Saturday, June 18, 2011

Penyejuk Mata Ku...

Mujahid...

Ummi sangat rindukan Mujahid. Sudah 3 malam tidur Ummi dalam keresahan. Terbayang-bayangkan Mujahid. Bila Mujahid tiada di rumah, seisi rumah terasa begitu sunyi dan hambar. Ummi sangat risaukan Mujahid. Mujahidkan masih 7 tahun. Mampukah Mujahid sendirian bersama guru dan kawan-kawan untuk bercamping?

Abi berusaha untuk meyakinkan Ummi, bahawa program ini baik untuk Mujahid. Agar Mujahid lebih berdikari, bertambah matang, menambah skill hidup, dan belajar mempertahankan keyakinan agamanya. Ummi menurut, walaupun hati Ummi tak sudah-sudah risau dan ingatkan Mujahid. Bagaimana tidak? Peristiwa Mujahid hilang seminggu sebelum Mujahid ke Klassenfahrt benar-benar mengganggu fikiran Ummi.

***
Lewat tengahari Isnin itu, Ummi dapat panggilan telefon dari Puan Fege, salah seorang guru kelas Mujahid.

“Mujahid ran away to the subway”. Ya Allah, bagai nak luruh hati Ummi.  

“What? So where is he now? Why did he ran away? All by himself? He never does that.”

Bertalu-talu soalan Ummi. Bermacam-macam perkara bermain difikiran. Kenapa pula Mujahid lari ke subway? Adakah dia  dibuli? Atau Mujahid nak lari dari rumah? Mujahid marahkan Ummi ke? 1001 persoalan muncul difikiran. Dan air mata itu tak dapat terbendung lagi. Menyedari yang  permulaan cerita itu sudah salah, Puan Fege cepat-cepat membetulkan.

“No, no, Mujahid is at school now. He is safe. He is in class with the others. I call you, to tell what happen”.

Ya Allah, rasa bagai nak pengsan dengar anak hilang. Seperti kebiasaan, kelas Mujahid akan membuat gartenarbeit di sebuah taman. Untuk ke sana, mereka akan menaiki U-Bahn (subway) kira-kira 4 atau 5 perhentian dari sekolah. Gartenarbeit ini bukanlah sesuatu yang baru. Sudah rutin kelas mereka ke sana, belajar menaman sayur-sayuran. Melakukan aktiviti berkebun. Kadang-kala, mereka akan memasak sayuran dan makan bersama. Ada tikanya juga, mereka membawa pulang hasil tanaman. Tapi hari itu berbeza, Mujahid dan Umminya belajar perkara baru...

Setelah selesai kerja berkebun, guru dan kawan-kawan Mujahid turun ke bahagian bawah bangunan untuk mencuci tangan dan bersih-bersih. Tika inilah Mujahid yang selesai menyusun kembali barang-barang yang digunakan, tiba-tiba menyedari guru dan kawan-kawannya tiada di tingkat atas. Dalam keadaan panik itu, mungkin ada sebahagian anak yang akan menangis dan tunggu di situ. Tetapi berlainan dengan Mujahid. Dia fikir guru dan kawan-kawannya sudah dalam perjalanan pulang ke sekolah. Dan dia harus mencari mereka. Mungkin naluri dan fikiran anak kecil berbeza dengan orang dewasa. Dalam pertimbangannya, dia harus kembali ke rumah atau ke sekolah kerana itulah tempat yang selamat. Dengan tekadnya untuk pulang, Mujahid berlari sendirian dari taman itu ke stesen U-bahn.

Setibanya di stesen U-bahn, paniknya bertambah pabila tiada kelibat guru mahupun rakan-rakan sekelasnya kelihatan. Menurut cerita Mujahid, dia mahu mengambil U-bahn ke Leopodplatz, kerana disitulah stesen untuk ke sekolah mahupun ke rumah. Mujahid bertambah bingung kerana U-bahn bergerak dalam 2 arah yang berbeza. Dalam keadaan mencari-cari itu, akhirnya dia menangis ketakutan. Syukur Alhamdulillah, Allah telah mengizinkan seorang makcik tua yang baik hati menemui Mujahid dan segera menghubungi pihak polis. Alhamdulillah keadaan tidak bertambah rumit kerana Mujahid fasih berbahasa German.  Ketika disoal siasat, ternyata Mujahid tidak tahu alamat rumahnya, juga nama sekolahnya. Dia cuma tahu rumah dan sekolah terletak berdekatan stesen Leopodplatz. Polis yang kehairanan bagaimana Mujahid boleh bersendirian di situ, akhirnya memahami bahawa dia sedang bersama guru dan kawan sekelasnya membuat gartenarbeit. Mungkin kerana sudah biasa dengan selok-belok kawasan tersebut, sang polis membawa Mujahid kembali ke taman itu. Di sana guru dan rakan-rakannya sedang cemas mencari-cari Mujahid dan mahu melaporkan pada polis.

Alhamdulillah setelah kira-kira satu jam lebih, Mujahid selamat dipertemukan kembali dengan gurunya dan mereka bergerak pulang ke sekolah...

***
Kejadian itu telah meninggalkan kesan trauma pada Ummi. Hari-hari pertama selepas kejadian, mudah sekali air mata berguguran tatkala teringat peristiwa tersebut lantaran kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah s.w.t. Allah jualah yang telah memeliharamu dan mengembalikan amanah ini kepada Ummi. Selepas kejadian itu, Ummi mula menambahkan pengetahuan bagaimana untuk melatih anak perkara asas keselamatan.

Nah, sekarang selang seminggu dari kejadian itu, Mujahid ke KlassenFahrt selama 4 hari di Neuendorf! Checklist barang yang perlu dibawa, kad insurans kesihatan, buku rekod kesihatan semuanya siap seperti yang diminta. Dan biarpun dalam borang pendaftaran sudah kami catatkan yang Mujahid hanya memakan makanan vegetarian, namun bukanlah lampu hijau untuk kami melepas tangan mengingatkan Mujahid supaya tidak memakan sebarang fleicsh, juga gummi yang mengandungi gelatine. Sungguhpun sejak Mujahid di tadika lagi sudah diberi kefahaman tentang halal dan haram, namun perlu selalu diulang-ulang agar perkara tersebut menjadi keyakinannya. Ummi dan Abi berdoa dan bertawakkal agar Allah melindungi Mujahid, dan menjauhkan dari mengambil makanan yang haram.

Pagi itu, dalam keadaan berat hati Ummi melepaskan Mujahid pergi. Namun, Subhanallah Ummi terkesima ketika mendengarkan ucapan Mujahid. Benar-benar menyentak Ummi. Mengingatkan Ummi. Dalam pelukan itu Mujahid berbisik penuh keyakinan, “Ummi jangan nangis, Allah jaga Mujahid!”.

Allahu Rabbi.

Engkaulah Yang Maha Menjaga.

Terima kasih Mujahid, kerana menjadi penyejuk mata Ummi dan Abi. Semoga sifat tawakkal itu berada dalam dirimu untuk sepanjang hayat.


(سورة الفُرقان (وَالَّذِيۡنَ يَقُوۡلُوۡنَ رَبَّنَا هَبۡ لَـنَا مِنۡ اَزۡوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعۡيُنٍ وَّاجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِيۡنَ اِمَامًا‏




Wassalam,
Ummi
17 Jun 2011
Related Posts with Thumbnails