Sunday, April 17, 2011

Mereka Dan Salji

Catatan pengalaman ini agak lama. Kira-kira 4 bulan yang lalu. Pengalaman indah, mempersona, ngeri dan beku yang diadun menjadi satu. Namun, sangat rugi kalau tidak dituliskan di mana-mana buat tatapan anak-anak tersayang nanti. Tambah lagi, this will be our last winter at Germany insyaAllah. 

***
Alhamdulillah, winter yang lalu kami berpeluang ke Bad Rippoldsau, Holzwald. Jaraknya kira-kira 730 km dari Berlin dengan anggaran masa perjalanan menaiki kereta selama 7-8 jam. Namun perjalanan kami Jumaat itu mengambil masa 13 jam! Rancangan untuk bertolak dari Berlin jam 11 pagi telah berubah gara-gara GPS kereta 7 seater yang disewa tiba-tiba tidak berfungsi. Setelah berpusing-pusing mencari bengkel kereta, ternyata semuanya tutup kerana esok adalah sambutan hari krismas. Akhirnya, kami kembali ke tempat sewa kereta. Alhamdulillah, mereka memberi kereta sewa ganti yang lain, dengan harga yang sama. Walaupun kami akhirnya bertolak lambat dari rancangan asal, namun Allah Yang Maha Penyayang telah memberikan kami ketetapan yang lebih baik.

Kereta 9 seater ini jauh lebih sesuai dari kereta asal memandangkan perjalanan kami seterusnya menempuh pelbagai cabaran. Ribut salji, jalan licin, jalan yang belum dibersihkan, mendaki bukit, dan liku-liku curam. Kira-kira jam 1 petang, kami bertolak keluar dari bandar Berlin menuju ke sebuah kawasan hutan (Black Forrest) jauh nun di bahagian selatan Germany. Perjalanan kami ditemani cahaya sang suria cuma beberapa jam kerana musim sejuk matahari terbenam lebih awal. Lebih separuh perjalanan ini dipandu dengan kadar 40km/jam. Memandu dalam salji banyak cabarannya walaupun telah menggunakan tayar khusus buat pemanduan dalam salji. Tak dapat digambarkan perasaan ketika kenderaan di hadapan kami tiba-tiba terhuyung-hayang, dan akhirnya berpusing-pusing gara-gara jalanraya yang sangat licin. 2 kali insiden seperti itu berlaku. Hanya doa dan tawakkal dipanjatkan tidak putus-putus pada Allah, agar memelihara perjalanan kami.

Malam itu dirasakan sungguh panjang...
entah berapa kali kami berhenti gara-gara si kecil, dan untuk rehat dan solat tentunya.
Ada kalanya cuma kereta kami yang melalui jalan tersebut, sunyi, sepi, gelap gelita,
sambil diiringi salji yang kekadang turun dengan tenang, 
dan kekadang turun dengan sangat lebat. 
Suasana salji yang tidak putus-putus menghentam cermin hadapan kereta, dirasa bagaikan peluru yang ditembak tanpa henti. Menakutkan. Bayangan malam di Palastine menghantui fikiran.

Jangkaan tiba jam 9 malam ternyata meleset. Tidak henti-henti sms dan panggilan telefon diterima. Jam 10 kami masih jauh dari tempat yang dituju. Ketika tiba di bandar kecil Holzwald, suasana alam sungguh mendamaikan. Sunyi. Sepi. Pepohon di kiri dan kanan semuanya berdiri kaku dalam salju yang sungguh tebal. Bahkan ada beberapa rumah yang tingkapnya turut ditutupi salji. Tiada seorangpun manusia kelihatan. AllahuAkbar, rakaman alam yang luar biasa hebat dan mempersonakan.

Sangkaan kami, tempat dituju sudah hampir. Rupanya, bandar kecil itu hanyalah pintu gerbang menyambut perjalanan kami seterusnya. Cabaran berikutnya adalah mendaki bukit dengan liku-liku curam tanpa diterangi sebarang lampu jalan. Berkali-kali pesanan SMS diterima mengingatkan agar kami berjalan perlahan menghimpit ke satu bahagian jalan, kerana di tepinya adalah gaung dan ada bahagian yang tidak berpenghalang.  Di kiri, di kanan, di depan dan dibelakang semuanya sungguh gelap.

Perjalanan kami hanya diterangi sebatas lampu kereta. Mereka yang sudah menunggu sejak dari tadi pasti risaukan kami. Akhirnya hampir jam 1 malam, kami tiba disambut senyuman dan makanan panas yang siap terhidang. Alhamdulillah. 4 hari 3 malam kami bersama dalam sebuah rumah besar. Solat, makan, main ski dan menimba ilmu bersama. Bagaikan sebuah keluarga besar yang berkumpul. Alhamdulillah. Semoga Allah meredhai dan memberkati ukhuwwah ini.

Bersama mereka dan salji itu....
(Mein Winter Deutschland - Open Your Eyes)





Wassalam,
Ummu Khaulah,
- 17 April 2011 -
Related Posts with Thumbnails