Thursday, February 25, 2010

Soalan - 10 Sahabat Asratul Kiraam

Kelas hujung minggu itu merupakan kelas terakhir sebelum sesi baru bermula. Biarpun seluruh bumi Berlin dilitupi salju, namun kelas hari itu tetap berlangsung dengan kehadiran penuh. Masing-masing bersemangat untuk mendalami kandungan kitab yang diwariskan. Memperbaiki bacaan. Menghayati kisah-kisah tauladan. Menghadirinya umpama mencas-semula diri agar bisa hidup teguh di sebuah negara minoriti muslim.
***
"Beliau berusaha sekuat tenaga mencabut rantai besi itu dengan gigiya. Akhirnya, rantai yang melekat pada pipi Baginda Rasulullah s.a.w tercabut bersama gigi Saidina Abu Ubaidah bin Jarrah ra". Solehah terdiam. Sungguh, ianya satu keberanian dan pengorbanan yang tak terperikan. Keberanian sahabat mulia ini sungguh hebat sehingga Rasulullah s.a.w memberinya gelaran 'Gagah dan Jujur'.

"Subhanallah, begitulah hebatnya kisah hidup Saidina Abu Ubaidah bin Jarrah ra. Orang kepercayaan umat ini. Beliau dengan seluruh jiwa raganya mempertahankan Rasulullah s.a.w ketika perang Uhud", jelas Solehah kepada adik didiknya. Kelas menjadi sunyi sepi. Hati menjadi sayu mendengarkan kisah sahabat yang dibentangkan pada minggu ini. 10 sahabat yang dijamin syurga.

Solehah menarik nafas panjang sambil memandang wajah Nurul. Seolah ada sesuatu yang bermain difikirannya.
"Mbak Solehah, saya berasa begitu kecil berbanding para sahabat dahulu. Mereka melakukan apa sahaja demi Islam. Mencari keredhaanNya", luah Nurul.

Solehah tersenyum. Hatinya berbisik syukur.
"Alhamdulillah, syukurlah kalau hati-hati kita tersentuh mendengarkan kisah para sahabat Rasulullah s.a.w. Mudahan itu tandanya hati kita hidup..."
"Namun adik-adik, usah kita larut dalam perasaan rendah diri. Sesungguhnya Allah tahu rahsia hati kita. Mari kita ambil kisah-kisah hebat ini sebagai penyemangat. Api yang membakar sumbu. Allah tahu kesungguhan kita untuk mendapat keredhaanNya." Wajah adik didiknya diperhati satu persatu. Kaca-kaca dihujung mata Nurul menerangkan segalanya. 

"Ya Allah, bantulah kami untuk mencontohi akhlaq mulia dan pengorbanan mereka." bisik Solehah dalam hatinya.

“Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang petama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dengan mereka dan mereka redha kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung.” (QS At-Taubah : 100)

*** 
"Fika, Fika... dimana kamu?", jerit Nurul dari kamarnya.
"Iya mbak Nurul, ada apa sih?". Fika yang sedang menyiapkan sarapan pagi kehairanan.
"Ini emel dari Mbak Solehah, saya sudah lupa bahawa hari ini akan ada ujian Fika"
"Iyakan... saya juga barusan ingat, ujian tentang 10 sahabat yang dijamin syurga itukan!"
"Aduh, kamu juga lupa Fik! Mana notanya, kita baca sekarang. Mudahan masih sempat"
Pagi itu, Nurul dan Fika sibuk membaca semula tugasan yang pernah dibentangkan oleh ahli kelas. Roti panas yang baru dikeluarkan dari oven itu tidak lagi seenak hari biasanya. Masih ada kisah 6 orang yang belum sempat mereka baca. Mungkin membaca di dalam bas juga sempat nanti...

***
"Ok adik-adik, seperti yang dijanjikan hari ini kita akan membuat sedikit ujian tentang 10 sabahat yang dijamin syurga". Solehah menghulurkan kertas soalan kepada muridnya. Nurul dan kawan-kawan tersengih saling berpandangan.

"Mengapa kalian senyum-senyum begitu? Lupa iya". 
Sambil memikirkan kata yang tepat, Solehah melanjutkan perbicaraannya.
"Iya sudah, ujian ini bukan untuk menilai siapa antara kita yang paling hebat. Atau yang kuat imannya. Selain sebagai suatu cara kita lebih mengingat sejarah, tapi juga untuk kita mengambil berat" Solehah benar-benar berharap adik didiknya memahami bahawa kelas yang mereka hadiri ini tidak kalah pentingnya dengan kelas mereka di dewan kuliah.
"Baiklah, disitu ada 15 soalan. Silakan dibaca dengan baik. Ada kalanya, sebuah soalan itu menjadi jawapan kepada soalan yang lainnya" Bismillahirrahmanirahim. Silakan dijawab.

***
KERTAS SOALAN - 10 SAHABAT YANG DIJAMIN SYURGA

1.       Khalifah Ar-Rasyidin terdiri daripada :
i.                     Uthman bin Affan r.a
ii.                   Ubaidillah bin Al-Jarrah r.a
iii.                  Abdulrahman bin Auf r.a
iv.                 Umar bin Al-Khattab r.a
A.      i dan ii                           C.    i dan iv
B.      ii dan iii                         D.    ii dan iv

     2.       Siapakah bapa kepada Saidatina Aishah r.a?
A.      Umar bin Al-Khattab r.a                        C.    Abu Bakar As-Siddiq r.a
B.      Uthman bin Affan r.a                             D.    Zubair bin Awwam r.a

     3.       Dua orang sahabat telah ditangkap oleh Nofal bin Khuwailid, lalu diikat bersama dalam tambang sebagai bentuk penyiksaan. Kerana itulah, dua orang sahabat ini dijuluki “Alqori-nain” atau “dua serangkai”. Dua orang sahabat itu adalah :
A.       Abu Bakar As-Siddiq r.a  dan Thalhah bin Ubaidillah r.a
B.       Abu Bakar As- Siddiq r.a dan Sa’ad bin Abi Waqqash r.a
C.       Thalhah bin Ubaidillah r.a dan Sa’ad bin Abi Waqqash r.a
D.      Thalhah bin Ubaidillah r.a dan Ali bin Abi Talib r.a

     4.       Sahabat ini terkenal sebagai saudagar paling berjaya dan kaya raya. Beliau pernah menginfaqkan 700 kendaraan dan seluruh muatannya kepada penduduk Madinah. Beliau yang dimaksudkan ialah :
A.      Abu Bakar As-Siddiq r.a                         C.   Abdulrahman bin Auf r.a
B.      Uthman bin Affan r.a                             D.   Said bin Zaid r.a

     5.       Beliau diberi gelaran “Zun Nurain”, iaitu yang memiliki dua cahaya mengahwini puteri Rasulullah s.a.w. Isteri pertamanya, Ruqayyah dan setelah dia wafat, dikahwinkan pula dengan Kalthum.
A.      Umar bin Al-Khattab r.a                      C.    Ali bin Abi Talib r.a
B.      Ubaidillah bin Al-Jarrah r.a                   D.   Uthman bin Affan r.a

     6.       Di antara 10 orang sahabat ini, dua daripada mereka adalah menantu kepada Rasulullah s.a.w kerana mengahwini puteri Rasulullah s.a.w. Mereka yang dimaksudkan ialah :
A.       Ali bin Abi Talib r.a dan Umar bin Al-Khattab r.a
B.       Ali bin Abi Talib r.a dan Uthman bin Affan r.a
C.       Ali bin Abi Talib r.a dan Ubaidillah bin Al-Jarrah r.a
D.       Ali bin Abi Talib r.a dan Said bin Zaid r.a

     7.       Isteri beliau bernama Fatimah bint Al-Khattab, iaitu saudara perempuan kepada Umar bin Al-Khattab r.a. Kisah beliau dan isteri yang sedang membaca ayat-ayat Al-Qura’n (Surah Thoha) dan didengar oleh Umar bin Al-Khattab r.a sehingga membawa kepada keislamannya Umar. Beliau ialah
A.       Said bin Zaid r.a                               C.   Thalhah bin Ubailillah r.a    
B.       Sa’ad bin Abi Waqqash r.a                  D.   Zubair bin Al-Awwam r.a

     8.        Jika Abu Bakar digelar As-Siddiq, Umar digelar Al-Faruq, maka As-Syahid Hayya (Syahid yang hidup) digelarkan kepada
A.       Thalhah bin Ubaidillah r.a                    C.    Zubair bin Al-Awwam r.a
B.      Sa’ad bin Abi Waqqash r.a                    D.    Ali bin Abi Thalib r.a

     9.       Siapakah sahabat yang dipilih oleh Khalifah Umar bin Al-Khattab untuk mengetuai sebuah angkatan perang sebesar 30,000 orang untuk menyerang kerajaan Persia?
A.       Thalhah bin Ubaidillah r.a                    C.    Ali bin Abi Thalib r.a
B.      Sa’ad bin Abi Waqqash r.a                    D.    Said bin Zaid r.a

     10.   Asma’ bint Abu Bakar adalah puteri dari Abu Bakar As-Siddiq r.a. Beliau dikurniakan sembilan orang anak hasil perkongsian hidup dengan sahabat ini, iaitu
A.      Thalhah bin Ubaidillah r.a                     C.    Zubair bin Al-Awwam r.a
B.      Sa’ad bin Abi Waqqash r.a                    D.    Said bin Zaid r.a

     11.   Rasulullah s.a.w adalah menantu kepada dua orang sahabat ini kerana mengahwini puteri mereka. Sahabat yang menjadi mertua kepada Baginda Rasulullah s.a.w ialah
A.      Abu Bakar As-Siddiq r.a dan Uthman bin Affan r.a
B.      Abu Bakar As-Siddiq r.a dan Umar bin Al-Khattab r.a
C.      Uthman bin Affan r.a dan Umar bin Al-Khattab r.a
D.      Umar bin Al-Khattab r.a dan Abdulrahman bin Auf r.a

     12.   Pemerintahan dan kekuasaan Islam tumbuh dengan sangat pesat ketika zaman pemerintahan beliau menjadi Khalifah. Beliau juga mengeluarkan keputusan bahawa penanggalan Islam mulai dihitung sejak peristiwa Hijrah. Siapa sahabat yang dimaksudkan?
A.      Ali bin Abi Thalib r.a                                 C.    Umar bin Al-Khattab r.a
B.      Uthman bin Affan r.a                             D.    Abu Bakar As-Siddiq r.a

     13.   Umar Al-Khattab r.a dijuluki dengan gelaran Al-Faruq, yang membawa erti
A.      Orang yang bisa memisahkan antara haq dan batil
B.      Orang yang selalu membenarkan
C.      Orang kepercayaan umat ini
D.      Orang yang pemurah lagi dermawan

     14.   Ketika perang Uhud, pasukan muslimin kucar kacir dan ada yang lari meninggalkan pertempuran. Tetapi sahabat ini berlari mendapatkan Rasullullah s.a.w untuk melindungi Baginda. Pipi Nabi terhujam dua rantai besi. Segera dia berusaha mencabut rantai tersebut dengan gigitan giginya. Akhirnya, rantai itu terlepas dari pipi Rasulullah s.a.w bersama gigi sahabat ini. Kisah ini menceritakan keberanian sahabat ini, iaitu
A.      Said bin Zaid r.a                                C.    Saad bin Abi Waqqash r.a
B.      Ubaidillah bin Al-Jarrah r.a                   D.    Zubair bin Al-Awwam r.a

    15.   Sabda Rasulullah s.a.w “ Barangsiapa yang membeli sumur Bir Ruma, lalu diwakafkan bagi keperluan kaum Muslimin untuk menimba air sumur tersebut, maka Allah akan menyediakan tempat minuman baginya di dalam syurga”. Siapakah sahabat yang telah membeli sumur tersebut?
A.      Abdulrahman bin Auf r.a                      C.    Abu Bakar As-Siddiq r.a
B.      Uthman bin Affan r.a                           D.    Zubair bin Al-Awwam r.a

***
"Baik, masa sudah tamat. Kita semak sama-sama jawapannya. InsyaAllah, sambil mengingat kisah yang pernah kita dengarkan". Inilah mereka 10 sahabat Asratul Kiraam.


-tamat-


Coretan Ummu Khaulah,
25 Februari 2010

1 comment:

  1. dhorih (tempat pemakaman jasad) Abu Ubaidah terletak di Jordan Valley, dekat dgn irbid.
    begitu juga sahabat2 lain yang turut sama meninggal dunia semasa wilayah tersebut diserang penyakit taun.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails