Tuesday, January 25, 2011

Merpati Venice

Alhamdulillah, setelah bertahun tidak bersua muka dengan adinda tercinta yang sedang belajar di Jordan, Allah mengizinkan pertemuan itu. Dialah satu-satunya adik perempuanku. Teman bercerita, berkongsi rasa. Kedatangannya ke Berlin pada cuti musim panas tahun 2010 itu amat bermakna bagi ku. Sudah namanya adik-beradik, sempat juga kami 'bergaduh' walaupun cuma bertemu kurang 2 minggu. :)

Itali dipilih sebagai tempat pengembaraan bersama adinda tercinta. Memandangkan jadual abi yang padat, juga agar peruntukan kewangan tidak berlebihan, sedikit pembacaan dilakukan tatkala memilih tempat untuk dilawati. Setelah yakin, kami memilih Venice dan Roma untuk dilawati. Dalam catatan kali ini, hanya akan menceritakan serba ringkas pengalaman kami sekeluarga di Venice, atau disebut sebagai Venezia oleh orang-orang Itali. Venice sebuah kota atas air yang mempersonakan. Subhanallah. Juga diberi gelaran sebagai  "Queen of the Adriatic Sea", "City of Water", "City of Masks", "City of Bridges", "The Floating City", dan "City of Canals".

 Pemandangan Venice dari udara

Menurut catatan sejarah, Venice pernah menghadapi peperangan dengan Kerajaan Othmaniyah ketika pemerintahan Sultan Mehmet II. Orang-orang Kristian Venice juga terlibat dalam beberapa siri peperangan salib. Namun, tidak banyak yang ku ketahui tentang sejarah ini. Setibanya di Venice, kami langsung disambut oleh pemandangan kanal-kanal, gondola dan jambatan-jambatan khas Venice. Sebuah pemandangan indah yang unik! Kami berjalan naik-turun jambatan-jambatan yang saling menghubungkan 2 tempat kerana begitu banyaknya kanal-kanal. Arkitektur bangunan yang indah, deretan cafe yang tertata cantik dan suasana romantis sepanjang kanal. Cabaran kami sepanjang disini adalah disebabkan banyaknya jambatan bertangga yang menyukarkan perjalanan kami dengan anak kecil yang menaiki stroller! Dan cabaran ke dua, mudahnya tersesat kerana begitu banyak laluan sempit dan kanal-kanal yang memisahkan satu tempat dengan tempat lainnya. Sempat kami sekeluarga terpisah beberapa jam kerana sesat dan ramainya pelancong!

Tiada sebarang kenderaan darat di sini. Semuanya menggunakan laluan air. Bus-air, taxi-air, ambulan-air, 'lori' sampah air, polis air dan pelbagai lagi. Ketika berehat duduk di sebuah jambatan yang agak sepi dari laluan orang ramai, kami sempat melihat pasukan penyelamat membawa pesakit dari rumahnya menaiki ambulan air untuk ke hospital. Sungguh unik kerana kita sudah terbiasa hidup dengan pengangkutan darat! 




Antara tempat yang kami pergi tentunya 'landmark' terkemuka kota Venice iaitu Piazza San Marco yang dikatakan sebagai tempat kelahiran pelaut terkenal, Marcopolo. Piazza ini juga merupakan tanah paling rendah di Venice, yang kerap kali dinaiki air. Tidak banyak hendak diperkatakan tentang Piazza ini. Sebuah kawasan yang dikelilingi gereja, patung-patung, istana raja yang telah diubah menjadi muzium, dan tentunya deretan kedai dan pejabat dibahagian atas. Ditengah Piazza ini ada sebuah dataran besar.


Di dataran inilah kami bertemu ketenangan di celah-celah ribuan pelancong dan patung-patung yang mengelilingi. Apa itu? Itulah makhluk-makhluk kecil yang memiliki sayap kiri dan kanan. Iya, burung-burung! Burung merupakan salah satu haiwan yang banyak disebut dalam Al-Quran, khususnya dalam kisah Nabi Ibrahim a.s, Nabi Yusuf a.s, Nabi Daud a.s, Nabi Sulaiman a.s, Nabi Isa a.s dan kisah tentera bergajah Abrahah. MasyaAllah, banyak sekali burung merpati yang sangat jinak di dataran ini. Alhamdulillah, saranan seorang teman supaya kami membawa biskut-biskut lama dari rumah ternyata banyak manfaatnnya. Sekelip mata kami dikeliling oleh merpati Venice. Subhanallah. Mereka sangat jinak dan begitu mendamaikan hati. Anak-anak yang tadi resah kembali riang gembira. 


" Tidakkah engkau (Muhammad) tahu bahawa, kepada Allah-lah bertasbih apa yang ada di langit dan dibumi, dan juga burung yang mengembangkan sayapnya. Masing-masing sungguh telah mengetahui cara berdoa dan bertasbih. Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan"
(QS 24 : 41)


Hati menjadi tenang ketika melihat burung, bukanlah kerana burung itu yang memberikan ketenangan. Tetapi kerana burung itu "dekat" dengan Allah yang menciptanya. Burung yang sentiasa bertasbih memuji Tuhannya. Maka benarlah, hati akan jadi tenang apabila dekat dengan sesuatu yang dekat dengan Allah. Kalau begitupun hati kita sudah berasa tenang, apatah lagi kalau hati kita terus dekat dengan Allah melalui zikrullah dan ibadah. Tentulah hati akan beroleh lebih ketenangan....


Terima kasih sang merpati Venice,
yang mengingatkan kami untuk selalu bertasbih memuji Ilahi.


Wassalam,
Ummu Khaulah
- 25 Januari 2011-

5 comments:

  1. Seronok membaca pengembaraan Mar dan family.. Insyallah kami juga ada rancangan utk kesana. Utk melihat keindahan bumi Roma ciptaan Allah swt. yg unik diatas air. Doa kan agar dipermudahkan..

    Kak Azi - K"Lautern

    ReplyDelete
  2. Salam Mar.. Menarik entry kali ini dengan gambar2 yg indah di bumi yg menakjubkan..

    ReplyDelete
  3. ooo ye ke... Kak Azi nak pergi bulan berapa? Hope you and the whole family had a great time there^^

    ReplyDelete
  4. seronoknya sudah sampai jejak ke sana yeeeee...mcm akak ni...mengidam saja laaaa huhuhuhu

    ReplyDelete
  5. Mar... semkain cantik dan menarik blog mar sekarang... tenang saja menatapnya...

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails