Monday, October 19, 2009

Jejak Silam di Köln

Bergambar di hadapan contoh arca tertinggi di menara Cathedral
Kira-kira seminggu sebelum Ramadhan yang lalu, kami sekeluarga berkesempatan berjalan ke Bonn dan Koeln, Germany. Melangkah kaki, semangat dipadu perjalanan keluarga bermula dengan tujuan utama menziarahi 'a family friend' di Bonn dan cuti bersama keluarga selepas Abi pulang dari Cincinnati. Pengembaraan dengan 3 anak kecil menaiki hampir segala public transport yang ada memang suatu pengalaman yang menguji dan tidak dapat dilupakan! Berlari, berkejar, muntah, nangis, mabuk dan pelbagai lagi kenangan yang boleh dijadikan satu kisah drama kehidupan di perantauan. Mungkin dilain kali Ummi akan menuliskannya buat tatapan. Apapun, catatan kali ini adalah tentang pengalaman menjejakkan kaki ke Cologne Cathedral, iaitu sebuah gereja Roman Katholik bukan sahaja terbesar di Germany malah di negara-negara bahagian Timur Eropah. Gereja ini terletak di Koeln, salah satu bandar tertua di Germany dengan jarak kira-kira 600km dari rumah kami di Berlin.

"Banyak-banyak tempat gereja korang pergi! ish, ish, ish"

Lihat dengan mata hati, bukakan minda dan carilah ilmu dimana jua nescaya kau akan temui... Mari mengembara bersama kami.
***
Pemandangan hadapan, kiri Cathedral
Pemandangan hadapan, kanan Cathedral
Pemandangan belakang Cathedral
'Ummi, Mujahid takut', bisik Mujahid sambil mengenggam erat tanganku.
'Akuttt, aakuttt', sahut Mukhlis yang sedang kudokong kerana menangis mahu air kotak yang sudah habis sebelumnya.
'Kita nak masuk juga ke abang?' tanyaku yang mulai ragu-ragu pabila melihat wajah takut anak.
'Iya, kita masuk!' tegasnya, 'Kita masuk untuk belajar!', sambung Abi lagi. Sambil membaca doa dan ayat kursi, kami melangkah masuk ke suatu dunia lain yang belum pernah kami lihat...

Gelap. Suram. Kelam. Berasap.
***
Pembinaan Cathedral ini bermula sejak 1248 lagi dan selesai pada 1880 dengan beberapa kali terhenti akibat banjir besar, peperangan dan sebagainya. Suatu tempoh yang sangat panjang... Ianya dibangunkan ketika zaman empayar Rome dan berfungsi sebagai tempat persemadian Emperor Rome. Gereja ini juga pernah memegang rekod struktur binaan tertinggi di dunia pada 1880 hingga 1884. Pada tahun 1996, gereja ini telah disenaraikan dalam UNESCO World Heritage Site. Oleh kerana kedudukannya strategik, ditambah dengan sungai yang mengalir indah disebelah, Cathedral ini lebih dikenali sebagai tempat pelancongan. Memang ramai sangat orang luar yang dapat kami lihat di sini.
2 menara tertinggi Cathedral
Tika keluar saja dari bangunan stesen keretapi yang serba moden, sesiapapun pasti tidak terlepas melihat cathedral ini. Memang besar sekali! Saiznya : 144.5 m panjang, 86.5 m lebar, dan ketinggian 157 m! Tetapi apa yang lebih menarik ialah apa yang ku rasakan saat melihat bangunan tua ini. Sebelah kananku adalah stesen serba moden dan dihadapanku gereja yang sangat besar berusia 600 tahun! Bagaikan masuk ke dunia silam, aku dapat membayangkan apa yang pernah berlaku disini. Satu persatu kisah sejarah yang pernah dipelajari bagai ditayangkan dihadapan mata. Zaman kegelapan eropah, paderi dengan omongannya, wanita bukan manusia, perebutan kuasa dan harta, perang salib, dan banyak lagi... namun akhinya mereka bangkit dari zaman kegelapan ke suatu peradaban lain. Ironinya, ketika disuatu dunia sedang menapak bangun dengan kemajuan ilmu dan teknologi, dunia Islam pula kian pudar warnanya.

Zaman Keemasan Islam dicatatkan sejarah bagi tempoh 750 - 1250M.
Gereja ini pula mula dibangunkan pada 1248M... adakah ianya suatu kebetulan?

Dunia pernah menyaksikan di zaman Kerajaan Abbasiyah, Islam berada dipuncak alam. Pencapaian-pencapaian ilmu, sains dan intelektual berkembang mekar hingga menjadi rujukan semua tamadun lain. Apa yang dapat kita lihat ialah gereja ini dipelihara rapi dan dibanggakan oleh orang Eropah sebagai warisan mereka. Malah, ada laman web interaktif untuk Cadatheral ini bagi mereka yang ingin melawat secara virtual. Begitu sekali mereka berinisiatif supaya warisan mereka ini dapat dilihat dan dirasakan "kepunyaan" oleh orang Kristian diseluruh dunia. Ya Allah, mudah-mudahan generasiku dan selepasku tidak menganggap Zaman Keemasan Islam itu suatu mitos dongeng-dongengan.
***
Kami berjalan perlahan di dalam gereja itu. Semuanya serba kelam dan menyesakkan. Tiada istilah damai dan tenang. Alangkah indahnya masjid yang dibina dengan kawasan luas, terang dan lapang hingga anak-anak kecil biasanya begitu gembira dan bermain. Berbeza sekali pemandangan didalam ini. Gereja ini walaupun menjadi tempat pelancong, namun fungsinya tetap ada. Kami dapat menyaksikan ada ruangan membaca doa beramai, ada tempat mengakui kesilapan, ada paderi di hujung sana dan sini untuk minta 'blessing', ada sudut memasang lilin dan sebagainya. Baru berjalan separuh dari mengelilingi kawasan di dalam itu, aku sudah tidak sanggup lagi. Akhirnya, kami berpatah balik.
"Tidakkah engkau memperhatikan orang-orang yang telah diberi Kitab (Taurat)? Mereka diajak berpegang kepada Kitab Allah untuk memutuskan perkara di antara mereka. Kemudian sebahagian dari mereka berpaling seraya menolak kebenaran. Hal itu adalah kerana mereka berkata, 'Api neraka tidak akan menyentuh kami kecuali beberapa hari sahaja.' Mereka terpedaya dalam agama mereka oleh apa yang mereka ada-adakan" (Q 3: 23-24)
Dataran lapang diluar gereja itu, ada banyak lagi catatan dan pengajaran menarik yang boleh dikongsikan. Mungkin dicatatan Ummi akan datang...
***
Pernah suatu masa lalu, Mujahid ada sesi lawatan ke gereja bersama guru-gurunya. Namun, setelah berbincang bersama suami, kami bersependapat untuk tidak membenarkan Mujahid menghadiri sekolah pada hari tersebut. Dia terlalu kecil untuk berfikir dan membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Mana yang betul, mana yang salah. Mudah-mudahan lawatan singkat kami hari ini, bisa menjelaskan kepada Mujahid mengapa Ummi dan Abi tidak mengizinkan dia pergi bersama kawan-kawannya. Hmm, mengapa di Malaysia belum ku dengar sesi lawatan sambil belajar anak-anak ke masjid? Mungkinkah sebab kebanyakkan masjid negeri yang tersergam indah itu meletakkan notis : Anak-anak di bawah lima tahun dilarang masuk ke kawasan masjid? Aduhai....
Anakku, masjid adalah milik kita. Ikatlah hatimu dengan masjid. Mudah-mudahan kau dikelilingi teman-teman dari orang soleh dan musleh.
-Ummi, 19/10/2009-

4 comments:

  1. Salam kak mar n keluarga d German,

    Menarik skali pengkongsian kak mar kali ini. Masyarakat kristian begitu berbangga dgn sejarah mereka dan kita juga harus begitu. Namun cukup sahaja kah kita berbangga dgn kegemilangan silam?

    Saya juga pernah pergi ke rumah ibadat kaum lain. Tpt yg sy pergi x lain dan x bukan ialah Batu Cave tpt suci bg kaum hindu di Mlys. Tp saya ke sana bukan utk melawat tp berlatih dgn menaiki beratus tangga utk menyiapkan diri dlm menawan puncak Kinabalu. Berbeza dgn Masjid rumah ibadat mereka agak kotor kerana banyak monyet dan anjing berkeliaran. Keadaan diburukan lg dgn amalan mereka memberi makan kepada haiwan2 ini. Saya juga sempat masuk ke dalam gua batu caves. Didalamnya penuh dgn patung2 yg pelik sbg simbol tuhan2 mereka.

    Di sina baru saya terfikir betapa indahnya islam... Tuhan kita x dapat dilihat dan dibayangkan krn memang x tercapai dek pancaindera dan akal kita. Tp tuhan mereka begitu senang utk mereka reka2 dan bina... malah tuhan mereka perlu meminta makanan dgn manusia.
    Pada saya pergi ke rumah ibadah kaum2 lain tiada salahnya. Cume niat kita perlu betul

    ReplyDelete
  2. mantap! teruskan menulis kak mar!

    ReplyDelete
  3. Mar, sebab itu akak x kasi Zahidy ke kelas Pengajian Islam Deutsche. Sudahlah bahasa yang diajarkan bahasa Turki (bahasa akak x kisah sangat) tapi mereka akan bawa anak2 ke gereja juga untuk perkongsian ilmu begitu.. Seperti Mar, akak juga rasa Zahidy tidak boleh dibiarkan bsendirian dengan teman2 ke gereja...tidak sewenang-wenangnya. dia masih kecil.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails