Thursday, January 28, 2010

Keindahan dalam kedinginan (Part 1)

 ( Jan 2009 - taman permainan di hadapan kindergarten)

"Ummi, abang kejuk". Pipi dan hidungnya kemerahan kerana cuaca sejuk. Kesian anak Ummi.
"Bukan kejuk Mujahid, Sejuk. Se....juk."
"Se...juk. Sejuk. Ummi, abang kejuk".
"Aduh... tak pelah. Kita jalan cepat-cepat ye. Kalau tidak bergerak, kita akan rasa lagi sejuk".

"Mbak Mar, I love and I hate winter". Senyumannya malu-malu.
"Kok gitu, love itu yang mana. Dan hate itu yang mana?"
"Salju itu cantik, putih, indah mbak.. tapi, suhunya dingin sekali."
"Iyakan, Subhanallah. Dalam dinginnya suhu sekarang, Allah menjadikan alam putih menawan. Hmm, bagaimana agaknya kalau salju itu hitam?"

Keindahan dalam sebuah kedinginan...

MasyaAllah, betapa agung dan penyayangnya Allah menjadikan di setiap musim itu ada keindahannya. Kadang-kala, sedang snow turun dengan lebatnya tetapi suhu hari itu cuma minus 1 atau 2. Kadang-kala, sedang matahari muncul setelah lama tidak menjenguk tetapi suhu hari itu minus 15. Dan salju itu turun dalam pelbagai bentuk. Kekadang turun tenang bagaikan kapas yang ditaburkan. Kekadang bertiup laju bagaikan pasir di sahara. Ada waktu ia jatuh lebat bagaikan hujan di negara Khatulistiwa. Tetapi seseorang harus lebih hati-hati andai salju turun bagai batu kelikir berderup-derup. Subhanallah.


 (Jan 2009 - Alam ketika Khaulah dilahirkan, atas: pandangan dari tingkap wad bersalin. bawah : frooze yang terbentuk pada kaca)

Dan lebih hebat lagi, salju yang turun itu putih. Bukan hitam. Bukan merah atau lainnya. Alam bagaikan sedang dicuci Sang Pencipta. Putih bersih. Bumi yang hijau, jalanan yang hitam, atap rumah yang merah, semunya menjadi putih. Bahkan sajlu tidak lupa menghinggapi setiap ranting-ranting di pohonan. Sungai yang mengalir telah membeku. Sungguh tenang. Mungkin kerana itu, keindahan musim sejuk ini sangat menyentuh hati. Seluruh alam seolah mengajak kita sama-sama berhenti sejenak, berfikir, merenung dan mengevaluasi diri. Menyiapkan perancangan untuk musim-musim dihadapan. Patutlah Ibnu Mas’ud r.a mengalu-alukan kedatangan musim sejuk dan berkata ;

“ Selamat datang musim sejuk, turun padanya keberkatan, malamnya panjang untuk berqiamullail, pendek siangnya untuk berpuasa.”

***

Mukhlis, pakai baju ni! Kat luar tu sejuk. Sangat sejuk, Mukhlis! Tengok abang Mujahid pakai 4"
"Tak nak... tak nak..."
"Luar tu ada snow banyak. Angin kuat. Sejuk!"
"Tak nak... tak nak..."
"Meh kita duduk kat balcony, ada snow banyak. Haa, Mukhlis sejuk tak pakai macam tu?"
"oook"
Alhamdulillah, akhirnya berjaya setelah perbualan satu hingga empat diulang berkali-kali!
 (Feb 2009 - Bersama anak-anak mengharungi sejuk, snow dah semakin sedikit)


Anak-anak memang susah nak disiapkan dengan pakaian sesuai untuk keluar. Long john, baju biasa, baju tebal, jaket winter, sarung tangan, stokin, selendang leher dan topi. Itu asas. Kalau lebih lengkap lagi, kasut khas, stokin khas, seluar khas, penutup telinga, dan berbagai lagi. Masakan anak-anak, kalau kita sendiri sudah berasa berat untuk bersiap.  

Tahukah kita bahawa suhu sejuk lebih merbahaya dari suhu panas. Cuba saja kita melihat berita berapa ramai yang mati kerana suhu sejuk yang melampau. Kata seorang teman bakal doktor, kematian lebih cepat berlaku dalam keadaan suhu yang rendah kerana perubahan dalam fisiologi badan kita. - contohnya, kecelaruan peredaran darah (decrease cardiac output, arrythmias), kekurangan oksigen, cold stress dan sebagainya. Dan pastinya keperluan air dalam badan juga meningkat dengan mendadak! Menurutnya lagi, keadaan yang sejuk boleh menjadi sekering tanah gurun yang paling kering. Ini kerana udara yang sejuk tidak boleh menyimpan kelembapan. Udara yang sejuk akan menyerap kelembapan dari kulit yang terdedah. Sebab itulah setiap nafas yang diambil boleh membuatkan seseorang lebih dehidrat. Walaupun dalam cuaca sejuk kita tidak berpeluh sebanyak ketika cuaca panas, tetapi kita masih boleh ter-dehidrat dengan lebih teruk tanpa disedari. Pesanannya kepada kami, jangan lupa banyak minum air!

Dan pastinya, perjalanan yang dingin bersalju bersama yang tersayang menjadikan semuanya detik-detik indah berbanding melalui bersendirian. Selepas salju turun, waktu itu adalah yang paling seronok untuk keluar. Bunyi kaki yang memijak salju seperti memijak kerupuk rangup. Krup, krup, krup... Pantang ada kawasan lapang sedikit, bersiap sedialah untuk perang snow ball! Tapi awas, jangan sampai balingan terkena muka kerana sakitnya aduhai! Tidak dilupakan juga bermain sledge menuruni 'bukit'. Sekali turun pasti tidak cukup. Bukankah semua itu keindahan yang dirasai bersama kedinginan?        
 
(Bermain salju tebal bersama jiran tetangga di hari terakhir Disember 2009)

Maha Suci Allah yang menjadikan setiap musim itu datang dan pergi menurut ketetapan waktu masing-masing. Semuanya tunduk akur mentaati pada suruhan Sang Pencipta. Adakah kita  juga tunduk dan taat pada ketetapanNya?

Rabbana ma khalaqta haza bathila..subhanaka faqina azabannar.
Tuhanku, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab api neraka...

Pastinya musim dingin ini menyimpan 1001 rahsia untuk diterokai.... bersambung.

Wassalam,
Ummu Khaulah
-280110-

Tuesday, January 19, 2010

Himmah Yang Tinggi


Mengapa di akhir setiap emelnya diselitkan doa yang sama?
Mengapa di akhir setiap perbualan dengannya ditutup doa yang sama?
Mengapa di akhir setiap tulisan YMnya juga dengan kata-kata yang sama?

"..sentiasalah berdoa mohon Allah beri kita kekuatan, kesabaran dan himmah yang tinggi untuk didik anak2 kita jadi insan soleh dan musleh."
"..Diantara doa yg mama amalkan ialah memohon kepada Allah memberi kita kesabaran dan himmah yang tinggi untuk mendidik anak2 dan ..."
"...Mama doakan moga mar dan rizza diberi kesabaran dan himmah yang tinggi untuk mendidik anak2 menjadi insan2 soleh amin..."

Satu dua emel pertama, ingatkan mama salah tulis. Mungkin maksud mama Hikmah. Tetapi selepas beberapa lama dan masih diungkapkan sebagai Himmah, aku mula tertanya-tanya. Apa itu Himmah? Alhamdulillah, semuanya terjawab selepas mendapat tugasan dari ustazah yang mengajarku. Tajuk tugasan, 'Uluwwul Himmah. Subhanallah! Kebetulan sama dengan persoalan yang bermain diminda. Maka, inilah catatan ringkas Ummi kongsikan ketika menggali mutiara indah dalam salah satu sifat seorang mukmin, iaitu 'Uluwwul Himmah. Mudah-mudahan setelah difahami, doa dan pengharapan ini kita sama-sama lantunkan dalam perjalanan kita memikul amanah mendidik seorang cahaya mata.

Al-Himmah itu adalah hasrat yang kuat atau cita-cita yang tinggi. Adapun 'Uluwwul Himmah itu ialah hasrat dan upaya jiwa untuk mencapai tujuan semaksimum mungkin baik dalam bidang ilmu atau amal, iaitu dengan menggapai puncak kesempurnaan yang dapat diraih. Ianya bertindak sebagai motivator kerja dengan tekad dan kemahuan yang tinggi dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Atau ringkasnya, 'Uluwwul Himmah ialah semangat yang menjulang tinggi! Banyak perkara dalam kehidupan seharian kita ini dapat kita mengamalkan 'Uluwwul Himmah ini. Antaranya dalam menuntut ilmu, menyampaikan kebaikan, mendidik anak, juga dalam jihad fi sabilillah. 

Tapi, bagaimana agaknya mendidik anak apabila Abi Umminya memiliki Himmah yang tinggi? Bukankah kebiasaannya seorang ibubapa yang baik memang mempunyai semangat dalam membesarkan anak-anaknya? Apakah tidak cukup dengan semangat yang biasa itu? Sejarah banyak mengabadikan kisah orang yang memiliki semangat tinggi akan membawanya pergi jauh. Cuba lihat, seseorang yang berkerusi roda tetapi memiliki semangat yang tinggi bisa saja mengelilingi dunia. Maka dengan semangat yang tinggi jugalah mampu membawa anak ke suatu tahap yang tertinggi. Bukanlah memberinya cukup makan pakai sahaja, tetapi lebih dari itu. Bukan sahaja berjaya di dunia, tetapi juga di akhirat sana.

“Dan orang-orang yang berkata: ‘ Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang yang bertaqwa’.” (QS Al Furqan:74)

Ya Allah, itu rupanya! Inikan doa yang biasa kita amalkan sesudah  usai solat. Doa yang dihafal oleh setiap bakal pengantin dalam memulakan pelayaran bahtera rumahtangganya. Selama ini apa yang dilantunkan belum cukup difahami.... hasilnya, meminta kepada Yang Esa tanpa merasai benar apa yang dipohon. Allah s.w.t mengajarkan kita untuk berdoa agar anak-anak kita menjadi pemimpin bagi orang yang bertaqwa! Itukan harapan semaksimum mungkin, itukan apa yang dimaksudkan dalam ‘Uluwwul Himmah. Bukan sahaja membesarkan anak menjadi orang yang bertaqwa, orang yang soleh, tetapi lebih dari itu. Iaitu mendidiknya dengan semangat tinggi, harapan besar agar dia termasuk pemimpin orang yang bertaqwa. Pemimpin itu tidak cukup hanya dengan soleh, tetapi juga musleh. 

Untuk itukan, kita semua tahu bahawa dalam mencapai sesuatu bukanlah cukup dengan berdoa‘ semata. Harus disertai dengan usaha yang tidak kurang jerih payahnya. Abi dan Umminya harus sentiasa berusaha, mencari ilmu, banyak membaca, dan menjaga amalan hariannya sebaik mungkin. Bagaimana hendak memastikan tanaman yang dijaga hidup subur dan kuat kalau yang menanam tidak subur dan kuat? Bagaimana hendak membina rumah yang kukuh dan tegap kalau tapaknya tidak kukuh dan tegap? Pasti semua setuju bahawa ‘Uluwwul Himmah itu bukanlah sesuatu yang boleh kita dapat dengan membelinya di kedai, atau mengambil dari orang lain. Ianya suatu proses. AllahuAkbar, rupanya Allah menghantar Abi dan Ummi ke sini untuk berusaha menemukan Himmah itu. Seandainya dalam keadaan yang sulit, dan kita masih dapat bekerja dan terus tumbuh dengan amal kebaikan, maka itulah proses yang mengukuhkan semangat dan menguatkan niat kita.

Dalam keadaan yang tidak ada halangan dan cuaca baik, maka sebuah pohon yang tidak memiliki akar yang kuat pun akan tetap tumbuh dengan baik. Namun, jika dalam keadaan persekitaran buruk dan banyak angin, maka hanya pohon yang kuat akan tetap tumbuh. Semakin kuatnya 'Uluwwul Himmah, atau motivasi seseorang dalam bekerja, maka bagaikan pohon yang semakin kukuh akarnya. Akar itu dibawah tanah dan tidak terlihat, sepertimana  tujuan dalam beramal juga tidak terlihat. Namun kita akan dapat melihat bagaimana kukuhnya niat dari keadaan pohon itu ketika ia berhadapan dengan cabaran. Tika angin besar datang, barulah kita dapat melihat apakah akar pohon itu kuat atau tidak. Jika akarnya kuat, maka pohon itu tidak akan tumbang apalagi tercabut akarnya. Jika akar pohon kuat, sementara ujian dari luar juga semakin kuat, maka pohon akan patah rantingnya tetapi tidak sampai pohon tumbang rebah ke bumi kerana tercabut akarnya!

...begitu besar harapan dan doa mama kepada kami. Kalau mama telah memberikan sepenuh kepercayaan ini kepada kami, apakah masih harus ada ruang untuk tidak mempercayai diri! Percayalah kepada dirimu! Anak itu adalah sebuah anugerah yang agung. Asset yang tiada ternilai harganya. Tabungan bagi kedua ibubapanya di akhirat kelak. Pada saat seluruh pahala amalan telah terputus, dikala itu alangkah bahagianya mendapatkan manfaat dari sekalung doa anak yang soleh....Sesungguhnya semua ini adalah anugerah dariMu. Ya Allah, kurniakan kami kesabaran dan himmah yang tinggi dalam mendidik cahaya hati kami, dan bimbinglah kami untuk berada bersama orang-orang yang bertaqwa. Amien.

Wassalam,
Ummu Khaulah
-190110-

Thursday, January 7, 2010

Segenggam Tabah Untuk Januari

Aku tidak tahu bagaimana untuk mencatatnya... Namun aku harus cuba, agar suatu masa nanti tatkala anak-anak membaca, mereka tahu bahawa Ummi dan Abinya berjuang keras untuk mereka. Mencintai mereka. Bukanlah semua yang dilalui di German ini indah-indah belaka. Hidup asing, di negara asing, dengan bahasa asing. Yang pasti perjalanan asing ini menjadi indah kerana kita melaluinya bersama. Bersama dengan doa dan harapan keluarga dan tetangga, jauh dan dekat. Hidup ini bagai roda, ada kala kita di atas dan ada kala kita di bawah. Namun, entah mengapa tiap kali Januari datang aku harus mempertahankan tabah itu dengan lebih erat. Kebetulan Januari datang bersama puncak musim sejuk. Jauh di bawah paras beku...
Januari 2008
Turun sahaja dari kapal terbang MAS, perasaan bingung dan bersendirian datang menyapa. Tiada lagi pramugara-pramugari yang sudi membantu. Aku tidak faham apa yang dituliskan di papan tanda. Aku tidak boleh memahami bahasa percakapan orang sekeliling. Benar-benar buta huruf.  Bingung dibuatnya. Tempoh 2 jam transit di Frankfurt sebelum berlepas ke Berlin itu rasanya singkat sekali. Berlari ke sana, berlari ke sini.   

Abi : Puan, dimana pintu keluar? Kami perlu check-in untuk flight ke Berlin.  
Pengawal Airport : Kamu naik lif ini saja. Kenapa kamu datang ke Germany waktu macam ni?
Abi : Saya belajar.
Pengawal Airport : Tapi sekarang musim sejuk. Orang German pun keluar, kamu pula nak masuk!

Sebetulnya, aku tidak sangka keadaan yang begitu sejuk saat keluar dari lapangan terbang. Walaupun kami sudah menyiapkan pakaian musim sejuk dari Malaysia, ternyata masih belum lengkap pelengkapannya. Bermulalah kisah pengembaraan kami di German tatkala semuanya putih dilitupi salju. Siang yang pendek, dan malam yang sungguh panjang...Siang suami ke Universiti, malam suami ke kelas bahasa German, dan aku 24jam berkurung di 'rumah' bersama anak kecil jauh dari kenalan lain. Sebelum ke sini, aku begitu sibuk dengan dunia pekerjaan dan selalu out-station ke sana sini. 7 pagi keluar rumah, 7 malam sampai rumah. Tanpa sempat menoleh, duniaku telah berubah sama sekali.... (Catatan lama Januari 2008 :  Our Journey To Berlin)

Januari 2009
Suhu di luar minus 15. Sudah 5 hari aku di hospital. Khaulah kuning. Kata doktor, kalau tahap kuningnya di bawah paras bahaya, petang ini boleh balik. Tapi, setiap 2 hari perlu buat pemeriksaan darah di hospital terdekat. Aku benar-benar berharap dapat pulang kerana rindu pada Mujahid dan Mukhlis. Rayu tangis Mujahid di hujung telefon meruntun hati. "Ummi, baliklah.. Bila Ummi nak balik, Mujahid nak Ummi". Alhamdulillah, lewat petang Jumaat aku dan Khaulah dibenarkan pulang. Sabtu, Ahad, Selasa dan Khamis kami berulang-alik ke hospital. Orang tua-tua kata, dalam pantang jangan banyak berjalan, jangan kena hujan. Tapi aku tiada pilihan, belum seminggu melahirkan sudah berjalan ke hospital meredah salju.

Belum sempat Khaulah pulih 100%, Mukhlis pula yang jatuh sakit. Setiap 10 minit, dia akan muntah atau cirit-birit. Dia hanya menangis dan tidur beberapa jam. 4 hari dia bertahan tanpa menjamah suatu apapun, kecuali minum susu. Paling kritikal, setiap 2-3 minit dia akan muntah. Tengah malam yang sangat dingin itu, Abi bergegas membawa Mukhlis ke hospital. Hampir 2 minggu Mukhlis sakit teruk. Fuh, satu tub mandi penuh dengan pakaian, cadar, selimut yang dikotori muntah...Orang tua-tua kata, dalam pantang jangan angkat berat, jangan banyak gerak. Tapi aku tiada pilihan, belum 2 minggu melahirkan sudah mengendong anak memujuk dan merawat, mengurus rumah.

Belum sempat Mukhlis pulih 100%, Abi pula yang jatuh sakit. Sejak hari pertama Januari, Abi berkejar ke Universiti, rumah, hospital, klinik, menjemput tetamu, tanpa kira masa dan keadaan. Tengah malam, awal pagi, dalam snow. Sudah berapa hari Abi sakit kepala, demam, dan pucat. Syukurlah presentation penting Abi hujung bulan itu sempat dilaksanakan. Malam itu, tiba-tiba Abi menjerit kuat. Muka dan seluruh badannya pucat lesi. Kaki Abi kekejangan teruk. Takut sangat melihat keadaan Abi menjerit menahan sakit. Setelah digerakkan dan disapu minyak panas, aku masuk ke bilik dan menangis. Sepanjang hidup bersama, belum pernah aku lihat suami sakit seperti ini. Kerana suami sedang sakit,  terpaksalah aku keluar membeli barang keperluan dapur. Orang tua-tua kata, dalam pantang jangan menangis, banyakkan rehat, jaga pemakanan. Tapi aku tiada pilihan, belum habis pantang sudah keluar ke kedai dan pasar, malamnya berganti antara menjaga Khaulah, memujuk Mukhlis dan merawat Abi. Tidur sambil menangis menahan bisanya sakit seluruh badan...dan makan apa sahaja yang kebetulan ada. (Catatan lama Januari 2009 :  Khaulah Sofiyah, The Winter Baby)

Januari 2010
Tika catatan ini ditulis, suhu diluar minus 11. Alhamdulillah, Khaulah semakin sembuh dari demam panas sejak malam tahun baru. 5 hari pertama Januari, setiap malam suhu badan Khaulah akan mendadak naik hampir 40 darjah. Khaulah tidak mahu berjalan, tidak mahu makan kecuali minum susu ibu. Birthday girl menyambut ulang tahun pertamanya dalam keadaan lesu tak bermaya. Mukhlis juga sempat sakit. Hari ini genap seminggu memasuki tahun 2010. Aku tidak tahu apa yang menanti dihadapan. Yang pasti, Allah ada bersamaku. InsyaAllah. Masih ramai yang diuji Allah dengan cabaran yang jauh lebih berat dan mereka bersabar menempuhnya. "Sesungguhnya Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala dari kebajikan yang dikerjakan, dan dia mendapat siksa dari kejahatan yang diperbuatnya.." (QS 1: 286) 

Pusingan pertama telah berlalu, kini masuk pusingan ke-2. Moga langkah yang diatur lebih tersusun dan sentiasa dalam lindungan rahmatNya. Amien.


InshaAllah
by: Maher Zain

Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost
That your so alone
All you is see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You cant see which way to go
Dont despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side

Insha Allah x3
Insya Allah youll find your way

Everytime you can make one more mistake
You feel you cant repent
And that its way too late
Your're so confused, wrong decisions you have made
Haunt your mind and your heart is full of shame

Dont despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insha Allah x3
Insya Allah you'll find your way

Turn to Allah
He's never far away
Put your trust in Him
Raise your hands and pray
OOO Ya Allah
Guide my steps dont let me go astray
Your're the only one that showed me the way,
Showed me the way x2
Insha Allah x3
Insya Allah we'll find the way 

Wassalam,
Ummu Khaulah
7 Januari 2010
Related Posts with Thumbnails