Thursday, October 14, 2010

Tauladan Dari Ayah

Alhamdulillah, tahun ini kami menerima kad ucapan Aidilfitri dari keluarga di tanahair lagi. Saban tahun, kad diterima dengan penuh ceria. Tapi tahun ini berbeza. Mulut bagai terkunci rapat. Tiada kata yang dapat menggambarkan rasa hati. Hanya air mata berjujuran laju. "Ayah..."


Sebuah tulisan tangan yang sangat ku kenal. Tulisan yang kurindu. Biarpun hanya sebaris ayat cuma, namun sangat besar ertinya. Terimbau kenangan di alam persekolahan, tatkala ku bersedih dengan pelbagai hal, ketika runsing dengan peperiksaan yang tiada kesudahan, kad-kad ucapan itulah yang meniupkan semangat padaku. Ayah yang selalu percaya padaku, walaupun begitu susah untukku mempercayai diriku sendiri. Ayah telah mencoretkan kata-kata dalam kad-kad tersebut. Kebiasaannya dalam kad raya yang diterima, mamalah yang menulis dan disertai tandatangan adik-beradik lain. Tapi kali ini, lebih istimewa...

Tidak cukup dengan itu, ayah menyertakan 4 keping angpow raya. Satu untuk setiap anakku, dan satu buatku. Dan tangisanku bertambah deras ketika mengeluarkan helai-helai duit tersebut. Semuanya dalam mata wang Euro! "Allahu Rabbi...Ayah!" Tangisku bukanlah terkedu dengan jumlah wang tersebut, tetapi kerana aku tahu di sebalik semua itu, ayah seolah-olah sedang berkata padaku bahawa dia juga sangat merinduiku. Mengingatiku. Menginginkan yang terbaik buatku.

Nombor ayah terus didail. Aku mahu berterima kasih padanya. Tapi ku ragu, apakah yang harus ku katakan... Alhamdulillah, panggilan berjaya di sambung.
"Assalamualaikum.. ", kata ayah di hujung talian.
Nafas ku ambil dalam-dalam. Berusaha mengutip tenang.
" Waalaikumussalam wrt. Ayah, ini Mar..", kata terhenti. Hanya air mata yang berbicara.
" Sudah, jangan nangis"
" Ayah, mar...", menangis lagi.
" Ni mama nak cakap", kata ayah terus menyerahkan telefon kepada mama. Ku tahu, ayah sebenarnya menyembunyikan kesedihannya.

Sebulan sudah berlalu. Dan aku kembali sibuk dengan tugas-tugasku. Masakan aku mahu kalah dengan ayah. Biarpun ayah sudah memasuki angka 54, tapi kerja-kerja dakwah tiada kenal erti berhenti. Siapa tahu lelaki berumur yang membuka meja-meja kecil jualan barangan milik Aqsa' Syarif untuk menjana wang buat pembesasan Palastine itu adalah ayahku. Seorang senior pensyarah. Melayan ragam manusia yang pelbagai. Ayah mengajarku melalui taudalannya, bahawa dalam memperbaharui iman, hendaklah seseorang itu melakukan pekerjaan sederhana yang boleh membuat kita rendah hati. Pekerjaan sederhana yang menjadi terapi dari munculnya bibit-bibit kesombongan.

Masakan aku mahu berhenti dari jalan ini, kalau ayah masih berlari. Ayah mengajarku melalui tauladannya, bahawa setiap orang itu mempunyai kemampuan tersendiri untuk dakwah ini. Masing-masing memberi kontribusi tersendiri. Keupayaan ayah memberi kuliah dimanfaatkan di jalan dakwah, salah satunya melalui ceramah-ceramah di masjid tentang isu Palastine. Dan aku harus terus menggali, sehingga menemui potensi apakah dalam diriku yang dapat dimanfaatkan buat ummah ini. 

Di ulangtahun kelahiran ayah ini, ku kembali melakar rindu. 2 bulan lagi, genaplah 3 tahun tidak bertemu ayah. Pesan seorang teman baikku, "berusahalah untuk meraih tingkat syurga yang tinggi, agar dirimu bisa melawati orang-orang yang dicintai pada bila-bila masa. Andai dirimu di tingkat rendah, dan perasaan rindu itu datang, kau tidak bisa menziarahi orang-orang yang kau cintai andai mereka berada di tingkat syurga yang lebih tinggi". 

Ayah, mudahan rindu ini membawa ke syurga. Happy birthday Ayah. Moga umurmu barokah dan selalu dalam rahmatNya. Amien.







"di saat ku kehampaan, kau setia mengajarku erti kekuatan..."

Wassalam,
Mar @ Berlin
- 141010 -

4 comments:

  1. air mata saya pula yang jatuh..
    sedihhh..teringat juga keluarga di kampung..

    ReplyDelete
  2. Hati tersentuh dan air mata ini mula bergenang... bertuah mereka yg masih punya ayah. Sayangilah mereka kerana bila mereka tiada esok... kerinduan yg terasa amat sukar mohon pamit dan hanya airmata menemani...

    ReplyDelete
  3. pergh!!! tangkap syahdu...bergenang air mata...

    ReplyDelete
  4. menitik air mata membaca catatan ni... :)

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails