Thursday, January 28, 2010

Keindahan dalam kedinginan (Part 1)

 ( Jan 2009 - taman permainan di hadapan kindergarten)

"Ummi, abang kejuk". Pipi dan hidungnya kemerahan kerana cuaca sejuk. Kesian anak Ummi.
"Bukan kejuk Mujahid, Sejuk. Se....juk."
"Se...juk. Sejuk. Ummi, abang kejuk".
"Aduh... tak pelah. Kita jalan cepat-cepat ye. Kalau tidak bergerak, kita akan rasa lagi sejuk".

"Mbak Mar, I love and I hate winter". Senyumannya malu-malu.
"Kok gitu, love itu yang mana. Dan hate itu yang mana?"
"Salju itu cantik, putih, indah mbak.. tapi, suhunya dingin sekali."
"Iyakan, Subhanallah. Dalam dinginnya suhu sekarang, Allah menjadikan alam putih menawan. Hmm, bagaimana agaknya kalau salju itu hitam?"

Keindahan dalam sebuah kedinginan...

MasyaAllah, betapa agung dan penyayangnya Allah menjadikan di setiap musim itu ada keindahannya. Kadang-kala, sedang snow turun dengan lebatnya tetapi suhu hari itu cuma minus 1 atau 2. Kadang-kala, sedang matahari muncul setelah lama tidak menjenguk tetapi suhu hari itu minus 15. Dan salju itu turun dalam pelbagai bentuk. Kekadang turun tenang bagaikan kapas yang ditaburkan. Kekadang bertiup laju bagaikan pasir di sahara. Ada waktu ia jatuh lebat bagaikan hujan di negara Khatulistiwa. Tetapi seseorang harus lebih hati-hati andai salju turun bagai batu kelikir berderup-derup. Subhanallah.


 (Jan 2009 - Alam ketika Khaulah dilahirkan, atas: pandangan dari tingkap wad bersalin. bawah : frooze yang terbentuk pada kaca)

Dan lebih hebat lagi, salju yang turun itu putih. Bukan hitam. Bukan merah atau lainnya. Alam bagaikan sedang dicuci Sang Pencipta. Putih bersih. Bumi yang hijau, jalanan yang hitam, atap rumah yang merah, semunya menjadi putih. Bahkan sajlu tidak lupa menghinggapi setiap ranting-ranting di pohonan. Sungai yang mengalir telah membeku. Sungguh tenang. Mungkin kerana itu, keindahan musim sejuk ini sangat menyentuh hati. Seluruh alam seolah mengajak kita sama-sama berhenti sejenak, berfikir, merenung dan mengevaluasi diri. Menyiapkan perancangan untuk musim-musim dihadapan. Patutlah Ibnu Mas’ud r.a mengalu-alukan kedatangan musim sejuk dan berkata ;

“ Selamat datang musim sejuk, turun padanya keberkatan, malamnya panjang untuk berqiamullail, pendek siangnya untuk berpuasa.”

***

Mukhlis, pakai baju ni! Kat luar tu sejuk. Sangat sejuk, Mukhlis! Tengok abang Mujahid pakai 4"
"Tak nak... tak nak..."
"Luar tu ada snow banyak. Angin kuat. Sejuk!"
"Tak nak... tak nak..."
"Meh kita duduk kat balcony, ada snow banyak. Haa, Mukhlis sejuk tak pakai macam tu?"
"oook"
Alhamdulillah, akhirnya berjaya setelah perbualan satu hingga empat diulang berkali-kali!
 (Feb 2009 - Bersama anak-anak mengharungi sejuk, snow dah semakin sedikit)


Anak-anak memang susah nak disiapkan dengan pakaian sesuai untuk keluar. Long john, baju biasa, baju tebal, jaket winter, sarung tangan, stokin, selendang leher dan topi. Itu asas. Kalau lebih lengkap lagi, kasut khas, stokin khas, seluar khas, penutup telinga, dan berbagai lagi. Masakan anak-anak, kalau kita sendiri sudah berasa berat untuk bersiap.  

Tahukah kita bahawa suhu sejuk lebih merbahaya dari suhu panas. Cuba saja kita melihat berita berapa ramai yang mati kerana suhu sejuk yang melampau. Kata seorang teman bakal doktor, kematian lebih cepat berlaku dalam keadaan suhu yang rendah kerana perubahan dalam fisiologi badan kita. - contohnya, kecelaruan peredaran darah (decrease cardiac output, arrythmias), kekurangan oksigen, cold stress dan sebagainya. Dan pastinya keperluan air dalam badan juga meningkat dengan mendadak! Menurutnya lagi, keadaan yang sejuk boleh menjadi sekering tanah gurun yang paling kering. Ini kerana udara yang sejuk tidak boleh menyimpan kelembapan. Udara yang sejuk akan menyerap kelembapan dari kulit yang terdedah. Sebab itulah setiap nafas yang diambil boleh membuatkan seseorang lebih dehidrat. Walaupun dalam cuaca sejuk kita tidak berpeluh sebanyak ketika cuaca panas, tetapi kita masih boleh ter-dehidrat dengan lebih teruk tanpa disedari. Pesanannya kepada kami, jangan lupa banyak minum air!

Dan pastinya, perjalanan yang dingin bersalju bersama yang tersayang menjadikan semuanya detik-detik indah berbanding melalui bersendirian. Selepas salju turun, waktu itu adalah yang paling seronok untuk keluar. Bunyi kaki yang memijak salju seperti memijak kerupuk rangup. Krup, krup, krup... Pantang ada kawasan lapang sedikit, bersiap sedialah untuk perang snow ball! Tapi awas, jangan sampai balingan terkena muka kerana sakitnya aduhai! Tidak dilupakan juga bermain sledge menuruni 'bukit'. Sekali turun pasti tidak cukup. Bukankah semua itu keindahan yang dirasai bersama kedinginan?        
 
(Bermain salju tebal bersama jiran tetangga di hari terakhir Disember 2009)

Maha Suci Allah yang menjadikan setiap musim itu datang dan pergi menurut ketetapan waktu masing-masing. Semuanya tunduk akur mentaati pada suruhan Sang Pencipta. Adakah kita  juga tunduk dan taat pada ketetapanNya?

Rabbana ma khalaqta haza bathila..subhanaka faqina azabannar.
Tuhanku, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab api neraka...

Pastinya musim dingin ini menyimpan 1001 rahsia untuk diterokai.... bersambung.

Wassalam,
Ummu Khaulah
-280110-

1 comment:

Related Posts with Thumbnails