Thursday, February 25, 2010

Soalan - 10 Sahabat Asratul Kiraam

Kelas hujung minggu itu merupakan kelas terakhir sebelum sesi baru bermula. Biarpun seluruh bumi Berlin dilitupi salju, namun kelas hari itu tetap berlangsung dengan kehadiran penuh. Masing-masing bersemangat untuk mendalami kandungan kitab yang diwariskan. Memperbaiki bacaan. Menghayati kisah-kisah tauladan. Menghadirinya umpama mencas-semula diri agar bisa hidup teguh di sebuah negara minoriti muslim.
***
"Beliau berusaha sekuat tenaga mencabut rantai besi itu dengan gigiya. Akhirnya, rantai yang melekat pada pipi Baginda Rasulullah s.a.w tercabut bersama gigi Saidina Abu Ubaidah bin Jarrah ra". Solehah terdiam. Sungguh, ianya satu keberanian dan pengorbanan yang tak terperikan. Keberanian sahabat mulia ini sungguh hebat sehingga Rasulullah s.a.w memberinya gelaran 'Gagah dan Jujur'.

"Subhanallah, begitulah hebatnya kisah hidup Saidina Abu Ubaidah bin Jarrah ra. Orang kepercayaan umat ini. Beliau dengan seluruh jiwa raganya mempertahankan Rasulullah s.a.w ketika perang Uhud", jelas Solehah kepada adik didiknya. Kelas menjadi sunyi sepi. Hati menjadi sayu mendengarkan kisah sahabat yang dibentangkan pada minggu ini. 10 sahabat yang dijamin syurga.

Solehah menarik nafas panjang sambil memandang wajah Nurul. Seolah ada sesuatu yang bermain difikirannya.
"Mbak Solehah, saya berasa begitu kecil berbanding para sahabat dahulu. Mereka melakukan apa sahaja demi Islam. Mencari keredhaanNya", luah Nurul.

Solehah tersenyum. Hatinya berbisik syukur.
"Alhamdulillah, syukurlah kalau hati-hati kita tersentuh mendengarkan kisah para sahabat Rasulullah s.a.w. Mudahan itu tandanya hati kita hidup..."
"Namun adik-adik, usah kita larut dalam perasaan rendah diri. Sesungguhnya Allah tahu rahsia hati kita. Mari kita ambil kisah-kisah hebat ini sebagai penyemangat. Api yang membakar sumbu. Allah tahu kesungguhan kita untuk mendapat keredhaanNya." Wajah adik didiknya diperhati satu persatu. Kaca-kaca dihujung mata Nurul menerangkan segalanya. 

"Ya Allah, bantulah kami untuk mencontohi akhlaq mulia dan pengorbanan mereka." bisik Solehah dalam hatinya.

“Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang petama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dengan mereka dan mereka redha kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung.” (QS At-Taubah : 100)

*** 
"Fika, Fika... dimana kamu?", jerit Nurul dari kamarnya.
"Iya mbak Nurul, ada apa sih?". Fika yang sedang menyiapkan sarapan pagi kehairanan.
"Ini emel dari Mbak Solehah, saya sudah lupa bahawa hari ini akan ada ujian Fika"
"Iyakan... saya juga barusan ingat, ujian tentang 10 sahabat yang dijamin syurga itukan!"
"Aduh, kamu juga lupa Fik! Mana notanya, kita baca sekarang. Mudahan masih sempat"
Pagi itu, Nurul dan Fika sibuk membaca semula tugasan yang pernah dibentangkan oleh ahli kelas. Roti panas yang baru dikeluarkan dari oven itu tidak lagi seenak hari biasanya. Masih ada kisah 6 orang yang belum sempat mereka baca. Mungkin membaca di dalam bas juga sempat nanti...

***
"Ok adik-adik, seperti yang dijanjikan hari ini kita akan membuat sedikit ujian tentang 10 sabahat yang dijamin syurga". Solehah menghulurkan kertas soalan kepada muridnya. Nurul dan kawan-kawan tersengih saling berpandangan.

"Mengapa kalian senyum-senyum begitu? Lupa iya". 
Sambil memikirkan kata yang tepat, Solehah melanjutkan perbicaraannya.
"Iya sudah, ujian ini bukan untuk menilai siapa antara kita yang paling hebat. Atau yang kuat imannya. Selain sebagai suatu cara kita lebih mengingat sejarah, tapi juga untuk kita mengambil berat" Solehah benar-benar berharap adik didiknya memahami bahawa kelas yang mereka hadiri ini tidak kalah pentingnya dengan kelas mereka di dewan kuliah.
"Baiklah, disitu ada 15 soalan. Silakan dibaca dengan baik. Ada kalanya, sebuah soalan itu menjadi jawapan kepada soalan yang lainnya" Bismillahirrahmanirahim. Silakan dijawab.

***
KERTAS SOALAN - 10 SAHABAT YANG DIJAMIN SYURGA

1.       Khalifah Ar-Rasyidin terdiri daripada :
i.                     Uthman bin Affan r.a
ii.                   Ubaidillah bin Al-Jarrah r.a
iii.                  Abdulrahman bin Auf r.a
iv.                 Umar bin Al-Khattab r.a
A.      i dan ii                           C.    i dan iv
B.      ii dan iii                         D.    ii dan iv

     2.       Siapakah bapa kepada Saidatina Aishah r.a?
A.      Umar bin Al-Khattab r.a                        C.    Abu Bakar As-Siddiq r.a
B.      Uthman bin Affan r.a                             D.    Zubair bin Awwam r.a

     3.       Dua orang sahabat telah ditangkap oleh Nofal bin Khuwailid, lalu diikat bersama dalam tambang sebagai bentuk penyiksaan. Kerana itulah, dua orang sahabat ini dijuluki “Alqori-nain” atau “dua serangkai”. Dua orang sahabat itu adalah :
A.       Abu Bakar As-Siddiq r.a  dan Thalhah bin Ubaidillah r.a
B.       Abu Bakar As- Siddiq r.a dan Sa’ad bin Abi Waqqash r.a
C.       Thalhah bin Ubaidillah r.a dan Sa’ad bin Abi Waqqash r.a
D.      Thalhah bin Ubaidillah r.a dan Ali bin Abi Talib r.a

     4.       Sahabat ini terkenal sebagai saudagar paling berjaya dan kaya raya. Beliau pernah menginfaqkan 700 kendaraan dan seluruh muatannya kepada penduduk Madinah. Beliau yang dimaksudkan ialah :
A.      Abu Bakar As-Siddiq r.a                         C.   Abdulrahman bin Auf r.a
B.      Uthman bin Affan r.a                             D.   Said bin Zaid r.a

     5.       Beliau diberi gelaran “Zun Nurain”, iaitu yang memiliki dua cahaya mengahwini puteri Rasulullah s.a.w. Isteri pertamanya, Ruqayyah dan setelah dia wafat, dikahwinkan pula dengan Kalthum.
A.      Umar bin Al-Khattab r.a                      C.    Ali bin Abi Talib r.a
B.      Ubaidillah bin Al-Jarrah r.a                   D.   Uthman bin Affan r.a

     6.       Di antara 10 orang sahabat ini, dua daripada mereka adalah menantu kepada Rasulullah s.a.w kerana mengahwini puteri Rasulullah s.a.w. Mereka yang dimaksudkan ialah :
A.       Ali bin Abi Talib r.a dan Umar bin Al-Khattab r.a
B.       Ali bin Abi Talib r.a dan Uthman bin Affan r.a
C.       Ali bin Abi Talib r.a dan Ubaidillah bin Al-Jarrah r.a
D.       Ali bin Abi Talib r.a dan Said bin Zaid r.a

     7.       Isteri beliau bernama Fatimah bint Al-Khattab, iaitu saudara perempuan kepada Umar bin Al-Khattab r.a. Kisah beliau dan isteri yang sedang membaca ayat-ayat Al-Qura’n (Surah Thoha) dan didengar oleh Umar bin Al-Khattab r.a sehingga membawa kepada keislamannya Umar. Beliau ialah
A.       Said bin Zaid r.a                               C.   Thalhah bin Ubailillah r.a    
B.       Sa’ad bin Abi Waqqash r.a                  D.   Zubair bin Al-Awwam r.a

     8.        Jika Abu Bakar digelar As-Siddiq, Umar digelar Al-Faruq, maka As-Syahid Hayya (Syahid yang hidup) digelarkan kepada
A.       Thalhah bin Ubaidillah r.a                    C.    Zubair bin Al-Awwam r.a
B.      Sa’ad bin Abi Waqqash r.a                    D.    Ali bin Abi Thalib r.a

     9.       Siapakah sahabat yang dipilih oleh Khalifah Umar bin Al-Khattab untuk mengetuai sebuah angkatan perang sebesar 30,000 orang untuk menyerang kerajaan Persia?
A.       Thalhah bin Ubaidillah r.a                    C.    Ali bin Abi Thalib r.a
B.      Sa’ad bin Abi Waqqash r.a                    D.    Said bin Zaid r.a

     10.   Asma’ bint Abu Bakar adalah puteri dari Abu Bakar As-Siddiq r.a. Beliau dikurniakan sembilan orang anak hasil perkongsian hidup dengan sahabat ini, iaitu
A.      Thalhah bin Ubaidillah r.a                     C.    Zubair bin Al-Awwam r.a
B.      Sa’ad bin Abi Waqqash r.a                    D.    Said bin Zaid r.a

     11.   Rasulullah s.a.w adalah menantu kepada dua orang sahabat ini kerana mengahwini puteri mereka. Sahabat yang menjadi mertua kepada Baginda Rasulullah s.a.w ialah
A.      Abu Bakar As-Siddiq r.a dan Uthman bin Affan r.a
B.      Abu Bakar As-Siddiq r.a dan Umar bin Al-Khattab r.a
C.      Uthman bin Affan r.a dan Umar bin Al-Khattab r.a
D.      Umar bin Al-Khattab r.a dan Abdulrahman bin Auf r.a

     12.   Pemerintahan dan kekuasaan Islam tumbuh dengan sangat pesat ketika zaman pemerintahan beliau menjadi Khalifah. Beliau juga mengeluarkan keputusan bahawa penanggalan Islam mulai dihitung sejak peristiwa Hijrah. Siapa sahabat yang dimaksudkan?
A.      Ali bin Abi Thalib r.a                                 C.    Umar bin Al-Khattab r.a
B.      Uthman bin Affan r.a                             D.    Abu Bakar As-Siddiq r.a

     13.   Umar Al-Khattab r.a dijuluki dengan gelaran Al-Faruq, yang membawa erti
A.      Orang yang bisa memisahkan antara haq dan batil
B.      Orang yang selalu membenarkan
C.      Orang kepercayaan umat ini
D.      Orang yang pemurah lagi dermawan

     14.   Ketika perang Uhud, pasukan muslimin kucar kacir dan ada yang lari meninggalkan pertempuran. Tetapi sahabat ini berlari mendapatkan Rasullullah s.a.w untuk melindungi Baginda. Pipi Nabi terhujam dua rantai besi. Segera dia berusaha mencabut rantai tersebut dengan gigitan giginya. Akhirnya, rantai itu terlepas dari pipi Rasulullah s.a.w bersama gigi sahabat ini. Kisah ini menceritakan keberanian sahabat ini, iaitu
A.      Said bin Zaid r.a                                C.    Saad bin Abi Waqqash r.a
B.      Ubaidillah bin Al-Jarrah r.a                   D.    Zubair bin Al-Awwam r.a

    15.   Sabda Rasulullah s.a.w “ Barangsiapa yang membeli sumur Bir Ruma, lalu diwakafkan bagi keperluan kaum Muslimin untuk menimba air sumur tersebut, maka Allah akan menyediakan tempat minuman baginya di dalam syurga”. Siapakah sahabat yang telah membeli sumur tersebut?
A.      Abdulrahman bin Auf r.a                      C.    Abu Bakar As-Siddiq r.a
B.      Uthman bin Affan r.a                           D.    Zubair bin Al-Awwam r.a

***
"Baik, masa sudah tamat. Kita semak sama-sama jawapannya. InsyaAllah, sambil mengingat kisah yang pernah kita dengarkan". Inilah mereka 10 sahabat Asratul Kiraam.


-tamat-


Coretan Ummu Khaulah,
25 Februari 2010

Thursday, February 18, 2010

Keindahan dalam kedinginan (Part 3 -Finale)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Menemui anakandaku tercinta,
          Mujahid, Mukhlis dan Khaulah..

Malam sudah makin larut tatkala catatan ini ditulis. Suhu diluar cuma minus 1. Dijangkakan hari-hari esok kita akan merasai suhu di atas paras beku. Alhamdulillah. Tatkala ini kalian semuanya sudah tidur, namun mata Ummi belum boleh lelap. Sakit? Tidak... Runsing? Tidak... Namun ada sesuatu yang terbuku dihati Ummi. Dan Ummi ingin catatkan buat tatapan kalian di suatu hari nanti. Kata Abi, insyaAllah this will be our second last winter here. Wallahua'lam. Pastinya perancangan Allah itu yang terbaik.



Kesayanganku,
Musim dingin kali ini kita sempat merasai suhu sehingga minus 22. Sempat merasai ribut sajli. Kawasan Rugen antara yang paling teruk dilanda salju tebal. Ingat tak kita ke Pulau Rugen hari tu? Alhamdulillah bekalan elektrik dan gas di kawasan kita tidak terputus. Abi-lah yang paling sibuk memastikan keperluan kita semua tercukupkan, memastikan ubatan diambil, menggembirakan kita dengan pelbagai cara dan pulang dengan penuh keceriaan untuk bermain dengan kalian walaupun entah berapa kilometer berjalan setiap hari. Iya berjalan, kerana kita disini tidak memiliki kereta, bahkan basikal juga tiada. Berjalan di musim dingin ini menuntut lebih tenaga, lebih waspada. Dan di setiap malam kita menjerit keriangan menyambut kepulangan Abi. Wira dihati kita semua. Dan Ummi bahagia sekali dapat melaksanakan tugas utama dan mulia ini, sebagai isteri dan ibu. Suatu perasaan yang tidak pernah Ummi rasakan sebelum ini. Ummi tidak peduli lagi dengan tangga-gaji, tidak hirau lagi dengan kenaikan pangkat, tidak kisah lagi I'm not on top of the game... apalah harganya itu semua dengan kebahagiaan melihat kalian membesar dihadapan mata.

Musim dingin kali ini telah banyak mengajar Ummi erti keindahan hidup. Kadang-kala bila ujian dan cabaran datang menjelma, dan berupaya melaluinya dengan sabar, tawakkal dan senyuman semuanya menjadi lebih bermakna. Alhamdulillah, all praises to Allah. Padanlah nenek pesan pada Ummi di musim sejuk ini untuk 'keep warm, take your vitamins dan dont forget to smile'. Langit mungkin suram berpanjangan. Salju mungkin turun berlarutan. Suhu mungkin sejuk mencengkam. Dan kita hamba Yang Maha Kuasa tiada upaya menukar suasana alam. Namun kita mampu menukar pandangan. Melihat dengan senyuman dan hati yang tenang rupanya mampu pengubah pandangan kita terhadap sesuatu. Terima kasih kerana kalian mengingatkan Ummi untuk senyum dengan pelbagai wajah-wajah yang kalian hadiahkan buat Ummi. Melihat dirimu bahagia adalah kejayaanku...

Kecintaanku,
Banyak sekali rahsia yang Allah simpan buat kita...seribu satu hikmah yang perlu kita singkapi. A beautiful winter it is. InsyaAllah. Ingatkah lagi kalian kita bersama, 
meraikan ulangtahun Khaulah dan Mukhlis...
menerima kehadiran tetamu silih berganti...
menatap ukiran-ukiran ais yang dipamer...
berkejaran riang dihamparan salju...
berjamaah merintih dah berdoa mengharap kasih dan ampunanNya...
setiap yang kita lalui,
setiap yang kita miliki,
semuanya datangnya dari Allah,
dan kepadaNya jualah kita semua dikembalikan.

...dan seandainya Ummi terlupa, ingatkanlah diri Ummi untuk tetap dalam bersabar. It's been a wonderful winter, Alhamdulillah. Keindahan dalam sebuah kedinginan.

Wassalam,
Ummi
-160210-

Friday, February 5, 2010

Keindahan dalam kedinginan (Part 2)

Sudah berkali-kali anak kecil berambut perang, bermata biru itu berjumpa denganku setiap kali menjemput anak-anak pulang dari kindergarten. Tapi, aku tidak memahami apa yang dikatakan. Aduh, dengan anak kecilpun tidak aku bisa memahami! Hanya dengan sepatah-dua kata yang difahami, aku  cuma mampu mengagak-agak sahaja.
Adakah dia mahu mengajak kami ke rumahnya untuk bermain?
Atau adakah dia mahu datang ke rumah kami untuk bermain?
Atau tadi dia bermain 'rumah-rumah' dengan Mujahid?
Soalnya aku hanya dapat menangkap Haus dan Speilen.

"Mujahid, cakap dengan Ali, Ummi tak faham dia cakap apa. Suruh dia cakap dalam English atau Melayu", bisik Ummi malu-malu.
"Mama saya hanya faham dalam English atau Melayu", tegas Mujahid pada teman baiknya.
"Ok macam ni, Mujahid terang pada Ummi, Ali cakap apa", sahut Ummi mencari penyelesaian.
"Ali kata nanti hari ini Mujahid main kat rumah dia, lepas tu tadi esok dia main kat rumah Mujahid ye." Alahai anakku, belum menguasai makna perkataan yang berkait dengan masa.

****
Akhirnya di suatu petang, Ummi bertembung dengan Hannan, mama Ali. Dia hanya memahami sedikit English dan Ummi hanya memahami sangat sedikit Deutsch! Dia mempelawa kami ke rumahnya hujung minggu ini. Sudah 3 undangan sebelum ini kami tolak kerana pelbagai hal. Oleh kerana hujung minggu itu kami tidak ke mana-mana, akhirnya Ummi bersetuju untuk ke rumahnya. Subhanallah, komunikasi alami menggunakan senyuman dan bahasa badan membolehkan sebuah persahabatan baru dijalinkan... Alhamdulillah.


(Jan 2010, perjalanan ke rumah kawan baik Mujahid diiringi salju)

Suhu pagi itu cuma minus 2. Pergerakan kami agak perlahan kerana snow sedang turun. Perjalanan dengan membawa anak kecil tentu berbeza jika dibandingkan berjalan bersendirian. Dengan niat memenuhi undangan sahabat baru dan meraikan janji 2 orang kawan baik yang ingin main bersama, kami sekeluarga keluar ke rumah Ali. Salju turun mengiringi perjalanan kami. "Hmm, sedap.. sedap", senyum Mujahid. Ingatkan apa, rupanya sedang tangkap snow dengan mulut anak sulung Ummi ni!

Perjalanan ke sana hampir sejam dek menunggu bas dan tercari-cari arah jalan yang betul. Akhirnya jam 3 petang kami sampai disambut dengan sorakan gembira Ali dan Mujahid. MasyaAllah, padanlah Ali beriya-iya mahu Mujahid ke rumahnya... permainannya sangat banyak dan mengikut peringkat umur pula tu! Walaupun anak tunggal, Ali pandai berkongsi mainan dan mendahulukan Mujahid dan Mukhlis dalam banyak hal. Bukan main hebat lagi mereka bermain, padahal di sekolah bukannya tidak berjumpa! Sambil mereka leka dengan dunia mereka, ibubapa sibuk berborak. Syukurlah Hassan dapat berbahasa Inggeris, dan Abi dapat sedikit berbahasa German. Tapi kalau Ummi dan Hannan bersendirian, kami saling membalas senyuman sahaja kerana masalah bahasa! Agaknya kalau Ummi sudah 9 tahun hidup di German seperti mereka, mampu tak fasih berbahasa Deutsch?

Hassan dan Hannan tidak lokek berkongsi pengalaman hidup mereka merantau. Kagum dengan kegigihan dan kecekalan mereka membina sebuah kehidupan. Pengalaman Hassan merantau ke pelbagai negara, keadaan Lubnan ketika perang Palastine-Israel, kegigihan mereka mencari ilmu sambil bekerja semuanya membuatkan Ummi percaya bahawa tiada kejayaan melainkan dengan kesungguhan. Tak sangka bapa Ali memiliki ijazah Sarjana Muda yang sama jurusannya dengan Ummi. Sekarang giliran mama Ali mengambil Sarjana Muda. Hidangan malam kami berupa pizza, roti daging, salad, yogurt dan paling istimewa, buah zaiton khas dari ladang kepunyaan datuk Ali di Lubnan. Hmmm, lecker!

Jam 5 petang, Ummi sudah mengajak anak-anak pulang kerana hari sudah gelap. Semakin malam, pasti suhu semakin rendah. Masakan mahu anak-anak itu berhenti bermain.

"Mujahid, esok boleh main dengan Ali lagi kan di sekolah..", pujuk Ummi.
"Mmmhhhhh...", rengusnya. Dah pandai merungut Abang Long ni!

Alhamdulillah, we had such a great time at the Makki's.  
Memenuhi undangan seorang kawan adalah sesuatu yang membahagiakan. 
Memenuhi undangan seorang kawan, dengan mengharungi perjalanan yang dingin adalah lebih membahagiakan. 
Memenuhi undangan seorang kawan, dan menunaikan janji 2 orang anak kecil , dengan mengharungi perjalanan yang dingin adalah sangat membahagiakan!

Terima kasih kepada Hassan, Hannan dan Ali untuk petang yang indah. Moga Allah menambah rezekimu dan membalasnya dengan ganjaran kebaikan yang berganda. Hassan siap menghantar kami pulang dengan keretanya sampai ke pintu rumah...

Alhamdulillah, keindahan dalam sebuah kedinginan.... bersambung.

Wassalam,
Ummu Khaulah
-050210-
Related Posts with Thumbnails