun) -kebaikan

“Beribadahlah kamu seakan-akan kamu melihat Allah. Jika kamu tidak sampai kepada upaya itu, maka sekurang-kurangnya rasakanlah yang Allah melihat kamu” (HR Bukhari dan Muslim)

Begitulah gambaran Ihsan yang disebutkan dalam hadis ini. Besarnya peranan Ihsan dalam kehidupan, baik ibadah mahupun pekerjaan agar segalanya dilakukan dengan sepenuh upaya kerana menyedari hidup ini sentiasa di bawah perhatian dan penilaian Tuhan. Dan Tuhan itu tidak tidur, dan tidak mengantuk walau sesaatpun... masyaAllah. Lalu Ummi baca lagi..

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan untuk berbuat ihsan terhadap segala sesuatu. Maka jika kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang ihsan, dan hendaklah menajamkan pisau dan menyenangkan (menenangkan & menenteramkan) haiwan sembelihan itu” (HR Muslim)

Subhanallah, Ihsan itu merupakan tuntutan kepada seseorang Muslim untuk sentiasa berbuat baik seupaya mungkin! Baik sesama manusia, atau dengan makhluk Allah yang lain. Ihsan adalah perbuatan baik dan berkualiti yang berfungsi sebagai pelindung kepada bangunan keislaman seseorang. Jika rukun iman adalah tapak asas, rukun islam adalah bangunan, maka Ihsan adalah atap yang melindunginya. Jika seseorang berbuat Ihsan, maka amal-amal Islamnya yang lain akan terpelihara dan bertahan lama kerana dilindungi oleh Ihsan. Dan Ummi singkapi lagi...

Disebutkan dalam Al-Quran, keuntungan seseorang yang beramal dengan amal yang Ihsan, iaitu dicintai Allah (QS 2 : 195), mendapat pahala (QS 33 : 29) dan beroleh pertolongan Allah (QS 16 : 128).
Alangkah bahagianya dicintai oleh Allah, pemilik segala yang dilangit dan dibumi!
Alangkah nikmatnya diganjari oleh Allah, penguasa seluruh kerajaan!
Alangkah beruntungnya diberi bantuan oleh Allah, pendengar Yang Maha Mengetahui segala sesuatu!

IRSCHAD; IRSYAD; IRSHAD; (Alif Ro Shin Alif Dal). - nasihat, panduan, petunjuk

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, nescaya diberi petunjuk oleh Tuhan kerana keimanannya. Mereka di dalam syurga yang penuh kenikmatan, mengalir di bawahnya sungai-sungai" (QS 208 : 9)

Begitulah gambaran orang-orang yang beroleh petunjuk dalam ayat ini, disebabkan keimanannya. Keimanan kepada Allah s.wt. merupakan hubungan yang mulia antara seseorang hamba dengan Penciptanya. Maka, beroleh petunjuk dari Allah dengan diberikannya nikmat Iman dan Islam adalah kenikmatan terbesar seseorang dari Tuhannya. Keimanan itu bukanlah semata-mata ucapan yang keluar dari bibir, keimanan itu bukan sekadar kepercayaan dalam hati, tetapi keimanan itu adalah suatu aqidah bersih yang memenuhi seluruh ruang hati nurani yang menerbitkan pengaruh dan kesan sebagaimana cahaya sang suria menyinari seluruh alam! SubhanAllah, Ummi terduduk...

“..dan sungguh, Allah itu pasti memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.” (QS 332 : 54)

Orang-orang yang diberikan petunjuk mempunyai nilai-nilai yang teguh dalam agamanya, kental dalam jati dirinya sebagai seorang muslim, dan berkualiti untuk mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Disitu letaknya pegangan yang berteraskan jiwa tauhid dan akhlak nubuwwah. Digambarkan orang-orang yang beroleh petunjuk ini mempunyai jiwa yang suci dari sifat mazmumah, memancarkan cahaya keikhlasan, kasih sayang dan keyakinan yang tiada tergugat kepada Allah dan hari Akhirat. Sifat-sifat inilah yang memimpinnya kepada nilai-nilai hidup yang positif dalam segala pekerjaan yang dilakukan.. AllahuAkbar! Maka, tatkala hati sudah memperoleh petunjuk, maka kebaikan apa lagi yang akan ditinggalkan? Pastinya semua amal kebaikan, sifat bersedia berkorban untuk orang lain dan amanah sebagai khalifah Allah akan dilaksanakan dengan seupaya mungkin!

***
Iya, kita semua tahu nama itu merupakan sebuah doa buat anak-anak. Namun, menjadi seorang Muslim yang baik bukan pada namanya semata-mata. Muslim yang baik, biarpun namanya mungkin Dolah atau Minah, tetapi jika akhlaknya, perilakunya, ketaatannya selaras dengan ketetapan Ilahi maka dia adalah muslim yang baik! Memberikan nama yang baik adalah sebuah permulaan dalam perjalanan membina keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah.
Terima kasih wahai si kecil atas ingatannya...
Terima kasih wahai si comel atas nasihatnya...

Adakah kita termasuk orang yang membuat kebaikan dan beroleh petunjuk?

-Ummi, 29 Julai 2009-

1 comment:

  1. wah...tudung baru ke kak? kakak mmg up-to-date la w/pun nuun di berlin..fesyen tudung di m'sia skrg!

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails