Monday, January 3, 2011

Bisikan Cinta Luar Biasa

"Mama akan pencen tahun ni, insyaAllah".
Bulan demi bulan silih berganti. Tapi tarikh yang ditunggu akhirnya berlalu.
"InsyaAllah, Mama nak pencen tahun ini"
Tetapi, perkara yang disebut tidak juga menjadi.

Seronok mendengar ceritanya, perancangannya selepas berpencen. Teringat gelak tawa kami adik-beradik. Mama nak buka kelas tuisyen. Mama nak buka kedai dobi. Mama nak berkhidmat di Palastine. Tetapi saban tahun, mama akan kembali mengajar. Kontraknya terus disambung lagi. Akhirnya setelah beberapa tahun mendengar hasrat tersebut, diri menjadi lali. Sudah hampir 5 tahun sejak bermulanya mama menyatakan keinginannnya untuk berpencen. Bagaimana mama hendak berpencen, kalau mendidik dan mengajar itu menjadi cintanya. Menjadi sebahagian dari dirinya!

Bukan sekadar mendidik dan mengajar, tetapi membina insan yang berjiwa rabbani, berilmu, beriman dan berakhlaq mulia. Pemimpin orang-orang yang beriman. The walking Quran. Mungkin kerana itu, walaupun mama pernah mendapat tempat untuk mengajar di sekolah kerajaan dengan tawaran gaji yang lebih tinggi, tetapi mama tetap jua di sekolah yang dicintainya itu. Sekolah Menengah Islam Hidayah (Hidayah).

"Memperkasa sistem pendidikan Islam dalam arus perdana negara sebagai penjana generasi ulama', umara', azkiya' dan aghniya'  menjadi kelompok teras dalam perjuangan menyeluruh untuk membangunkan masyarakat dan negara serta meningkatkan daya saing."
                                               (Visi Hidayah)

Cita-cita dan harapannya hidup subur selari dengan visi dan misi sekolah Hidayah. Mungkin kerana itu juga, biarpun pelbagai cabaran mendatang sepanjang mama berkhidmat, namun tetap jua mama hadir ke sekolah menatap wajah-wajah kesayangannya itu. Akhirnya awal Disember lalu,  setelah 11 tahun, mama tidak lagi berjawatan sebagai Penolong Kanan di Hidayah. Kata mama, kontrak mengajar cuma setahun lagi.

Alhamdulillah. Hati berbisik lega mengingat kesihatan mama dengan usia yang kian menjadi kebimbangan. Mungkin tahap lelah mama akan berkurang fikirku.  Mama seorang yang pintar, guru pakar dalam subjek Fizik. Mempunyai impian untuk melanjutkan pelajaran namun sering diketepikan demi mendahulukan kami anak-anaknya.  Dan mungkinkah hasrat mama untuk menyambung pelajaran di peringkat Sarjana  bisa dimulakan? Namun ternyata, Allah mempunyai perencanaanNya tersendiri. Dan sungguh perencanaan Allah itulah yang terbaik.

Bisikan Cinta Luar Biasa

Pada 2 Januari 2011, ku mendapat khabar dari adinda di Toronto. Katanya, mama telah dilantik untuk menjadi Mudirah di Maahad Tahfiz Al-Akhyar (MTA). Mama kini berjawatan baru. MTA kini menjadi gabungan rangkaian sekolah-sekolah Islam di bawah MUSLEH. Alhamdulillah. Namun entah mengapa, malam itu mata sukar sekali untuk lelap. Sekali sekala, air mata jatuh membasahi. Mengapa mama menerima jawatan itu? Bukankah Hidayah begitu lama mama pertahankan. Kalau mahu dibandingkan nama, pencapaian dan pengurusan, Hidayah jauh meninggalkan MTA. Bahkan untuk ke MTA juga, mama harus berpagi-pagi keluar rumah. Jauh disudut hati, ku merasakan ini pasti sebuah keputusan yang sukar hendak diputuskan. Pasti ada rahsianya mengapa mama menerima amanah seberat ini. It's nothing glamorous, tentunya!

"Dakwah ini adalah cinta. Dimana mama diperlukan, disitulah mama berada"

Terbayang di benak fikiranku, pandangan sebahagian masyarakat kita yang menghantar anak-anak lemah akademik untuk mendalami bidang keagamaan. Untuk menghafal Al-Quran. Bukanlah maksudku untuk menidakkan agama dan ilmu Al-Quran itu pada sesiapa, tetapi mengapa harus kita meletakkan kejayaan bidang keagamaan itu level 2. Dikhaskan  buat anak-anak tidak cemerlang. Apakah jika seseorang itu menjadi doktor, engineer, peguam barulah dikategorikan sebagai berjaya? Bukankah tatkala seorang anak itu walaupun dia tidak beroleh berbelas-belas A dalam SPM, tetapi dia menjadi anak yang soleh adalah lebih berguna buat kedua ibu-bapa dan masyarakat seluruhnya daripada seorang yang berjaya tetapi rosak akhlaknya?  Bahkan lebih baik lagi, kalau ilmu Al-Quran, ilmu Islam itu berada ditangan anak-anak cergas dan cerdas. Mungkinkah ini antara hasrat mama, untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa kejayaan itu bukanlah ukuran material semata-mata. 

Ku memohon pada Ilahi, agar selalu memberi mama ayahku petunjuk dan barokah dalam setiap yang mereka lakukan. Mengurniakan kesihatan yang baik, kekuatan dalam beramal dan keampunan yang banyak. Mudahan keputusan ini mempercepatkan langkah mereka untuk berada di JannahNya.

***
Subhanallah, Alhamdulillah, AllahuAkbar.

Sungguh tatkala ku sedang berusaha menata hati untuk menghadapi pelbagai perubahan dalam perancangan yang tiba-tiba datang, Allah memberikanku sumber kekuatan. Bisikan cinta luar biasa yang mama contohkan. Begitulah bagaimana Allah melorongkan dengan memberi kita peluang untuk terus berjuang menggapai redhaNya. Duhai hati, percayalah, yakinilah bahawa perencanaan TuhanMu adalah jauh lebih baik dari perencanaanmu! Dengarlah bisikan cinta itu memanggilmu...

Wassalam,
Ummu Khaulah
- 3 Jan 2011-

(Note : tulisan ini hanyalah bingkisan hati penulis semata-mata, hanya Allah yang Maha Tahu apa yang tersirat di hati mama. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul)

3 comments:

  1. semoga cita² bonda akak termakbul... Allah kan selalu ada dgn org yg berdakwah kearah jalanNya... :)

    ReplyDelete
  2. Subhanallah...terharu mbacanya.Teringat bunda saya yg juga tetap sibuk menjalankan idealisme yg diyakini hatinya padahal kami begitu mengkhawatirkan kesehatan beliau di usia senjanya.
    Saya turut mendoakan semoga mama Mardhiyah selalu dalam lindungan dan penjagaanNya,diberi kesehatan,keafiatan serta taufik dalam mengamalkan ilmu2nya untuk umat.
    Semoga kita dapat meneladani beliau...

    ReplyDelete
  3. Terima kasih Liza dan mba Inue untuk doanya. Semoga kita berupaya menjadi ibu-ibu yang hebat juga. :)

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails