Wednesday, November 4, 2009

Esok Hari Jadi Ayah

ESOK HARI JADI AYAH


Esok hari jadi ayah
dan aku tiada disisi untuk mengucapkan
dan aku tiada disebelah untuk memberikan hadiah
hmmm, pernah ke aku bagi hadiah?
dulu...lama sangat, waktu masih sekolah rendah
lama-lama hadiahpun tiada, cuma kad ucapan
lama-lama kadpun tiada, cuma e-kad
lama-lama e-kadpun tiada, cuma doa
lama-lama..... hari ini aku harus mulakan kembali
sebagaimana suatu waktu dahulu...

Esok hari jadi ayah
dan aku tiada disisi untuk menemani
hmmm, pernah ke aku menemani?
dulu...lama sangat, waktu kecil diriba ayah sedang usrah
ayah yang menemani untuk temuduga
ayah yang menemani untuk pendaftaran
ayah yang menemani untuk perkenalan
ayah yang menemani untuk itu, ini..dan banyak lagi
wah, segalanya ayah yang menemani
dan aku belum pernah menemani ayah...

Esok hari jadi ayah
dan aku tiada disisi untuk masak kegemarannya
hmmm, pernah ke aku masak untuk ayah?

sedang masakan kegemaranpun aku tidak pasti
ayah yang masak sup kentang itu
ayah yang masak nasi goreng itu
ayah yang masak kari ayam itu
ayah yang masak itu, ini..dan banyak lagi
wah, semuanya ayah yang masakkan
dan aku belum pernah masak buat ayah...

Esok hari jadi ayah
dan aku tiada disisi untuk memicit lenguh
hmmm, pernah ke aku memicit lenguh ayah?

sedang diwaktu ayah sakitpun aku tiada
ayah yang risau kerana darah kepalaku
ayah yang risau kerana demamku
ayah yang risau kerana lututku
wah, setiap kali ku sakit pasti ayah ada
dan aku belum pernah ada waktu ayah sakit...

Maafkan aku ayah,
kerana sering tiada disisi
kerana selalu tidak menemani
tapi ayah sentiasa bersamaku
dalam apa jua masalah
dalam apa jua keadaan
dalam kegembiraanku
dalam kesedihanku
ayah pasti datang....

Maafkan aku ayah,
kerana berbanding mereka,
akademikku tidak menyerlah
pekerjaanku tidak hebat
pendapatanku tidak lumayan
keberadaanku tidak selalu

Maafkan aku ayah,
kerana aku tidak selembut dua,
kerana aku tidak setabah tiga,
kerana aku tidak sepintar empat,
kerana aku tidak serapat lima...

Tapi ayah,
disebalik diamnya ayah itu
disebalik lirik mata ayah itu
disebalik risau tidak tidur malam ayah itu
disebalik hadiah, ucapan, tulisan, kata-kata
disebalik semuanya itu
aku tahu dan aku percaya
ayah mengingatiku
ayah mencintaiku
ayah mendoakanku disemua sujud-sujudmu
untuk aku, untuk adik-adikku,
kerana kami permata hatimu...

Esok hari jadi ayah,
aku tiada lagi hadiah
aku tiada lagi teman
aku tiada lagi masak
aku tiada lagi picit...

Ya Allah,
Kurniakan ayah kebahagiaan
Anugerahkan ayah keampunan
Ganjari ayah dengan syurga
Jauhi ayah dari neraka
Terimalah semua amalannya
Masukkan ayah dikalangan orang yang Engkau cintai
Ya Allah, sepanjang 30 tahun ini
Ikatlah aku menjadi sebahagian mata rantai ayah
Golongkan aku dari anak soleh ayah
....dan izinkanlah aku untuk pulang dan berbakti pada ayah....
Ameen ya Rabbal Alamin


Selamat Hari Lahir yang ke 53, Ayah
Mar,
Berlin, 101009 1030mlm...

1 comment:

Related Posts with Thumbnails