Tuesday, November 17, 2009

Kisah Gigi

Kisah 1

Mujahid dengan botol susunya bagai isi dengan kuku. Ke mana pergi mesti nak dibawa. Kalau dia sedih, nak tidur, atau takut, maka botol susunyalah sebagai 'comfort'. Anak sulung Ummi ini sampai masuk kindergarden, masih mencari botol susunya setiap kali pulang. Akibatnya gigi Aid, terutama bahagian depan rosak dan kerana selalu 'kemam' botol susu. Kadang orang tanya, 'Mujahid makan batu ke gigi sampai haus macam tu?'. Hehehe.. bukan makan batu, tapi kemam botol susu! Hendak dijadikan cerita, akhirnya 2 bulan selepas hari lahirnya yang ke-4, giginya semakin sakit sehingga sukar untuk makan dan lidahnya dijangkiti kulat susu. Alhamdulillah, kesan dari itu Mujahid berjaya 'putus' dari botol susunya dalam tempoh beberapa hari. Sesiapapun akan kasihan melihat Mujahid termenung sana, termenung sini seperti orang putus cinta!

Setelah pemeriksaan dengan dentist dibuat, dia memberikan tarikh khas untuk minor surgeri membuang 4 batang gigi Mujahid secara serentak. 3 gigi dihadapan atas dan satu geraham bawah. Operasi ini memerlukan bukan sahaja doktor gigi tetapi juga doktor anestetik khas untuk kanak-kanak. Bayaran perkhidmatan ini dilindungi oleh pihak insurans tetapi hanya bayaran 'ubat tidur' sahaja yang kami harus bayar sendiri, iaitu sebanyak 70€. Sejam selepas operasi kami harus menunggu di klinik kerana Mujahid masih dalam pengawasan doktor. Kata doktor, kesan dari ubat tidur yang diberi dan Mujahid yang masih kecil, maka dia akan mengalami dua keadaan iaitu tidur berpanjangan dan halunisasi semacam meracau. Memang menakutkan juga melihat keadaan Mujahid yang antara sedar dan tidak, menangis dan meracau. Puas kami membacakan ayat-ayat Al-Quran dan sebagainya. Selepas tempoh sejam dan meracaunya semakin berkurang, kami dibenarkan pulang. Tengahari itu hingga ke malam Mujahid tidur longlai di sofa. Alhamdulillah, Mujahid kembali normal dan pemeriksaan doktor keesokkan harinya juga baik. Tiada pendarahan, tiada lagi halunisasi, tiada pembengkakkan. So, dari Julai 2008 hingga hari ni senyuman Mujahid tanpa gigi dihadapan!

Ok, jangan lupa gosok gigi Mujahid.

Kisah 2
Khaulah, anak ke 3 Ummi ni baru usia 10 bulan 2 minggu. Giginya? Itulah,  cubalah tengok. Sekarang Khaulah mempunyai 3 batang gigi di atas dan 4 batang gigi dibawah. Memang kadar pertumbuhan gigi setiap anak itu berbeza tapi kalau cepat sangat tak perlu bawa jumpa doktor ke? Risau makin cepat gigi susu keluar, makin cepat pulak hilangnya! Senyuman Khaulah memang menawan, tapi kalau hilang menawan lagi tak?
Jenis gigi
Masa petumbuhan
Masa tanggal
Atas :
Kacip Pertama
Kacip Kedua
Taring
Geraham Pertama
Geraham Kedua

7 bulan
9 bulan
18 bulan
14 bulan
24 bulan

6 tahun
7 - 8 tahun
12 - 14 tahun
11 - 12 tahun
12 - 14 tahun
Bawah :
Kacip Pertama
Kacip Kedua
Taring
Geraham Pertama
Geraham Kedua

6 bulan
7 bulan
16 bulan
12 bulan
20 bulan

6 tahun
7 tahun
9 - 10 tahun
10 - 12 tahun
11 - 12 tahun
Nota : Masa pertumbuhan lebih atau kurang 6 bulan dari masa yang dinyatakan di atas, dikira normal. (Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia)

Ok, jangan lupa gosok gigi Khaulah.

Kisah 3
Beberapa minggu lalu, Abi membawa pulang Toffee Apple. Wah, dan paling gembira Ummilah sebab suka betul makan Toffee Apple ni. Tahun lepas sekali, tahun ni sekali. Abi kata tak boleh selalu, nanti gigi rosak. Yelah, yelah, tapi kalau beli untuk Ummi sahaja tak boleh ke, Ummi makan sorok-sorok la. Ada setengah tempat, dipanggil Candy Apple, tapi Ummi lebih suka panggil Toffee Apple sebab masa kecil-kecil dahulu ada lagu anak-anak tentang Toffee Apple ni. Liriknya dah lupa kecuali rangkap terakhir iaitu '..and dont forget to brush your teeth!'.

Toffee Apple adalah sebiji penuh epal yang disalut dengan gula keras dan dicucuk lidi untuk mudah dipegang. Biasanya gula ini diberikan pewarna merah. Di beberapa tempat ada juga dijual dengan variasi lain seperti disalut caramel, taffy atau chocolate. Ianya biasa didapati sebagai sajian istimewa di musim luruh walaupun budaya di German lebih mengaitkannya dengan sambutan Krismas. Kalau di Malaysia biasa dijual di karnival atau fun-fair. Tahukah kita bahawa pencipta Toffee Apple ini ialah William W. Kolb pada tahun 1908! Tetapi masyarakat China lebih kreatif lagi. Mereka juga mempunya budaya seperti ini tetapi menggunakan limau mandarin, strawberry, blueberry, nanas. buah kiwi, pisang atau anggur yang dicucuk pada lidi seperti sate. Oh ya, dan semua buah itu disalut gula dan dikenali sebagai Tanghulu. Hmmm, dapat tak mengalahkan rasa Toffee Apple kesukaan Ummi ni?

Ok, jangan lupa gosok gigi semua, terutama Ummi!

- Ummi, 17 Nov 2009-

Wednesday, November 4, 2009

Esok Hari Jadi Ayah

ESOK HARI JADI AYAH


Esok hari jadi ayah
dan aku tiada disisi untuk mengucapkan
dan aku tiada disebelah untuk memberikan hadiah
hmmm, pernah ke aku bagi hadiah?
dulu...lama sangat, waktu masih sekolah rendah
lama-lama hadiahpun tiada, cuma kad ucapan
lama-lama kadpun tiada, cuma e-kad
lama-lama e-kadpun tiada, cuma doa
lama-lama..... hari ini aku harus mulakan kembali
sebagaimana suatu waktu dahulu...

Esok hari jadi ayah
dan aku tiada disisi untuk menemani
hmmm, pernah ke aku menemani?
dulu...lama sangat, waktu kecil diriba ayah sedang usrah
ayah yang menemani untuk temuduga
ayah yang menemani untuk pendaftaran
ayah yang menemani untuk perkenalan
ayah yang menemani untuk itu, ini..dan banyak lagi
wah, segalanya ayah yang menemani
dan aku belum pernah menemani ayah...

Esok hari jadi ayah
dan aku tiada disisi untuk masak kegemarannya
hmmm, pernah ke aku masak untuk ayah?

sedang masakan kegemaranpun aku tidak pasti
ayah yang masak sup kentang itu
ayah yang masak nasi goreng itu
ayah yang masak kari ayam itu
ayah yang masak itu, ini..dan banyak lagi
wah, semuanya ayah yang masakkan
dan aku belum pernah masak buat ayah...

Esok hari jadi ayah
dan aku tiada disisi untuk memicit lenguh
hmmm, pernah ke aku memicit lenguh ayah?

sedang diwaktu ayah sakitpun aku tiada
ayah yang risau kerana darah kepalaku
ayah yang risau kerana demamku
ayah yang risau kerana lututku
wah, setiap kali ku sakit pasti ayah ada
dan aku belum pernah ada waktu ayah sakit...

Maafkan aku ayah,
kerana sering tiada disisi
kerana selalu tidak menemani
tapi ayah sentiasa bersamaku
dalam apa jua masalah
dalam apa jua keadaan
dalam kegembiraanku
dalam kesedihanku
ayah pasti datang....

Maafkan aku ayah,
kerana berbanding mereka,
akademikku tidak menyerlah
pekerjaanku tidak hebat
pendapatanku tidak lumayan
keberadaanku tidak selalu

Maafkan aku ayah,
kerana aku tidak selembut dua,
kerana aku tidak setabah tiga,
kerana aku tidak sepintar empat,
kerana aku tidak serapat lima...

Tapi ayah,
disebalik diamnya ayah itu
disebalik lirik mata ayah itu
disebalik risau tidak tidur malam ayah itu
disebalik hadiah, ucapan, tulisan, kata-kata
disebalik semuanya itu
aku tahu dan aku percaya
ayah mengingatiku
ayah mencintaiku
ayah mendoakanku disemua sujud-sujudmu
untuk aku, untuk adik-adikku,
kerana kami permata hatimu...

Esok hari jadi ayah,
aku tiada lagi hadiah
aku tiada lagi teman
aku tiada lagi masak
aku tiada lagi picit...

Ya Allah,
Kurniakan ayah kebahagiaan
Anugerahkan ayah keampunan
Ganjari ayah dengan syurga
Jauhi ayah dari neraka
Terimalah semua amalannya
Masukkan ayah dikalangan orang yang Engkau cintai
Ya Allah, sepanjang 30 tahun ini
Ikatlah aku menjadi sebahagian mata rantai ayah
Golongkan aku dari anak soleh ayah
....dan izinkanlah aku untuk pulang dan berbakti pada ayah....
Ameen ya Rabbal Alamin


Selamat Hari Lahir yang ke 53, Ayah
Mar,
Berlin, 101009 1030mlm...

Related Posts with Thumbnails