Friday, August 28, 2009

Kami bahagia menyambutmu...


Ramadhan 1429H, Berlin Germany

Ramadhan 1430H, Berlin Germany

Alhamdulillah, kebahagiaan yang tidak terucap dapat menyambut Ramadhan lagi. Tahun ini adalah Ramadhan ke 2 kami di Berlin dengan bertambahnya seri dengan kehadiran Khaulah, adik kesayangan Mujahid dan Mukhlis. Sejak Ummi dan Abi bersetuju mengikat janji untuk melayari bahtera bersama, menjadi rutin tahunan keluarga kami untuk cuti sehari sebelum Ramadhan tiba. Kebiasaannya kami merapikan seluruh rumah, mewangikan segenap sudut, memasang tulisan warna warni, mencuci itu ini hingga anak-anak semuanya ikut semangat menyambut hadirnya tetamu agung ini. Tahun ini Ummi dan Abi agak kelam kabut membuat persiapan kerana jadual yang padat dan baru pulang dari perjalanan jauh menziarahi sahabat atau lebih tepat lagi ' a family friend'.

Catatan Ummi kali ini nampaknya tidak sempat kalau mahu dituliskan persediaan keluarga sebelum Ramadhan sebab hari ini dah masuk hari ke-8. Jauh disudut hati, mudah-mudahan anak-anak terbiasa dan turut merasai kehebatan bulan ini sehingga menjadi kenangan indah mereka. Kalau di sekolah, Mujahid dan Mukhlis didedahkan dengan pelbagai suasana menggembirakan menjelang Christmas. Mereka bernyanyi, mencorak pelbagai seni kraftangan, menerima hadiah, bermain pelbagai jenis permainan dengan guru, dan macam-macam lagi. Maka Ummi dan Abi perlu menunjukkan bahawa Allah menghadiahkan kita dengan hadiah yang lebih istimewa, bukan sehari dua tetapi sebulan. Berpuasa adalah seronok, ke masjid adalah best, mengkhatam Quran adalah kenikmatan, bahkan setiap hari yang dilalui dalam bulan ini adalah suatu keseronokkan. Ramadhan itu menyimpan seribu satu peluang membuat kebaikan dan keseronokkan! Puasa itu bukanlah hanya sekadar menahan lapar dan dahaga. Anak-anak diberi peluang memberi hadiah, menjamu tetamu berbuka, bersedeqah, bertemu dan solat beramai-ramai dengan kawan, agar tertanam subur perasaan bahagia melihat orang lain bahagia. Inilah bulan untuk kita merapatkan ukhuwah, menjalinkan kasih sayang dan meningkatkan kepedulian kita sesama muslim. Bukankah memberi itu lebih baik dari menerima? Mari di bulan penuh rahmah ini, kita memberikan seluas-luas kemaafan buat semua. Memaafkan suami atau isteri kita, memaafkan anak-anak kita, memaafkan keluarga kita, memaafkan teman jauh dan dekat... Memberi maaf dari menunggu untuk menerima maaf. Moga Ramadhan yang dilalui menjadi detik-detik dalam hidup yang sangat indah, seronok dan bahagia...

Memetik sebuah sajak indah yang ditulis oleh seorang sahabat istimewa :

Aku ingin,
agar aku bisa selalu
meminta maaf atas semua kesalahanku...

Aku ingin,
agar aku bisa selalu
memaafkan orang-orang yang membuat kesalahan
padaku...

Aku ingin,
agar aku bisa senantiasa
menahan amarahku...

Aku ingin,
agar aku bisa senantiasa
berterima kasih
atas semua kebaikan untukku..

Maka,
hari ini,
aku meminta, maafkan aku.
Dan aku pun telah memaafkanmu.
Dan aku pun menahan amarahku.
Dan aku pun berterima kasih padamu.
Kerna kuingin,
ampunan dan surga Allah untukku.

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu, Allah menyediakan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya baik diwaktu lapang atau sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain, Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan." (Q Al-Imran: 133-134).


Ramadhan Kareem to all. Kami bahagia menyambutmu...
- Ummi, 28 Ogos 2009 -

Monday, August 10, 2009

ISA : Maafkan Aku Cikgu!



Peristiwa 1 Ogos 2009 itu benar-benar membuat Ummi terpanggil. Terpanggil untuk mencari maklumat, terpanggil untuk memahami, terpanggil untuk merasai.. Bukan tak pernah tahu, bukan tak pernah baca, tapi mungkin selama ini tidak melihat untuk merasai, tidak mendalami untuk berkongsi hati dengan mereka yang mengalaminya. Selama ini Ummi hanya sibuk dengan urusan pejabat dan rumahtangga, hingga mengabaikan pesanan Nabi, bahawa seorang mukmin itu dengan mukmin yang lain adalah bersaudara. Dimanakah Ummi tatkala mereka beramai-ramai turun dalam Himpunan MANSUH ISA? Alangkah terkejutnya Ummi dengan apa yang Ummi temui... air mata jatuh satu persatu bersama ucapan, maafkan aku cikgu, maafkan aku cikgu...

***

ISA (Internal Security Act) telah diwujudkan sejak 49 tahun lalu, iaitu semenjak 1 Ogos 1960 dengan tujuan asal untuk mencegah golongan subversif dan komunis yang mengancam keselamatan negara. Apa yang berlaku, undang-undang ini tidak dimansuhkan sebaik darurat tamat, malah dikekalkan bagi menangani pelbagai keadaaan 'darurat' lain? Melalui undang-undang ini, kerajaan atau pemerintah boleh menahan sesiapa saja tanpa perlu didakwa atau dibawa ke mahkamah. Boleh jadi Ummi, boleh jadi Abi, boleh jadi saudara yang membaca, boleh jadi sesiapa sahaja ditahan tanpa perlu ada bukti dan dibuktikan dalam mahkamah. Tahukah kita bahawa sehingga hari ini, seramai 17,013 telah ditahan dibawah Akta ini! Bukankah Islam mengajar kita bahawa seseorang itu adalah 'innocent until proven guilty'! Apa yang terjadi jika seseorang itu ditahan tanpa dibicarakan? Ramailah isteri yang dipisahkan dari suami tanpa alasan yang diketahuinya. Lebih ramai lagi anak yang membesar tanpa kasih sayang ayah yang dipenjarakan tanpa diketahui sebabnya. Penahanan tanpa dibicarakan dan lebih dasyat lagi tanpa had masa.... telah 8 tahun berlalu, maafkan aku cikgu!

Maka, perhimpunan 1 Ogos itu menuntut agar kerajaan 1) memansuhkan ISA, 2) membebaskan tahanan ISA, 3) menutup Kem Tahanan Kemunting. Sejarah pernah menyaksikan perhimpunan besar telah menggagalkan Malayan Union, perhimpunan besar juga telah memansuhkan PPSMI. Mereka yang telah mati dalam tahanan, atau yang sedang ditahan, tidak dapat menyuarakan bantahan. Maka sebab itu kita perlu suarakan untuk mereka, sekurang-kurangnya hak untuk dibicarakan! Apalah pengobanan kecil kita berbanding pengorbanan besar mereka? Mahatma Gandhi telah berhimpun, Mandela telah berhimpun, Martin Luther King telah berhimpun, malah Tunku Abdul Rahman juga telah berhimpun! Bukan ada cara lain ke selain berhimpun? Memang ada cara... kita semua tahu. Tapi mungkin yang kita tidak tahu, telah begitu banyak usaha mereka lakukan untuk berbincang, telah berapa Menteri Dalam Negeri bertukar, telah berapa Perdana Menteri bertukar, katanya ISA 'akan' direview tapi belum sampai-sampai jua 'akan' itu .... Bahkan sebulan sebelum Perhimpunan Mansuh ini dijalankan, pihak GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) telah menghantar surat untuk bertemu Menteri Dalam Negeri bagi berbincang tentang perhimpunan besar ini. Tapi siapa yang sudi terima? Maka, keluarkan semua amaran dan ancaman, beraturlah lori-lori merah berisi air asid, bersusunlah trak-trak polis, berlegarlah helikopter diudara, berroadblocklah di hujung sana dan sini, berkejarlah ribuan polis untuk memantau itu dan ini dari dekat, sangat dekat sampai baju yang dipakai orangpun perlu diselak untuk diperiksa ada tulisan anti-ISA ke tidak!

Tahukah kita bahawa penganjur telah menetapkan syarat yang ketat untuk orang-orang yang menyertai perhimpunan ini? Biasalah kalau dengan larangan membawa senjata atau barang yang boleh membahayakan atau merosakkan, ini sehingga larangan membuang sampah merata-rata, menunaikan 'hajat' di toilet sebelum berhimpun, dan panjang lagi boleh semak disini : pesanan-untuk-semua. Kami di Berlin pernah juga ada demonstrasi jalanan. Memang ada polis, tetapi mereka bukan menghalang perjalanan orang yang membuat perhimpunan itu, sebaliknya menghalang orang ramai dari mengganggu jalanan yang dilalui oleh perhimpunan itu. Orang ramai yang tidak menyertai demonstrasi boleh melihat, boleh bershopping, boleh menikmati makanan di restoran seperti biasanya. Hmm, tapi cikgu dan anak cikgu ditahan sebelum perhimpunan berjalanpun lagi!

***
Selepas peristiwa 1 Ogos itu, Ummi mula mencari dan banyak kisah keluarga yang ada ahlinya ditahan terlihat satu per satu. Sebelum ini pernah mendengar bahawa suami Cikgu Laila ditahan, tetapi tidak pernah terlintas difikiran bahawa Cikgu Laila itu adalah
Cikgu Laila! She's my english teacher for heaven sake! She lovely, full of suprises, loughter, and her smile will make you happy for the rest of the day. Walaupun telah 20 tahun tidak bertemu dengan cikgu, but I can still remember her full name, how she look's like and how adorable she is.. Maafkan aku cikgu, rupa-rupanya suami cikgu telah ditahan sejak 2002 dan aku tidak tahu! Membaca catatan anak cikgu, Suhaib sudah malu sekali rasanya pada diri sendiri. Maafkan aku cikgu... Hari ini, Ummi memohon pada Allah agar mengampuni kelalaikan selama ini, membersihkan hati Ummi dari sifat mementingkan diri. Ummi sedar mungkin ada kawan yang tidak suka, bahkan mungkin menjauhkan diri, tapi Ummi akan berkata balik kenapa takut? Penahanan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja jika tidak dimansuhkan. Takut, memang lumrah hati manusia untuk takut, tetapi lebih menakutkan lagi seandainya di hari perhitungan Allah bertanya, apakah yang telah engkau lakukan untuk membantu saudaramu yang memerlukan?

Doaku buatmu Cikgu tersayang, moga diperteguhkan hatimu, moga digabungkan semula bersama yang suami tercinta, moga keluargamu dilimpahi rahmah yang tiada putus. Doaku buat saudara seagamaku yang ditahan tanpa dibicarakan, baik di Kem Kemunting, baik Kem Guantanamo, baik di besi-besi Israel, moga redha Allah dan syurga menjadi milikmu.
Maafkan Aku Cikgu...


-Ummi, 9 Ogos 2009-
Related Posts with Thumbnails