Thursday, December 16, 2010

[Siri Sekolah] Mujahid Hausaufgaben

Sudah lama Ummi berniat hendak menuliskan pengalaman-pengalaman Mujahid di sekolah. Bermula dengan proses temuduga, ujian itu dan ini, pemeriksaan itu dan ini, juga hari suai-kenal. Sayang sekali kalau pengalaman berharga ini tidak tertulis dimana-mana. Sedar tidak sedar, sudah 4 bulan Mujahid di Grundschule. Mungkin ada baiknya, Ummi merakamkan tanpa mengikut turutan kisah. :)

***
Hari ini Abi dapat panggilan telefon dari Frau Fege, salah seorang cikgu kelas Mujahid. Beliau berpesan, supaya memastikan Mujahid hanya membuat kerja sekolah yang diminta. Yang tidak ditandakan, jangan disiapkan. Itu kerana mereka akan menyiapkan bersama-sama di dalam kelas.

Pada bulan pertama sekolah, kerja untuk satu minggu diberikan. Setiap tugasan dicatatkan hari yang perlu diserahkan. Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, dan Jumaat. Setelah beberapa bulan, kerja yang diberikan tidak lagi ditentukan harinya. Tugas yang diberi boleh diserahkan pada mana-mana hari dalam minggu tersebut.  Kebiasaan Mujahid pada hari Selasa atau Rabu, semua kerja sekolah telah disiapkan. Bukan guru yang mengutip kerja sekolah, tetapi setiap pelajar telah dididik untuk mengetahui tanggungjawabnya menyerahkan kepada guru mengikut tempat khas yang ditetapkan.

Buku mana, mukasurat berapa, subjek apa, semuanya dicatat rapi dalam jadual mingguan pelajar. Mutakhir ini, jadual hausaufgabe yang Mujahid gunakan bukan lagi jadual yang sama setiap murid gunakan. Tetapi, kerja tersebut ditentukan mengikut tahap pencapaian seseorang walaupun mereka berada dalam kelas yang sama.
 Gambar 1 : Sama tak muka saya^^

Untuk tahun pertama, anak-anak berusia 6 tahun ini diberi penekanan aspek penguasaan bahasa (German tentunya), asas mengira, kemahiran kasar dan halus juga sport. MasyaAllah, Ummi sangat tertarik dengan kaedah yang mereka gunakan dalam memastikan penguasaan bahasa 'ibunda' dimulakan sejak awal. Pembelajaran dan pengajaran yang melibatkan kemahiran mendengar, melihat, berfikir dan berinteraksi. Bahasa Inggeris hanya diajar pada tahun-tahun kehadapan setelah anak-anak ini menguasai asas bahasa Deutsch.

Sebagai rakaman kenangan, ini tugasan Mujahid untuk minggu 13 hingga 17 Disember. 

1) Flo Und Flex;
    (buku matematik diatasnya fail mingguan)

2) Tugasan kreativiti;
     (gambar disebelah)

3) Tugasan bahasa;
    (gambar di bawah)



Penerangan gambar di atas :
Mujahid mempotret dirinya yang sedang memakai medal dan jersi bola sepak pasukan German. Dibawahnya merupakan makanan dan minuman kegemaran.
Spaghetti, pizza, apfelsaft und limonade.

Penerangan gambar di sebelah :
Setiap gambar perlu dilukiskan 'wave' yang mana setiap 'wave' mewakili satu suku kata. Dan di dalamnya, Mujahid menuliskan 'vowels' yang didengar dari perkataan yang disebutkan.

Dan ketika menemani Mujahid membuat tugasan Matematik, Ummi ada menegurnya. Dan Mujahid menjawab, cikgu kata kira tapi tak payah kira... Hmmm, what does that mean? I better do my homework. 

Wassalam, 
Ummu Khaulah
-171210-

Hausaufgaben - Kerja sekolah
Grundschule - Sekolah rendah
Frau - Puan
Apfelsaft - Jus epal
Limonade - Air limau

Thursday, December 2, 2010

Erti 10 minit itu


"Terima kasih Kak Mar. Iya, sekarang hujan abu sangat tebal. Jarak pandang hanya 1-2 meter. Langit gelap dan sesekali gempa. Penerbangan saya di-cancel. InsyaAlloh malam ini saya naek kereta ke Surabaya dulu. Doakan kami semuaya, kak Mar. Saling mendoakan semoga Alloh senantiasa memberi kekuatan dan keselamatan. Amiin"

6 Nov, 2.15 petang.
 
Itu mesej terakhir yang ku terima darinya. Tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan rasa hati. Risau. Cemas. Takut. Dan berharap.

"Ya Allah, peliharalah keselamatannya. Permudahkanlah perjalanannnya. Dan izinkanlah untuk kami bertemu dalam kasih-sayangMu" Air mata yang mulai bergenang, ku tahan dari terus jatuh.

***
Musibah di Wasior Papua Barat,
Tsunami di Kepulauan Mentawai Sumatera Barat,
Erupsi Gunung Merapi di Jogyakarta dan Jawa Tengah,
Banjir besar yang menimpa utara negaraku...
satu per satu memenuhi ruang fikiran.


Lalu,
Bayangan sahabatku mencari jalan keluar dari satu lapangan terbang ke satu lapangan terbang,
Bayangan ribuan manusia bertempiaran lari menyelamatkan diri dalam suasana yang penuh hiruk pikuk,
Bayangan air bah yang naik dengan begitu cepat memenuhi segenap ruangan rumah,
Tentu tiap detik yang berlalu, penuh dengan cemas dan tingginya pengharapan. Berserah diri tawakkal pada Yang Maha Kuasa. Minit-minit itu bagaikan penentu hidup atau mati.

Semuanya mengusik hati dan fikiranku. Betapa kerdilnya diri berbanding makhluk ciptaanNya yang lain. Gunung-ganang yang terpasak kukuh. Lautan samudera yang luas terbentang. Langit biru yang bertingkat tinggi. Bahkan pada setiap helaian daun yang jatuh gugur ke bumi. Semuanya adalah dalam rangka ketaatanya pada Yang Esa. Tidak tersisa satu minit pun tanpa lengah. Semuanya datang dengan segera, tunduk patuh mentaati Sang Pencipta. Lalu ku bertanya pada diri, setinggi manakah nilai detik waktu itu? Apakah harus menunggu saat cemas dan mendebarkan baru menghargai masa yang dipinjamkan Tuhanmu? Pada tiap waktu yang berlalu, apakah hasil karya sumbanganmu untuk manfaat orang lain? Pada tiap nadi yang berdenyut, apakah buktimu untuk syahadah yang telah diikrarkan? 
 

"Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, 
dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah"

Tanya saja erti 10 minit pada mereka yang terselamat dari kemalangan. Atau pada mereka yang terlepas dari ambang kematian. Bukan sahaja 10 minit, bahkan perbezaan sedetik itulah yang mungkin menyelamatkan mereka. MasyaAllah. Tidak sama sekali dapat disangkal, bahawa begitu banyak perkara yang boleh berlaku dalam 10 minit cuma. Mungkin itulah yang cuba disampaikan oleh Ahmed Imamovic dalam filem pendeknya. Sebuah filem yang telah memenangi anugerah "Best European Short Film" pada tahun 2002. Biarpun ianya dipaparkan dalam waktu yang singkat, tetapi telah membawa kita jauh berfikir. Berfikir dan mencari, apakah erti 10 minit itu buat kita.





***

"Kak Mar, insya Alloh saya maen ke rumah iya Ahad ini. Mungkin malamnya, selepas pertemuan dengan dosen pembimbing. Sampai jumpa".

1 Dis, 11.20 pagi.

Alhamdulillah. Mesej yang dinanti akhirnya tiba. 

Sahabat yang dirindu akan datang menziarahi. Anugerah dari Allah istimewa buatku, dipertemukan dengan sahabat yang baik. Pertemuan di malam Muharram tahun baru Hijriyyah itu pasti bermakna. Ingin ku dengar detik-detik cemasnya berhadapan dengan letusan gunung berapi itu, agar azam dan tekadku untuk memanfaatkan setiap apa yang ada untuk kebaikan diperteguhkan. Keyakinan yang tidak tergugah pada syahadah yang dijunjung.

"Terima kasih sahabat, kerana telah mengingatkan ku pada janji setia yang mulia itu. Dan aku berharap, di tahun 1432H ini, aku telah berhijrah meninggalkan apa-apa yang tidak mendatangkan manfaat kepada suatu yang lebih berharga. Berharga dalam penilaian Tuhanku" 

Semoga bisikan itu selalu menyapa,
pada tiap detik waktu yang berlalu,
apakah erti 10 minit ini buat mu?
apakah erti hijrah ini buat mu?

Salam Maal Hijrah.

Wassalam,
Ummu Khaulah
-02122010-
Related Posts with Thumbnails