Thursday, December 16, 2010

[Siri Sekolah] Mujahid Hausaufgaben

Sudah lama Ummi berniat hendak menuliskan pengalaman-pengalaman Mujahid di sekolah. Bermula dengan proses temuduga, ujian itu dan ini, pemeriksaan itu dan ini, juga hari suai-kenal. Sayang sekali kalau pengalaman berharga ini tidak tertulis dimana-mana. Sedar tidak sedar, sudah 4 bulan Mujahid di Grundschule. Mungkin ada baiknya, Ummi merakamkan tanpa mengikut turutan kisah. :)

***
Hari ini Abi dapat panggilan telefon dari Frau Fege, salah seorang cikgu kelas Mujahid. Beliau berpesan, supaya memastikan Mujahid hanya membuat kerja sekolah yang diminta. Yang tidak ditandakan, jangan disiapkan. Itu kerana mereka akan menyiapkan bersama-sama di dalam kelas.

Pada bulan pertama sekolah, kerja untuk satu minggu diberikan. Setiap tugasan dicatatkan hari yang perlu diserahkan. Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, dan Jumaat. Setelah beberapa bulan, kerja yang diberikan tidak lagi ditentukan harinya. Tugas yang diberi boleh diserahkan pada mana-mana hari dalam minggu tersebut.  Kebiasaan Mujahid pada hari Selasa atau Rabu, semua kerja sekolah telah disiapkan. Bukan guru yang mengutip kerja sekolah, tetapi setiap pelajar telah dididik untuk mengetahui tanggungjawabnya menyerahkan kepada guru mengikut tempat khas yang ditetapkan.

Buku mana, mukasurat berapa, subjek apa, semuanya dicatat rapi dalam jadual mingguan pelajar. Mutakhir ini, jadual hausaufgabe yang Mujahid gunakan bukan lagi jadual yang sama setiap murid gunakan. Tetapi, kerja tersebut ditentukan mengikut tahap pencapaian seseorang walaupun mereka berada dalam kelas yang sama.
 Gambar 1 : Sama tak muka saya^^

Untuk tahun pertama, anak-anak berusia 6 tahun ini diberi penekanan aspek penguasaan bahasa (German tentunya), asas mengira, kemahiran kasar dan halus juga sport. MasyaAllah, Ummi sangat tertarik dengan kaedah yang mereka gunakan dalam memastikan penguasaan bahasa 'ibunda' dimulakan sejak awal. Pembelajaran dan pengajaran yang melibatkan kemahiran mendengar, melihat, berfikir dan berinteraksi. Bahasa Inggeris hanya diajar pada tahun-tahun kehadapan setelah anak-anak ini menguasai asas bahasa Deutsch.

Sebagai rakaman kenangan, ini tugasan Mujahid untuk minggu 13 hingga 17 Disember. 

1) Flo Und Flex;
    (buku matematik diatasnya fail mingguan)

2) Tugasan kreativiti;
     (gambar disebelah)

3) Tugasan bahasa;
    (gambar di bawah)



Penerangan gambar di atas :
Mujahid mempotret dirinya yang sedang memakai medal dan jersi bola sepak pasukan German. Dibawahnya merupakan makanan dan minuman kegemaran.
Spaghetti, pizza, apfelsaft und limonade.

Penerangan gambar di sebelah :
Setiap gambar perlu dilukiskan 'wave' yang mana setiap 'wave' mewakili satu suku kata. Dan di dalamnya, Mujahid menuliskan 'vowels' yang didengar dari perkataan yang disebutkan.

Dan ketika menemani Mujahid membuat tugasan Matematik, Ummi ada menegurnya. Dan Mujahid menjawab, cikgu kata kira tapi tak payah kira... Hmmm, what does that mean? I better do my homework. 

Wassalam, 
Ummu Khaulah
-171210-

Hausaufgaben - Kerja sekolah
Grundschule - Sekolah rendah
Frau - Puan
Apfelsaft - Jus epal
Limonade - Air limau

Thursday, December 2, 2010

Erti 10 minit itu


"Terima kasih Kak Mar. Iya, sekarang hujan abu sangat tebal. Jarak pandang hanya 1-2 meter. Langit gelap dan sesekali gempa. Penerbangan saya di-cancel. InsyaAlloh malam ini saya naek kereta ke Surabaya dulu. Doakan kami semuaya, kak Mar. Saling mendoakan semoga Alloh senantiasa memberi kekuatan dan keselamatan. Amiin"

6 Nov, 2.15 petang.
 
Itu mesej terakhir yang ku terima darinya. Tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan rasa hati. Risau. Cemas. Takut. Dan berharap.

"Ya Allah, peliharalah keselamatannya. Permudahkanlah perjalanannnya. Dan izinkanlah untuk kami bertemu dalam kasih-sayangMu" Air mata yang mulai bergenang, ku tahan dari terus jatuh.

***
Musibah di Wasior Papua Barat,
Tsunami di Kepulauan Mentawai Sumatera Barat,
Erupsi Gunung Merapi di Jogyakarta dan Jawa Tengah,
Banjir besar yang menimpa utara negaraku...
satu per satu memenuhi ruang fikiran.


Lalu,
Bayangan sahabatku mencari jalan keluar dari satu lapangan terbang ke satu lapangan terbang,
Bayangan ribuan manusia bertempiaran lari menyelamatkan diri dalam suasana yang penuh hiruk pikuk,
Bayangan air bah yang naik dengan begitu cepat memenuhi segenap ruangan rumah,
Tentu tiap detik yang berlalu, penuh dengan cemas dan tingginya pengharapan. Berserah diri tawakkal pada Yang Maha Kuasa. Minit-minit itu bagaikan penentu hidup atau mati.

Semuanya mengusik hati dan fikiranku. Betapa kerdilnya diri berbanding makhluk ciptaanNya yang lain. Gunung-ganang yang terpasak kukuh. Lautan samudera yang luas terbentang. Langit biru yang bertingkat tinggi. Bahkan pada setiap helaian daun yang jatuh gugur ke bumi. Semuanya adalah dalam rangka ketaatanya pada Yang Esa. Tidak tersisa satu minit pun tanpa lengah. Semuanya datang dengan segera, tunduk patuh mentaati Sang Pencipta. Lalu ku bertanya pada diri, setinggi manakah nilai detik waktu itu? Apakah harus menunggu saat cemas dan mendebarkan baru menghargai masa yang dipinjamkan Tuhanmu? Pada tiap waktu yang berlalu, apakah hasil karya sumbanganmu untuk manfaat orang lain? Pada tiap nadi yang berdenyut, apakah buktimu untuk syahadah yang telah diikrarkan? 
 

"Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, 
dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah"

Tanya saja erti 10 minit pada mereka yang terselamat dari kemalangan. Atau pada mereka yang terlepas dari ambang kematian. Bukan sahaja 10 minit, bahkan perbezaan sedetik itulah yang mungkin menyelamatkan mereka. MasyaAllah. Tidak sama sekali dapat disangkal, bahawa begitu banyak perkara yang boleh berlaku dalam 10 minit cuma. Mungkin itulah yang cuba disampaikan oleh Ahmed Imamovic dalam filem pendeknya. Sebuah filem yang telah memenangi anugerah "Best European Short Film" pada tahun 2002. Biarpun ianya dipaparkan dalam waktu yang singkat, tetapi telah membawa kita jauh berfikir. Berfikir dan mencari, apakah erti 10 minit itu buat kita.





***

"Kak Mar, insya Alloh saya maen ke rumah iya Ahad ini. Mungkin malamnya, selepas pertemuan dengan dosen pembimbing. Sampai jumpa".

1 Dis, 11.20 pagi.

Alhamdulillah. Mesej yang dinanti akhirnya tiba. 

Sahabat yang dirindu akan datang menziarahi. Anugerah dari Allah istimewa buatku, dipertemukan dengan sahabat yang baik. Pertemuan di malam Muharram tahun baru Hijriyyah itu pasti bermakna. Ingin ku dengar detik-detik cemasnya berhadapan dengan letusan gunung berapi itu, agar azam dan tekadku untuk memanfaatkan setiap apa yang ada untuk kebaikan diperteguhkan. Keyakinan yang tidak tergugah pada syahadah yang dijunjung.

"Terima kasih sahabat, kerana telah mengingatkan ku pada janji setia yang mulia itu. Dan aku berharap, di tahun 1432H ini, aku telah berhijrah meninggalkan apa-apa yang tidak mendatangkan manfaat kepada suatu yang lebih berharga. Berharga dalam penilaian Tuhanku" 

Semoga bisikan itu selalu menyapa,
pada tiap detik waktu yang berlalu,
apakah erti 10 minit ini buat mu?
apakah erti hijrah ini buat mu?

Salam Maal Hijrah.

Wassalam,
Ummu Khaulah
-02122010-

Thursday, October 14, 2010

Tauladan Dari Ayah

Alhamdulillah, tahun ini kami menerima kad ucapan Aidilfitri dari keluarga di tanahair lagi. Saban tahun, kad diterima dengan penuh ceria. Tapi tahun ini berbeza. Mulut bagai terkunci rapat. Tiada kata yang dapat menggambarkan rasa hati. Hanya air mata berjujuran laju. "Ayah..."


Sebuah tulisan tangan yang sangat ku kenal. Tulisan yang kurindu. Biarpun hanya sebaris ayat cuma, namun sangat besar ertinya. Terimbau kenangan di alam persekolahan, tatkala ku bersedih dengan pelbagai hal, ketika runsing dengan peperiksaan yang tiada kesudahan, kad-kad ucapan itulah yang meniupkan semangat padaku. Ayah yang selalu percaya padaku, walaupun begitu susah untukku mempercayai diriku sendiri. Ayah telah mencoretkan kata-kata dalam kad-kad tersebut. Kebiasaannya dalam kad raya yang diterima, mamalah yang menulis dan disertai tandatangan adik-beradik lain. Tapi kali ini, lebih istimewa...

Tidak cukup dengan itu, ayah menyertakan 4 keping angpow raya. Satu untuk setiap anakku, dan satu buatku. Dan tangisanku bertambah deras ketika mengeluarkan helai-helai duit tersebut. Semuanya dalam mata wang Euro! "Allahu Rabbi...Ayah!" Tangisku bukanlah terkedu dengan jumlah wang tersebut, tetapi kerana aku tahu di sebalik semua itu, ayah seolah-olah sedang berkata padaku bahawa dia juga sangat merinduiku. Mengingatiku. Menginginkan yang terbaik buatku.

Nombor ayah terus didail. Aku mahu berterima kasih padanya. Tapi ku ragu, apakah yang harus ku katakan... Alhamdulillah, panggilan berjaya di sambung.
"Assalamualaikum.. ", kata ayah di hujung talian.
Nafas ku ambil dalam-dalam. Berusaha mengutip tenang.
" Waalaikumussalam wrt. Ayah, ini Mar..", kata terhenti. Hanya air mata yang berbicara.
" Sudah, jangan nangis"
" Ayah, mar...", menangis lagi.
" Ni mama nak cakap", kata ayah terus menyerahkan telefon kepada mama. Ku tahu, ayah sebenarnya menyembunyikan kesedihannya.

Sebulan sudah berlalu. Dan aku kembali sibuk dengan tugas-tugasku. Masakan aku mahu kalah dengan ayah. Biarpun ayah sudah memasuki angka 54, tapi kerja-kerja dakwah tiada kenal erti berhenti. Siapa tahu lelaki berumur yang membuka meja-meja kecil jualan barangan milik Aqsa' Syarif untuk menjana wang buat pembesasan Palastine itu adalah ayahku. Seorang senior pensyarah. Melayan ragam manusia yang pelbagai. Ayah mengajarku melalui taudalannya, bahawa dalam memperbaharui iman, hendaklah seseorang itu melakukan pekerjaan sederhana yang boleh membuat kita rendah hati. Pekerjaan sederhana yang menjadi terapi dari munculnya bibit-bibit kesombongan.

Masakan aku mahu berhenti dari jalan ini, kalau ayah masih berlari. Ayah mengajarku melalui tauladannya, bahawa setiap orang itu mempunyai kemampuan tersendiri untuk dakwah ini. Masing-masing memberi kontribusi tersendiri. Keupayaan ayah memberi kuliah dimanfaatkan di jalan dakwah, salah satunya melalui ceramah-ceramah di masjid tentang isu Palastine. Dan aku harus terus menggali, sehingga menemui potensi apakah dalam diriku yang dapat dimanfaatkan buat ummah ini. 

Di ulangtahun kelahiran ayah ini, ku kembali melakar rindu. 2 bulan lagi, genaplah 3 tahun tidak bertemu ayah. Pesan seorang teman baikku, "berusahalah untuk meraih tingkat syurga yang tinggi, agar dirimu bisa melawati orang-orang yang dicintai pada bila-bila masa. Andai dirimu di tingkat rendah, dan perasaan rindu itu datang, kau tidak bisa menziarahi orang-orang yang kau cintai andai mereka berada di tingkat syurga yang lebih tinggi". 

Ayah, mudahan rindu ini membawa ke syurga. Happy birthday Ayah. Moga umurmu barokah dan selalu dalam rahmatNya. Amien.







"di saat ku kehampaan, kau setia mengajarku erti kekuatan..."

Wassalam,
Mar @ Berlin
- 141010 -

Saturday, September 18, 2010

Seri Aidilfitri bersama Anish

Entah mengapa malam itu mata sukar untuk lelap. Sunyi sepi dan gelap seisi rumah. Yang terdengar cuma bunyi nafas Wawa yang sedang lena dibuai mimpi disebelah. Ummi mengambil peluang menziarahi 'rumah2' teman terdekat. Alhamdulillah. Bahagia membaca catatan-catatan pengalaman mereka. Ketika menziarahi blog Sara, mula-mula terdetik, 'wah, Sara ada header baru. Comel betul la'. Rupa-rupanya ada seorang adik yang menawarkan untuk membuatkan header secara percuma sepanjang Ramadhan. Namanya Anish. Sukar Ummi hendak percaya yang Anish melakukannya tanpa mengenakan sebarang bayaran. Subhanallah. 

Langsung Ummi menziarahi blog Anish. Sudah ada sederet panjang header-header yang telah beliau siapkan. Pelbagai citarasa, konsep dan warna. Hanya dengan keterangan ringkas dari pemohon, beliau berjaya menghasilkan header mengikut yang diingini. Berkali-kali Ummi fikir, apakah patut dicuba atau tidak memandangkan Aidilfitri cuma beberapa hari sahaja lagi. Apa yang Ummi tulis pada Cik Anish?

Salam Anish,
ketika menziarahi blog seorg kawan baik, dpt tahu tentang kesediaan Anish utk bantu buat banner blog. Wallahua'lam, masih sempat atau tidak kerana beberapa hari lagi akan lebaran. Kalau masih berkesempatan, Ummi ingin bantuan Anish juga. Blog keluarga kami : http://baitulsmr.blogspot.com/
1. size header: seperti yang sekarang ini. Maaf Ummi tak tahu berapa ukurannya...
2. text: seperti header sekarang ini
3. colour: warna-warna tanah dan hijau daun
4. design:berkonsepkan catatan hidup sebuah kelaurga yang diwarnai dengan cinta.
Apapun, seandainya Anish tidak berkesempatan, Ummi sangat memahaminya. Terima kasih sebelum dan sesudahnya. Have a wonderful blessed Ramadhan. :) 


Alhamdulillah, rezeki keluarga kami Anish menjawab Ok. Perhubungan kami cuma beberapa kali berakhir dengan hasilnya header cantik sekarang ini. Anish juga bersabar melayan karenah Ummi yang minta, 'simple but elegent, ada ladybug sebagai penyeri, tidak terlalu girlie'. Hasilnya, rumah kami yang ini..


bertambah seri di Aidilfitri ini...


walaupun design awal Abi adalah yang ini...


Buat Adik Anis Nadiah,
terima kasih banyak atas kesudiannya menyiapkan header buat rumah maya kami. Kebaikan Anish sangat kami hargai. Teringin sekali hendak bersua muka dengan Anish... Semoga Allah membalas kebaikan Anish dengan kebaikan yang berganda. Mudahan kemahiran Anish sekarang ini semakin meningkat maju dan diberkati Allah selalu. Salam Aidilfitri dari sebuah keluarga kecil di Berlin.

Wassalam,
Ummu Khaulah
- 18092010 -

Monday, September 13, 2010

3 kali Syawal

Alhamdulillah, 29 hari berpuasa di bulan Ramadhan telah disempurnakan dengan sebaik dan semampunya. Mudahan kita semua telah berjaya mengisi dan mewarnai bulan al-mubarak itu dengan ibadah pada yang Maha Esa demi meraih redha dan cintaNya.

Tahun ini kami menyambut Syawal buat kali ke 3 di Berlin. Dan mungkinkah akan mencukupkan dengan kali ke 4? Wallahua'lam. Hanya pada Allah kami berserah dan bertawakkal. Di kesempatan ini, kami seisi keluarga memohon maaf atas salah dan silap kepada semua keluarga, sahabat jauh dan dekat, juga pengunjung rumah maya kami ini. Mudahan niat kami berkongsi sedikit catatan hidup ini mendapat ganjaran dari Allah dan memberi manfaat buat yang singgah lalu. 

Eid Mubarak.
مِنَ الْعَائِدِيْنَ الْفاَئِزِيْنَ

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ 

(Semoga Allah menerima amalan dari kami dan dari kamu).

1 Syawal 1429H, 1 Syawal 1430H dan 1 Syawal 1431H, 
Kedutaan Besar Malaysia di Berlin.

Salam Aidilfitri & Maaf zahir batin dari,
Mohamad Rizza,
Mardhiyah,
Ahmad Mujahid,
Ahmad Mukhlis,
Khaulah Sofiyah


- 13 Sept 2010, 5 Syawal 1431H -

Saturday, September 4, 2010

Kek Pisang Ramadhan

Begitu bersungguh sekali Abi mencuba resepi Carrot Cake. Biasanya kek karot ini menjadi hidangan kemestian apabila ada majlis makan-makan di Embassy. Memang sangat sedap ditambah dengan cream frosting di atasnya. Semua suka! Sayang sekali percubaan kali pertama Abi tidak berapa menjadi. Kek keras dan sangat manis. Untuk menikmatinya, adalah seperti menjamah manisan yang dimakan sedikit demi sedikit. Kata Abi, nanti hendak dicuba lagi.

Selang beberapa hari, Abi mencuba resepi Moist Banana Bread pula, atau kita panggil Kek Pisang. Alhamdulillah, menjadi. Lembut. Sedap. Just nice! Boleh la menjadi salah satu hidangan apabila tetamu datang nanti, ye tak? Bagaimana Abi melakukannya? Ikuti langkah satu per satu dalam video ini, ditambah dengan kesungguhan dan kasih sayang ;)


Hasilnya...




















Beginilah jadinya kalau dapat suami hobinya memasak :)
Sudah pelbagai jenis resepi yang dicuba. Cuma Ummi yang jarang merakamkan kenangannya buat anak-anak. Memasak adalah salah satu skill kehidupan yang penting, baik untuk perempuan mahupun lelaki. 

Ok, selamat mencuba!

Wassalam,
- Ummi, 4 Sept 2010 -

(p/s : Subhanallah, baru Ummi perasan. Last entry di bawah label Diari Dapur juga bertarikh 4 Sept. Sudah setahun berlalu! Resepi Kek Coklat Segera. Nampak sangat hobi Ummi bukan memasak!!)

Wednesday, August 25, 2010

Mujahid Ramadhan

Alhamdulillah, tahun ini kami berpeluang menjalani Ramadhan buat kali ke-3 di Berlin. Oleh kerana setiap tahun, Ramadhan datang 10 hari lebih awal dari tahun sebelumnya, maka tempoh kami berpuasa juga menjadi semakin panjang kerana berada di musim panas.  Dijangkakan pada tahun hadapan, kami perlu berpuasa dalam tempoh yang lebih panjang lagi.

                        Subuh      Zuhr     Asar    Maghrib    Isya’      
1 Ramadhan      03:47      13:13    17:18      20:45       22:26      
15 Ramadhan    04:16      13:09    17:02      20:15       21:52      
29 Ramadhan    04:45      13:05    16:42      19:44       21:18      
(Jadual waktu solat di Ramadhan 1431H)

Sebelum tiba Ramadhan, hati  risau membayangkan bagaimanakah nanti berpuasa dalam tempoh 17jam. Doa dipanjatkan agar Allah membantu dan memberi kekuatan. Keazaman dikuatkan agar dapat menjalani ibadah puasa dengan sebaiknya. Namun, setelah melalui 10 hari pertama Ramadhan ternyata rahmah Allah begitu luas. Alhamdulillah, kami berjaya melaluinya dengan baik. Mudahan bertambah baik di 15 hari terakhir ini. Kalau Ramadhan tahun lepas kami diserikan dengan kehadiran Khaulah (entri Ramadhan 1430H), tahun ini kami berbahagia dengan perkembangan Mujahid berlatih puasa. Mungkin bagi anak-anak di negara kita dalam usia 6 tahun,  ada yang telah berjaya berpuasa penuh. Namun bagi Ummi dan Abi, perkembangan dan kesungguhan Mujahid sudah membuatkan kami berasa gembira walaupun tidak penuh dari terbit fajar hingga maghrib menjelma. Dengan suasana hidup di negara minoriti Muslim yang tidak mendukung, tempoh berpuasa yang begitu panjang, dan cabaran melihat adik-adiknya yang tidak berpuasa, Mujahid dapat melalui latihan ini dengan baik. Alhamdulillah. Kata-kuncinya ialah MELATIH.

Bagaimana Mujahid berpuasa? Seperti ini...
Kami membahagikan satu hari kepada dua bahagian. (Mungkin kalau anak yang lebih kecil usia,  boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian). Mujahid akan bangun sahur bersama dan berpuasa, tetapi berbuka di waktu tengahari. Hari pertama Ramadhan, Mujahid hanya bertahan sehingga jam 11 pagi. Alhamdulillah, ketika catatan ini ditulis Mujahid mampu sehingga jam 2.00 petang. Setelah 1 atau 2 jam berbuka, dia sambung lagi berpuasa sehingga maghrib. Dalam usia 6 tahun, latihan yang dijalani Mujahid dipantau dengan hati-hati agar tidak berlaku sesuatu yang memudharatkan. Pernah kami diberitahu supaya selalu memperhatikan bibir, lidah, tahap kecergasan dan keceriaan seseorang anak yang hendak berlatih puasa di usia muda.
 
Walaupun tidak penuh, tapi kami dapat melihat bagaimana Mujahid merasai apa itu lapar, dahaga dan apa yang berkait dengan lapar dan dahaga. Bukankah tujuan mengajar anak kecil berpuasa ialah untuk mereka berlatih dan merasai sedikit kesusahan? Semoga dijauhkan dari tujuan memuaskan kehendak ibu bapa semata-mata. Sungguh, mengajar anak berpuasa itu satu hal tetapi mengisinya agar dia memahami keindahan bulan Ramadhan itu satu hal lain pula.

Alhamdulillah, tugas kami memberikan gambaran keseronokkan beribadah di bulan Ramadhan kepada anak-anak dibantu dengan hadirnya pelbagai kegiatan di Masjid Al-Falah. Khamis lalu, Mujahid dan kawan-kawan berpengalaman menjalani ibadah i'tikaf dan bermalam di masjid. Anak-anak kecil ini didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang dilakukan ketika berada dalam bulan Ramadhan. Bermula dengan solat Asar berjamaah, diikuti dengan aktiviti oleh guru-guru TPA (Taman Pendidikan Al-Quran), berbuka bersama, bertarawikh, tidur bersama, sahur bersama sebelum pulang jam 10 pagi keesokkan harinya. Alhamdulillah, Mujahid dapat bermalam di masjid tanpa kehadiran Ummi dan Abi. Mudahan Mujahid mengerti bahawa ketika dia berpuasa, kawan-kawan lain turut berpuasa. Bahkan umat Islam seluruh dunia turut melakukan perkara yang sama... Semuanya dalam rangka taat kepada Allah s.w.t.

Sungguh puasa itu dapat mengajar si anak menjaga disiplin dan mengawal kehendaknya.
Alhamdulillah.
Mudah-mudahan Mujahid Ramadhan terus menjadi Mujahid di luar Ramadhan.
Semoga Allah memberkatimu anakku...
dan semoga adik-adikmu dapat mencontohi perkara yang sama. Amien.



Buat keluarga dan sahabat jauh dan dekat, 
ditujukan ucapan dalam Salam Perantauan ini. (Akhirnya berjaya masuk.. hehehe)

Wassalam,
Ummu Khaulah
(25082010, 15 Ramadhan 1431H)

Friday, June 11, 2010

Kasih di Hari Ibu

Sambutan hari ibu telah sebulan berlalu. Idea yang mencurah-curah untuk menuliskan disini juga telah hilang begitu sahaja. Aduhai, azam untuk merakam pengalaman hidup dalam blog ini buat tatapan anak-anak di masa hadapan susah sekali untuk dipenuhi.

Apapun, syukur Alhamdulillah, sudah 6 tahun berpeluang menjadi ibu. Penat? Memang sangat penat. Dulu sebelum mempunyai anak, Ummi selalu hairan mengapa nenek (Mama Ummi) boleh terlelap ketika duduk walaupun sepuluh minit cuma... Sekarang Ummi kerana berhadapan dengan keadaan yang sama. Kadang waktu menemankan anak bermainpun, tak sedar boleh terlelap. Kerana apa? Kerana sudah terlalu kepenatan... Namun, pasti Allah mempunyai caraNya tersendiri untuk meningkatkan kita agar menjadi seorang yang lebih baik, lebih kuat. Apapun, Ummi nak berkongsi kata-kata Mama Ummi, agar suatu hari nanti kalau anak-anak berdepan dengan rintangan dalam hidup, yang pertama mengadulah dahulu pada Allah. Dan selepas itu, kalau mahu teman setia, I'm all ears for you..

Just to share dengan semua,
Mothers day yang lepas, Ummi telah mendapat hadiah istimewa.

Yang Pertama, dari seorang ibu muda yang juga menemani suaminya di Germany.
Buat Puan Cahya, terima kasih atas ingatannya. Mudahan kita sama-sama dapat menjaga kurniaan Allah kepada kita, iaitu anak-anak kecintaan dengan sebaik mungkin. First time dalam banner ni sebenarnya, tetapi yang istimewa ialah diberikan sempena Mutterstag


Yang kedua, from the two boys, Mujahid dan Mukhlis.
Musuh ketat yang berkawan rapat. Inilah hasil sentuhan tangan mereka di kindergarten. Memang penuh dengan sentuhan tangan sebab lukisan kreatif tapak tangan. ^_^ Mujahid punya yang merah, Mukhlis punya yang ungu. Kad gergasi ini, ditulis dengan ucapan "Alles Leibe zum Muttertag von Mujahid, von Mukhlis". Walaupun ini adalah dari inisiatif para guru, namun Ummi sangat menghargainya. Mudahan Ummi selalu ingat untuk sabar dan bijaksana dalam menangani pelbagai karenah dan ragam anak.


Yang ketiga, dan paling menyentuh hati ialah dari bonda tercinta.
Mama Ummi memberikan ucapan dan doanya di hari ibu kepada Ummi melalui video ini. Malu juga ketika menerimanya, menerima ucapan hari ibu dari bonda sendiri. Melihatnya sahaja dapat membayangkan betapa bahagianya ketika ada yang sedang hidup membesar di dalam rahim. Subhanallah, perasaan kasih dan sayang yang Allah tanamkan ke hati setiap ibu, yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata... tapi bisa dijelmakan dengan pengorbanan seorang ibu. Jasa dan pengorbanan seorang ibu memang tidak terbalas. Tetapi mudahan kebaikan yang diberikan Mama, dapat Ummi berikan pula kepada kepada anakanda tercinta.



Salam hormat buat semua ibu-ibu hebat yang kukenali...

Wassalam,
Ummu Khaulah 11062010.

Friday, April 30, 2010

Mencari potensi itu...

Allahu Rabbi...
bagaimana hendak ku mulakan kembali?
2 hari lagi, genaplah 2 bulan rumah 'maya' kami ini sepi dari catatan baru. Terlalu banyak yang berlaku dalam tempoh itu, dan rugi sekali banyak yang tidak tercatatkan. Asam garam susah senang sebuah kehidupan buat muhassabah di masa depan... Di hari terakhir April ini, pada Jumaat Mubarak ini, ku kembali menyusun langkah itu..

I really love writting, and writting makes me happy. Boleh dikatakan sebagai hobiku. Yang pertama membaca, yang ke dua menulis. Hehehe, teringat masa muda cikgu selalu tanya, apa hobi awak? Hobi merupakan aktiviti rekreasi yang dilakukan pada masa lapang bagi menenangkan fikiran seseorang. Tengok sajalah definisinya, 'dilakukan pada masa lapang'! Aduh, ada sesiapa tahu masa lapang tu apa? Tapi aku percaya, sebenarnya masih ada banyak ruang untuk diperbaiki berkaitan pengurusan masa. Berkali-kali ustazahku berpesan, supaya tidak larut dengan rutin harian. Tidak larut dengan rutin D & T. Teruslah menggali potensi diri, katanya. 

Memetik pesanan beliau, katanya "Jangan pernah remehkan erti potensi yang kita miliki. Jangan pernah ada kata kesal atau bermalas-malas dalam benak kita, kalau kita hanya sebagai seorang ibu tanpa apa-apa pekerjaan lainnya.Tapi yang jelas, kita akan lebih bisa mengoptimalkan potensi kita dengan mengasahnya, dan menambah keilmuan-keilmuan yang membuatnya semakin luar biasa. Menambah ilmu dengan membaca. Mencari ilmu dengan belajar. Mengasah ilmu dengan diskusi. Menerapkan ilmu dengan praktik nyata." 

Melihat sekeliling, aku bangga mengenali mereka-mereka yang bersemangat tinggi dan berwawasan jauh. Lihat sahaja mereka, berbakti dan berdiri dengan kemampuan yang mereka miliki. Antara yang ramai itu, 
mereka penulis : Makcik Endok, Kak Laila, Kak Lina
mereka berniaga : Najah, Anfal, Intan, Timah
mereka aktivis : Ummi Roses, Dr. Hisham, Makcik Sumilah
dan mereka bukan hanya aktif dalam satu bidang, malah gabungan di antara bidang-bidang tersebut. 
Aku percaya, dalam diriku ada potensi besar dan kemampuan yang belum dikeluarkan sepenuhnya. Aku harus mempertajamnya dengan banyak membaca, menggali ilmu, berdiskusi dan mengamalkannya. InsyaAllah, aku mampu! Sahabatku, seandainya kau melihatku bagaikan pohon yang tidak tumbuh amalannya, tidak berbuah pohonnya, maka jadilah kalian seperti sinar mentari yang selalu memberikan kebaikan. Umpama fungsi cahaya matahari yang merupakan sebahagian dari fungsi kontrol kepada pepohon untuk berdiri teguh dengan akar yang kuat. Semoga kita bersama menjadi pohon yang banyak bermanfaat dan memberikan keberkahan buat orang lain.

"Barangsiapa membawa kebaikan, maka dia memperoleh balasan yang lebih baik daripadanya, sedang mereka merasa aman dari kejutan yang dahsyat pada hari itu (hari akhirat)" (QS 27:89)

Aku punya sebuah cita-cita...
dan ku harap bukanlah sekadar angan-angan yang menjadi khayalan....



Ummu Khaulah,
30 April 2010


Tuesday, March 2, 2010

Seni Ukiran Ais di Berlin

Winter datang dan pergi, namun perancangan untuk bermain ski belum tercapai. Pertama kali diajak teman, kami baru sebulan sampai. Kedua kali, sebab Ummi mengandung dan Abi baik hati tak mahu tinggalkan Ummi. Winter kali ini pula kerana Khaulah masih kecil. Dek rasa bersalah, Ummi mencadangkan pada Abi supaya pergi bersama teman-temannya sahaja. Tapi Abi menolak lagi....

Akhirnya, sebagai penutup musim dingin 2009/2010 tahu kami ke mana? Berjalan melihat pameran ukiran ais atau rasminya sebagai : Ice Art Chinesische Eiskunst. Pemeran yang diadakan ini memperlihatkan hasil kreatif 4 orang pengukir handalan dunia dari China. Mereka ini pengalaman bertanding dalam World Ice Championships, iaitu sebuah pertandingan yang bermula sejak 1989. Sayangnya hasrat Ummi untuk melihat pengukir-pengukir itu beraksi tidak kesampaian, kerana yang dipamerkan hanya ukiran yang siap. ^_^

Yelah, nak tahu juga bagaimana caranya membentuk ais ni kan! Tahun ini hasrat nak buat snow-man pun tak jadi-jadi. Bukan kerana snow sedikit, tapi rupanya bukan semua 'keadaan' snow tu boleh dibuat menjadi snow-man. Adakalanya snow sangat kering dan susah untuk melekat. Snow that is very icy or very fluffy will probably not work very well. One must use snow that packs together well. Caranya menggulingkan snow tersebut sehingga akhirnya membentuk gumpalan yang besar. Ini penjelasan Mujahid yang dipelajari di sekolah. Hmmm, mudahan ilmu baru ini Ummi dapat praktikkan... maybe for the coming winter 2010/2011? InsyaAllah. 

Berbalik pada tajuk asal, ukiran yang dipamerkan ada yang mengambil masa sehari, 2 hari dan paling lama 4 hari untuk disiapkan. Ada yang diukir dari satu bongkah besar, dan ada yang diukir dengan menggabungkan penggunaan beberapa bongkas ais. Biasanya ukiran ais dikaitkan dengan majlis-majlis tertentu yang besar kerana jangka hayatnya yang pendek seperti majlis perkahwinan atau majlis perasmian. Dengan suhu persekitaran sebagai faktor utama, jangka hayat sesebuah ukiran boleh bertahan dalam tempoh beberapa minit hingga beberapa bulan. Bagi mereka yang inginkan sebuah pengalaman berbeza, seseorang boleh merasai suasana menginap di dalam Hotel Ais yang disediakan di beberapa negara seperti Sweden, Norway, Romania dan Finland. Subhanallah, macam-macam manusia idea ni-kan.

Paling Ummi suka yang ini. Gambar-gambar lain, <<DISINI>>

Pernahkan kita terfikir untuk membuat snow-man di Afrika? Sebuah tempat yang dikenali dek kepanasannya. Namun itu bukanlah suatu yang mustahil. Bagaimana caranya? Caranya ialah dengan memanjat puncak tertinggi gunung Kilimanjaro pada bila-bila masa kerana ianya sentiasa diliputi salji! Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam. Disebabkan wujudnya berbagai ketinggian di bumi ini, maka tatkala berada pada satu ketinggian manusia dapat berenang dan berjemur, sementara pada ketinggian yang lebih tinggi di kawasan yang sama mereka boleh bermain bola salji dan meluncur. Dalam buku "Keindahan Di Langit" tulisan Harun Yahya ada menyebutkan bahawa, seandainya 10% daripada tenaga yang diberikan matahari itu berkurang, maka permukaan bumi akan diliputi lapisan ais setebal beberapa meter. Sebaliknya jika tenaga tersebut ditambah sedikit sahaja, nescaya semua hidupan akan mati terbakar. Wallahua'lam.

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal" (QS Ali 'Imran : 190)


-Ummu Khaulah, 020310-

Thursday, February 25, 2010

Soalan - 10 Sahabat Asratul Kiraam

Kelas hujung minggu itu merupakan kelas terakhir sebelum sesi baru bermula. Biarpun seluruh bumi Berlin dilitupi salju, namun kelas hari itu tetap berlangsung dengan kehadiran penuh. Masing-masing bersemangat untuk mendalami kandungan kitab yang diwariskan. Memperbaiki bacaan. Menghayati kisah-kisah tauladan. Menghadirinya umpama mencas-semula diri agar bisa hidup teguh di sebuah negara minoriti muslim.
***
"Beliau berusaha sekuat tenaga mencabut rantai besi itu dengan gigiya. Akhirnya, rantai yang melekat pada pipi Baginda Rasulullah s.a.w tercabut bersama gigi Saidina Abu Ubaidah bin Jarrah ra". Solehah terdiam. Sungguh, ianya satu keberanian dan pengorbanan yang tak terperikan. Keberanian sahabat mulia ini sungguh hebat sehingga Rasulullah s.a.w memberinya gelaran 'Gagah dan Jujur'.

"Subhanallah, begitulah hebatnya kisah hidup Saidina Abu Ubaidah bin Jarrah ra. Orang kepercayaan umat ini. Beliau dengan seluruh jiwa raganya mempertahankan Rasulullah s.a.w ketika perang Uhud", jelas Solehah kepada adik didiknya. Kelas menjadi sunyi sepi. Hati menjadi sayu mendengarkan kisah sahabat yang dibentangkan pada minggu ini. 10 sahabat yang dijamin syurga.

Solehah menarik nafas panjang sambil memandang wajah Nurul. Seolah ada sesuatu yang bermain difikirannya.
"Mbak Solehah, saya berasa begitu kecil berbanding para sahabat dahulu. Mereka melakukan apa sahaja demi Islam. Mencari keredhaanNya", luah Nurul.

Solehah tersenyum. Hatinya berbisik syukur.
"Alhamdulillah, syukurlah kalau hati-hati kita tersentuh mendengarkan kisah para sahabat Rasulullah s.a.w. Mudahan itu tandanya hati kita hidup..."
"Namun adik-adik, usah kita larut dalam perasaan rendah diri. Sesungguhnya Allah tahu rahsia hati kita. Mari kita ambil kisah-kisah hebat ini sebagai penyemangat. Api yang membakar sumbu. Allah tahu kesungguhan kita untuk mendapat keredhaanNya." Wajah adik didiknya diperhati satu persatu. Kaca-kaca dihujung mata Nurul menerangkan segalanya. 

"Ya Allah, bantulah kami untuk mencontohi akhlaq mulia dan pengorbanan mereka." bisik Solehah dalam hatinya.

“Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang petama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dengan mereka dan mereka redha kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung.” (QS At-Taubah : 100)

*** 
"Fika, Fika... dimana kamu?", jerit Nurul dari kamarnya.
"Iya mbak Nurul, ada apa sih?". Fika yang sedang menyiapkan sarapan pagi kehairanan.
"Ini emel dari Mbak Solehah, saya sudah lupa bahawa hari ini akan ada ujian Fika"
"Iyakan... saya juga barusan ingat, ujian tentang 10 sahabat yang dijamin syurga itukan!"
"Aduh, kamu juga lupa Fik! Mana notanya, kita baca sekarang. Mudahan masih sempat"
Pagi itu, Nurul dan Fika sibuk membaca semula tugasan yang pernah dibentangkan oleh ahli kelas. Roti panas yang baru dikeluarkan dari oven itu tidak lagi seenak hari biasanya. Masih ada kisah 6 orang yang belum sempat mereka baca. Mungkin membaca di dalam bas juga sempat nanti...

***
"Ok adik-adik, seperti yang dijanjikan hari ini kita akan membuat sedikit ujian tentang 10 sabahat yang dijamin syurga". Solehah menghulurkan kertas soalan kepada muridnya. Nurul dan kawan-kawan tersengih saling berpandangan.

"Mengapa kalian senyum-senyum begitu? Lupa iya". 
Sambil memikirkan kata yang tepat, Solehah melanjutkan perbicaraannya.
"Iya sudah, ujian ini bukan untuk menilai siapa antara kita yang paling hebat. Atau yang kuat imannya. Selain sebagai suatu cara kita lebih mengingat sejarah, tapi juga untuk kita mengambil berat" Solehah benar-benar berharap adik didiknya memahami bahawa kelas yang mereka hadiri ini tidak kalah pentingnya dengan kelas mereka di dewan kuliah.
"Baiklah, disitu ada 15 soalan. Silakan dibaca dengan baik. Ada kalanya, sebuah soalan itu menjadi jawapan kepada soalan yang lainnya" Bismillahirrahmanirahim. Silakan dijawab.

***
KERTAS SOALAN - 10 SAHABAT YANG DIJAMIN SYURGA

1.       Khalifah Ar-Rasyidin terdiri daripada :
i.                     Uthman bin Affan r.a
ii.                   Ubaidillah bin Al-Jarrah r.a
iii.                  Abdulrahman bin Auf r.a
iv.                 Umar bin Al-Khattab r.a
A.      i dan ii                           C.    i dan iv
B.      ii dan iii                         D.    ii dan iv

     2.       Siapakah bapa kepada Saidatina Aishah r.a?
A.      Umar bin Al-Khattab r.a                        C.    Abu Bakar As-Siddiq r.a
B.      Uthman bin Affan r.a                             D.    Zubair bin Awwam r.a

     3.       Dua orang sahabat telah ditangkap oleh Nofal bin Khuwailid, lalu diikat bersama dalam tambang sebagai bentuk penyiksaan. Kerana itulah, dua orang sahabat ini dijuluki “Alqori-nain” atau “dua serangkai”. Dua orang sahabat itu adalah :
A.       Abu Bakar As-Siddiq r.a  dan Thalhah bin Ubaidillah r.a
B.       Abu Bakar As- Siddiq r.a dan Sa’ad bin Abi Waqqash r.a
C.       Thalhah bin Ubaidillah r.a dan Sa’ad bin Abi Waqqash r.a
D.      Thalhah bin Ubaidillah r.a dan Ali bin Abi Talib r.a

     4.       Sahabat ini terkenal sebagai saudagar paling berjaya dan kaya raya. Beliau pernah menginfaqkan 700 kendaraan dan seluruh muatannya kepada penduduk Madinah. Beliau yang dimaksudkan ialah :
A.      Abu Bakar As-Siddiq r.a                         C.   Abdulrahman bin Auf r.a
B.      Uthman bin Affan r.a                             D.   Said bin Zaid r.a

     5.       Beliau diberi gelaran “Zun Nurain”, iaitu yang memiliki dua cahaya mengahwini puteri Rasulullah s.a.w. Isteri pertamanya, Ruqayyah dan setelah dia wafat, dikahwinkan pula dengan Kalthum.
A.      Umar bin Al-Khattab r.a                      C.    Ali bin Abi Talib r.a
B.      Ubaidillah bin Al-Jarrah r.a                   D.   Uthman bin Affan r.a

     6.       Di antara 10 orang sahabat ini, dua daripada mereka adalah menantu kepada Rasulullah s.a.w kerana mengahwini puteri Rasulullah s.a.w. Mereka yang dimaksudkan ialah :
A.       Ali bin Abi Talib r.a dan Umar bin Al-Khattab r.a
B.       Ali bin Abi Talib r.a dan Uthman bin Affan r.a
C.       Ali bin Abi Talib r.a dan Ubaidillah bin Al-Jarrah r.a
D.       Ali bin Abi Talib r.a dan Said bin Zaid r.a

     7.       Isteri beliau bernama Fatimah bint Al-Khattab, iaitu saudara perempuan kepada Umar bin Al-Khattab r.a. Kisah beliau dan isteri yang sedang membaca ayat-ayat Al-Qura’n (Surah Thoha) dan didengar oleh Umar bin Al-Khattab r.a sehingga membawa kepada keislamannya Umar. Beliau ialah
A.       Said bin Zaid r.a                               C.   Thalhah bin Ubailillah r.a    
B.       Sa’ad bin Abi Waqqash r.a                  D.   Zubair bin Al-Awwam r.a

     8.        Jika Abu Bakar digelar As-Siddiq, Umar digelar Al-Faruq, maka As-Syahid Hayya (Syahid yang hidup) digelarkan kepada
A.       Thalhah bin Ubaidillah r.a                    C.    Zubair bin Al-Awwam r.a
B.      Sa’ad bin Abi Waqqash r.a                    D.    Ali bin Abi Thalib r.a

     9.       Siapakah sahabat yang dipilih oleh Khalifah Umar bin Al-Khattab untuk mengetuai sebuah angkatan perang sebesar 30,000 orang untuk menyerang kerajaan Persia?
A.       Thalhah bin Ubaidillah r.a                    C.    Ali bin Abi Thalib r.a
B.      Sa’ad bin Abi Waqqash r.a                    D.    Said bin Zaid r.a

     10.   Asma’ bint Abu Bakar adalah puteri dari Abu Bakar As-Siddiq r.a. Beliau dikurniakan sembilan orang anak hasil perkongsian hidup dengan sahabat ini, iaitu
A.      Thalhah bin Ubaidillah r.a                     C.    Zubair bin Al-Awwam r.a
B.      Sa’ad bin Abi Waqqash r.a                    D.    Said bin Zaid r.a

     11.   Rasulullah s.a.w adalah menantu kepada dua orang sahabat ini kerana mengahwini puteri mereka. Sahabat yang menjadi mertua kepada Baginda Rasulullah s.a.w ialah
A.      Abu Bakar As-Siddiq r.a dan Uthman bin Affan r.a
B.      Abu Bakar As-Siddiq r.a dan Umar bin Al-Khattab r.a
C.      Uthman bin Affan r.a dan Umar bin Al-Khattab r.a
D.      Umar bin Al-Khattab r.a dan Abdulrahman bin Auf r.a

     12.   Pemerintahan dan kekuasaan Islam tumbuh dengan sangat pesat ketika zaman pemerintahan beliau menjadi Khalifah. Beliau juga mengeluarkan keputusan bahawa penanggalan Islam mulai dihitung sejak peristiwa Hijrah. Siapa sahabat yang dimaksudkan?
A.      Ali bin Abi Thalib r.a                                 C.    Umar bin Al-Khattab r.a
B.      Uthman bin Affan r.a                             D.    Abu Bakar As-Siddiq r.a

     13.   Umar Al-Khattab r.a dijuluki dengan gelaran Al-Faruq, yang membawa erti
A.      Orang yang bisa memisahkan antara haq dan batil
B.      Orang yang selalu membenarkan
C.      Orang kepercayaan umat ini
D.      Orang yang pemurah lagi dermawan

     14.   Ketika perang Uhud, pasukan muslimin kucar kacir dan ada yang lari meninggalkan pertempuran. Tetapi sahabat ini berlari mendapatkan Rasullullah s.a.w untuk melindungi Baginda. Pipi Nabi terhujam dua rantai besi. Segera dia berusaha mencabut rantai tersebut dengan gigitan giginya. Akhirnya, rantai itu terlepas dari pipi Rasulullah s.a.w bersama gigi sahabat ini. Kisah ini menceritakan keberanian sahabat ini, iaitu
A.      Said bin Zaid r.a                                C.    Saad bin Abi Waqqash r.a
B.      Ubaidillah bin Al-Jarrah r.a                   D.    Zubair bin Al-Awwam r.a

    15.   Sabda Rasulullah s.a.w “ Barangsiapa yang membeli sumur Bir Ruma, lalu diwakafkan bagi keperluan kaum Muslimin untuk menimba air sumur tersebut, maka Allah akan menyediakan tempat minuman baginya di dalam syurga”. Siapakah sahabat yang telah membeli sumur tersebut?
A.      Abdulrahman bin Auf r.a                      C.    Abu Bakar As-Siddiq r.a
B.      Uthman bin Affan r.a                           D.    Zubair bin Al-Awwam r.a

***
"Baik, masa sudah tamat. Kita semak sama-sama jawapannya. InsyaAllah, sambil mengingat kisah yang pernah kita dengarkan". Inilah mereka 10 sahabat Asratul Kiraam.


-tamat-


Coretan Ummu Khaulah,
25 Februari 2010

Thursday, February 18, 2010

Keindahan dalam kedinginan (Part 3 -Finale)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Menemui anakandaku tercinta,
          Mujahid, Mukhlis dan Khaulah..

Malam sudah makin larut tatkala catatan ini ditulis. Suhu diluar cuma minus 1. Dijangkakan hari-hari esok kita akan merasai suhu di atas paras beku. Alhamdulillah. Tatkala ini kalian semuanya sudah tidur, namun mata Ummi belum boleh lelap. Sakit? Tidak... Runsing? Tidak... Namun ada sesuatu yang terbuku dihati Ummi. Dan Ummi ingin catatkan buat tatapan kalian di suatu hari nanti. Kata Abi, insyaAllah this will be our second last winter here. Wallahua'lam. Pastinya perancangan Allah itu yang terbaik.



Kesayanganku,
Musim dingin kali ini kita sempat merasai suhu sehingga minus 22. Sempat merasai ribut sajli. Kawasan Rugen antara yang paling teruk dilanda salju tebal. Ingat tak kita ke Pulau Rugen hari tu? Alhamdulillah bekalan elektrik dan gas di kawasan kita tidak terputus. Abi-lah yang paling sibuk memastikan keperluan kita semua tercukupkan, memastikan ubatan diambil, menggembirakan kita dengan pelbagai cara dan pulang dengan penuh keceriaan untuk bermain dengan kalian walaupun entah berapa kilometer berjalan setiap hari. Iya berjalan, kerana kita disini tidak memiliki kereta, bahkan basikal juga tiada. Berjalan di musim dingin ini menuntut lebih tenaga, lebih waspada. Dan di setiap malam kita menjerit keriangan menyambut kepulangan Abi. Wira dihati kita semua. Dan Ummi bahagia sekali dapat melaksanakan tugas utama dan mulia ini, sebagai isteri dan ibu. Suatu perasaan yang tidak pernah Ummi rasakan sebelum ini. Ummi tidak peduli lagi dengan tangga-gaji, tidak hirau lagi dengan kenaikan pangkat, tidak kisah lagi I'm not on top of the game... apalah harganya itu semua dengan kebahagiaan melihat kalian membesar dihadapan mata.

Musim dingin kali ini telah banyak mengajar Ummi erti keindahan hidup. Kadang-kala bila ujian dan cabaran datang menjelma, dan berupaya melaluinya dengan sabar, tawakkal dan senyuman semuanya menjadi lebih bermakna. Alhamdulillah, all praises to Allah. Padanlah nenek pesan pada Ummi di musim sejuk ini untuk 'keep warm, take your vitamins dan dont forget to smile'. Langit mungkin suram berpanjangan. Salju mungkin turun berlarutan. Suhu mungkin sejuk mencengkam. Dan kita hamba Yang Maha Kuasa tiada upaya menukar suasana alam. Namun kita mampu menukar pandangan. Melihat dengan senyuman dan hati yang tenang rupanya mampu pengubah pandangan kita terhadap sesuatu. Terima kasih kerana kalian mengingatkan Ummi untuk senyum dengan pelbagai wajah-wajah yang kalian hadiahkan buat Ummi. Melihat dirimu bahagia adalah kejayaanku...

Kecintaanku,
Banyak sekali rahsia yang Allah simpan buat kita...seribu satu hikmah yang perlu kita singkapi. A beautiful winter it is. InsyaAllah. Ingatkah lagi kalian kita bersama, 
meraikan ulangtahun Khaulah dan Mukhlis...
menerima kehadiran tetamu silih berganti...
menatap ukiran-ukiran ais yang dipamer...
berkejaran riang dihamparan salju...
berjamaah merintih dah berdoa mengharap kasih dan ampunanNya...
setiap yang kita lalui,
setiap yang kita miliki,
semuanya datangnya dari Allah,
dan kepadaNya jualah kita semua dikembalikan.

...dan seandainya Ummi terlupa, ingatkanlah diri Ummi untuk tetap dalam bersabar. It's been a wonderful winter, Alhamdulillah. Keindahan dalam sebuah kedinginan.

Wassalam,
Ummi
-160210-
Related Posts with Thumbnails