Friday, May 18, 2012

Makcik Napisah Dalam Kenangan

Teet, teet, teeeeeeeeet. Telefon di hujung katil itu berbunyi.

“Innalillahi wa inna ilaihi rajiuun. Hjh Napisah Muhamad Radzi, 53thn telah pulang ke rahmatullah malam Jumaat 20/4 di Hospital Sultan Ismail.“

Ya Allah, akhirnya berita ini sampai juga. Kenangan bersama Makcik Napi muncul satu per satu. Air mata pun jatuh berguguran. Aina yang kehairanan datang menghampir seolah minta penjelasan. Kenapa ummi tiba-tiba menangis, seolah begitulah renungan matanya berkata.

***
“Jom kita ziarah keluarga Pakcik Sulaiman malam ni”
“Okay. Tapi abang masih ingat lagi ke jalan nak ke rumah Makcik Napi?”

Kali terakhir kami bertemu dengan keluarga ini adalah sebelum berangkat ke German. Hampir 4 tahun yang lalu. Datang untuk meminta doa restu agar permusafiran kami membawa seribu satu berkat. Dan kini setelah gelaran Dr. Ing. itu abi perolehi, malam itu kami datang lagi. Hati berdebar bahagia.  

“MasyaAllah! Dah ramai rupanya.” Gembira sekali makcik. “Satu.. dua.. tiga..“, hitung makcik.
“dan ini yang ke empat, insyaAllah. Menunggu hari“, sambung ku sambil menyambut tangan makcik. 
“Rizza dah makin sihat. Senang hati ye!“ usik makcik lagi.

Pakcik dan makcik tetap seperti dulu. Ramah dan penuh kasih sayang. Tanya saja pada semua yang pernah menjadi mutarabbi mereka. Bahkan yang tidak menjadi mutarabbipun pasti bersetuju. Pasangan yang perlu dicontohi dalam membina keluarga dai‘. Bahkan ruangan dan hiasan rumah damai itu tetap juga sama. Cuma ruangan kerja semakin banyak mengambil tempat dengan beberapa buah komputer dan fail-fail yang tersusun. Tentu kerja dakwah pakcik dan makcik semakin bertambah, fikirku. “Ya Allah, Engkau berkatilah keluarga ini“.                              

Malam itu kami dijamu dengan pelbagai hidangan. Sempat lagi makcik masak untuk kami. Subhanallah, ikatan apakah ini. Sesungguhnya kami tiada pertalian darah. Apatah lagi ikatan perniagaan. Tapi perasaannya sangat dekat.

“dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan (membelanjakan) semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana“ (QS 8:63)

Keluarga makcik membuat kami merasa seolah-olah kami bagian dari keluarga makcik. Kalau tidak diingat esok adalah hari kerja, perbualan malam itu bisa saja sampai ke pagi. Melihat Hamdi melayan Mujahid dan Mukhlis bermain membuat kami tambah terharu. “Terima kasih datang ziarah kami. Moga selamat hingga melahirkan. Jaga anak elok-elok“, pesan makcik mengakhiri pertemuan itu. Tiadalah terbayang bahawa itulah lambaian dan pelukan terakhir makcik padaku.

***
Aina, sayang sekali dirimu tidak sempat bertemu dengan murabbiyah hebat ini. Mari ummi ceritakan padamu tentang sebuah jalinan ukhuwwah yang indah.

Ummi tidak pasti sejak bila ummi mengenali Makcik Napi dan keluarganya. Yang ummi tahu mereka adalah sahabat atuk dan nenek. Mungkin ketika ummi belajar di UTM dahulu. Mendengar taujihat beliau dan duduk meeting bersama. Makcik mahu kami berjaya mendapatkan segulung ijazah tanpa melupakan tanggungjawab seorang muslim pada dirinya, saudaranya, masyarakat dan alam. Makcik tidak pernah mengajar ummi dalam kelas sepanjang sesi perkuliahan. Tapi sempat menjadi naqibah ummi sebelum ummi berpindah dari Johor.

Tapi yang benar-benar buat ummi tersentuh adalah kenangan 9 tahun lalu. Di hari abi dan ummi diijabkabulkan. Keluarga pakcik dan makciklah yang banyak membantu rombongan pengantin lelaki. Menyambut dan mencukupkan peralatan tempat rombongan bermalam. Ya, tika itu pakcik adalah murabbi kepada abi. Aina lihat saja foto istimewa ini.  Berlatarbelakangkan Masjid Sultan Ismail, tersusun berdiri rombongan keluarga pengantin lelaki. Bertemakan persalinan biru-kelabu, kelihatan secocok dengan langit yang cerah membiru. Dan dicelahan sanak saudara itu, tersenyum bahagia dua sosok murabbi dan murabbiyah kami yang amat dihormati. Seolah-olah pakcik dan makcik bagian dari kami.

***
“Eh, jumpa di sini pula kita! Nak ke mana pengantin baru ni?”
“hehe.. ambil barang di Mawaddah. Lepas ini kami nak ke Desaru“
“MasyaAllah, sama kita... Makcik dengan pakcik pun nak ke sana, bawa anak-anak“
“Bolehla kita jumpa di sana nanti makcik!“
“eh, eh Rizza ni. Mana boleh ganggu pengantin baru! Ye tak Mar?“

Sempat lagi makcik mengusik.
“ini hadiah dari makcik. Hadiah honeymoon, buat berkenalan“.
Tanpa ragu, cepat saja makcik menghulurkan RM100 buat kami.

***

Ya Allah, bersyukurnya aku dipertemukan dengan makcik Napi. Seorang murabbiyah yang tersusun bahasanya, lembut bicaranya, dan ligat dalam pelbagai aktiviti dakwah. Kisahku dengan makcik mungkin hanya sedikit, dari begitu banyak kisah makcik dengan yang lain.

Makcik, ku berdoa’ agar makcik diampunkan Allah, ditinggikan darojat dan ditempatkan bersama para kekasihNya. Berbahagialah makcik, dijemput pulang saat makcik aktif dalam dakwah. Jalan yang mengajar kita banyak kesabaran dan berkasih sayang sesama. Kata Ustaz Hasanuddin, Yang pergi, pergi dulu. Yang tinggal, mara dan maju. Baton ini telah bertukar tangan, aku berharap dapat menyambung dan menjadi sebahagian dari mereka yang menggerakkan roda dakwah ini. Sudikah makcik menjadi jiranku di sana nanti? Ingin sekali ku perkenalkan Kautsar Raihana, bayi di dalam kandungan yang didoakan makcik tetapi tidak sempat bertemu...

Dan lagu itu pun berkumandang di udara... Air mata semakin laju menginsafi diri. Sudahkah aku membuat kebaikan untuk melayakkan diri untuk memasuki jannahMu?



Salam rindu buatmu makcik.
Selamat Hari Murabbi.
-Ummu Khaulah, 160512-


(Sajak ini ditulis oleh Dr. Sulaiman, suami almarhomah makcik Napisah)

Faham
Encik Faham
Nada lembut doktor yang bertanyaku
Yang isteriku sekarang dalam tahap kritikal
Setelah dikesan terdapat bekuan darah di otak kiri
Sehingga melumpuhkan anggota kanan
dan percakapannya
Ditambah dengan tompok-tompok di otak kanan
Betapa
Deritanya hati ini
melihat engkau yang kusayangi begitu
Dan
Bertambahnya derita
Apabila sekali sekala engkau keluarkan air mata
Tapi
Apakan daya
Aku tidak mempunyai kuasa
Yang menentukan segala-galanya
Hanya Allah Yang Maha Berkuasa
Yang Maha Mengetahui
Apakah disebalik semua ini
Ya Aku faham
Setiap pertemuan akan ada perpisahan
Setiap yang bernyawa pasti akan kembali ke ilahi
Dan aku cuba memujuk hati ini
Redha dengan apa yang telah ditetapkan

Saat Akhir
Setelah dua minggu berlalu
Dan platlet (darah) semakin tidak menentu
Doktor maklumkan, kami tak boleh buat apa-apa
Sayangku
Kami hanya mampu doa apa yang terbaik bagimu
Jumaat yang bersejarah dalam hidupku
Suhumu mencecah 41 darjah
Sedangkan kaki tanganmu ibarat air batu
Dan engkau tercungap mencari nafas
Aku hanya mampu berdoa
Segala puji bagi Allah
Yang kemudiannya telah kurniakan ketenangan padamu
Dan padaku
Maka
Bertentang mata kita
Sambil aku berbicara dan engkau mengiya
Mengingatkan tentang syurga
Serta ukhuwah, ikhwah dan akhawat yang sentiasa bersama
Begitu jua pesanan tentang anak-anak
Bermaafan
Serta mengucapkan redhaku pada mu
Doaku agar Allah redha padamu
Ganjaran syurgaNya yang menanti
Dan mengingatkan kembali syahadah kepadaNya
Saat begitu indah bagiku
Sehingga
Tanpa kusedari
Engkau pergi

Pusara
Anak-anakku
Sengaja Ayah pilih pusara ibumu
Mudah untuk dilawati
Mengingati dan mencontohi
Ibumu yang berusaha menegak agama Allah ini
Sahabat-sahabatku
Sengaja aku pilih pusara sahabatmu
Dalam laluanmu
Agar mudah diziarahi
Untuk mengingatkan diri
Kita bakal menuruti
Sambil engkau hadiahkan
Al-fatihah dan sekalong doa
Pada saudaramu yang telah pergi dahulu
dan memaafkan segala kesalahannya padamu
Pesanku pada diriku
Dan pada sahabat sahabatku
Dunia ini hanyalah sementara
Yang kekal hanyalah Akhirat
Selama-lamanya

Tugas
Sayangku
Selesailah tugasmu sebagai isteri dan ibu
dan pendakwah di jalan Allah
Kami mendoakan segala amalmu
membawamu kesyurga Allah
dan kau dilindungi dari segala azabNya
Dan kami pula
Kami yang tinggal
Tugas kami masih belum selesai
Moga Allah meredhai kami
dan menerima pengorbanan kami


Related Posts with Thumbnails